Baik daripada cerita-cerita penuh kontroversi, hal kerjaya mahupun pengiktirafan yang diraih hasil kegigihan dalam industri lakonan, kelana seni jejaka yang memiliki ketinggian 176 sentimeter ini cukup terbilang.

Pada minggu pertama 2019, anak muda berusia 27 tahun ini mahu memberi tumpuan terhadap bidang lakonan yang telah lapan tahun menjadi lubuk rezekinya.

Mahu pergi jauh meninggalkan hal yang memberi kesan negatif kepada masyarakat, Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Rantaian) menerusi Anugerah Skrin Ke-22 menerusi naskhah Nur itu menganggap ada perkara lebih baik untuk dikejar.

“Alhamdulillah, 2018 banyak membantu saya daripada segi kerjaya, keluarga dan rezeki yang murah.

“Walaupun pernah berdepan dengan dugaan, tetapi pada saya ia kecil jika nak dibandingkan nikmat yang Tuhan bagi sangat besar. Bersyukur dan saya hargai apa yang dikecapi pada tahun lepas.

“Apa yang saya mahu pada tahun baharu ini sudah tentu untuk berterusan meraih kejayaan. Bagaimana saya bekerja pada tahun lepas, saya nak mengulanginya semula pada 2019,” katanya yang mahu mencabar kemampuan diri dalam membawakan watak-watak luar biasa

Menyimpan impian untuk mengembangkan bakatnya ke negara luar, pujian harus diberikan kepada pemilik nama penuh Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak ini kerana sentiasa optimis dan mementingkan hala tuju masa depannya.

Sebagai permulaan dia tidak mengharapkan sesuatu yang besar untuk dipikul, sebaliknya apa yang diingini adalah sebuah pengalaman yang mahal untuk diceritakan kepada anak cucunya satu hari nanti.

“Mungkin kalau diberi rezeki saya dapat berlakon dengan produksi di Indonesia. Tak perlu jauh sebab saya sedar di mana tahap kemampuan diri, cukup sekadar di negara berdekatan, saya okay sahaja.

“Saya nak takluk negara Asia dulu kalau ada ruang dan peluang. Saya nak kutip seberapa banyak pengalaman berlakon dengan orang yang jauh lebih berilmu tentang dunia lakon layar.

“Apa pun semuanya berbalik kepada kehendak Tuhan, saya sekadar merancang. Saya hanya boleh berharap tetapi kalau sudah tertulis bukan untuk saya, ia bermakna tiada rezeki untuk Syafiq Kyle pada saat itu,” luahnya tentang perancangan untuk melebarkan sayap ke negara jiran.

Bercinta dengan kerja

BERKONGSI tentang hal peribadi, Syafiq tidak meletakkan sasaran usia untuk dia mengakhiri zaman bujang.

Lantaran terlalu sibuk dengan tugas hakiki, sukar untuk dia mengalih tumpuan bagi mencari teman hidup.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, ada jodoh, Tuhan akan bagi jalan dan lancarkan proses ke arah itu (berkahwin).

“Buat masa ini saya masih belum ada jawapan memandangkan kesibukan di set penggambaran dan perniagaan yang saya usahakan.

“Ada cinta, ada jodoh, satu hari nanti saya akan berkahwin juga. Namun buat masa sekarang, kalau orang tanya, saya selesa untuk ‘bercinta’ dengan kerja sahaja,” katanya yang baru pulang dari Itali.

Dalam pada itu, Syafiq kini sibuk di lokasi penggambaran Nur 2 arahan Shahrul Ezad selepas lakonannya bersama Amyra Rosli menerima respon baik daripada penonton ketika musim pertama yang ditayangkan Mei tahun lalu.

Mahu kekal relevan

TIDAK pernah mengehadkan skop lakonan biarpun dia begitu cemerlang membawakan watak-watak yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Begitu pun, anak jati Kuala Lumpur ini tetap mempunyai keinginan untuk beraksi di hadapan layar lebar.

Walaupun pernah menerima suara ‘nakal’ yang mengkritik bakat lakonannya sekadar di zon drama, Syafiq tidak mengendahkan sindiran berkenaan.

“Orang kata saya kurang sesuai untuk berlakon filem dan masih terlalu awal, malah ada yang kata saya lebih layak untuk membawakan watak-watak sadis yang lebih banyak ditayangkan di kaca televisyen.

“Sebagai seorang pelakon, itu cabaran yang sepatutnya saya galas. Saya juga tidak mengehadkan bakat yang dianugerahkan ini dengan hanya menumpukan fokus kepada berlakon drama,

“Saya bukan dilahirkan terus berbakat, tetapi saya lahir untuk belajar apa yang sepatutnya dibuat. Maka, saya pandang sebagai satu cabaran besar bila orang tawarkan untuk berlakon filem.

“Saya tak nak leka berada di zon selesa. Ditambah lagi ramai muka baru yang hadir, saya perlu tingkatkan strategi dan lakukan sesuatu untuk terus kekal relevan dalam industri,” ungkapnya penuh yakin.

Disogok dengan pertanyaan antara kerjaya atau populariti yang dipandang, Syafiq pantas memberikan jawapan bijak dan tidak terburu-buru.

“Dua perkara ini sangat subjektif, ini pandangan sayalah. Populariti datang bermusim, ia boleh datang dan pergi bila-bila masa sahaja.

Jadi apa yang perlu saya buat ialah dengan mengekalkan kelebihan yang ada sebagai bekalan untuk bertahan.

“Saya tak pernah fikir diri ini popular atau tidak, ia tidak penting. Apa yang menjadi keutamaan ialah saya laksanakan tugas dengan berkualiti.

“Saya lebih jaga soal kerjaya daripada populariti. Saya tidak mahu bermanja dengan populariti,” ulasnya yang mahu bersaing dengan pelakon sedia ada secara baik.