Sebagai senior, secara peribadi, Afdlin juga berbesar hati melihat semakin ramai pelapis baru mula mewarnai pentas komedi tanah air yang mana satu ketika dahulu, barangkali tidak ramai yang berani mencuba nasib melakar nama sebagai seorang pelawak.

Meletakkan pentas pelawak solo atau komediri (stand up) sebagai fokus, kata pelawak berusia 45 tahun ini, dia kagum kerana semakin ramai pelapis yang berkualiti sudah terlahir daripada beberapa buah program yang disediakan oleh stesen tv dan ia dianggap sebagai satu usaha yang wajar diteruskan dari semasa ke semasa.

Bukan cuma untuk tujuan berhibur semata, tetapi kata Afdlin, pelawak juga seharusnya diangkat sebagai seseorang yang boleh menjadi pencetus minda masyarakat terhadap isu-isu semasa.

Pendek kata, Afdlin enggan lagi melihat pelawak ini dianggap sebagai golongan yang berlawak kosong tanpa isi yang cerdik.

“Kalau boleh, kita dah tak mahu lihat pelawak menghasilkan jenaka yang kosong, yang tiada makna. Terutama kepada pelawak solo, penting buat mereka untuk sentiasa buat pencarian dan kajian mengenai satu isu, bukan main hentam saja bila atas pentas.

“Mereka kena faham, pelawak ini tugasnya ialah penglipur lara yang bercerita mengenai banyak perkara. Sebab itu saya katakan pelawak ini harus berani kerana tak semua orang boleh berdiri seorang di atas pentas dan melontarkan hiburan yang cerdik dan orang dengar apa yang mereka cakap.

“Pelawak harus berani kerana mereka berdepan dengan isu sensitiviti, masyarakat dan sebagainya dan sebab itu saya katakan, tugas kita bukan sekadar menyediakan hiburan gelak ketawa, tetapi harus tahu apa intipati penyampaian kita itu sendiri,”katanya.