Cendana ditubuhkan berpandukan wawasan untuk membina ekonomi kebudayaan Malaysia yang boleh dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia. Ia juga akan menumpukan usaha untuk menyokong pembangunan sektor seni dan budaya dalam industri kreatif dan mempromosikannya kepada khalayak yang lebih luas.

Saya berpeluang berjumpa dengan orang penting di belakang penubuhan Cendana iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izan Satrina Datuk Mohd Sallehuddin yang merupakan seorang pemegang ijazah dalam bidang akaun dan juga bekas penari yang telah berkhidmat dalam kumpulan tarian seperti Kit Kat Dancers bermula dari usia 16 tahun.

Sebelum ini Izan terlibat dengan MYPAA (My Performing Arts Agency) satu agensi lain yang telah menganjurkan beberapa acara dalam bidang seni persembahan dan cuba merapatkan hubungan antara bidang kesenian, sektor korporat dan kerajaan.

Menurut Izan, penubuhan Cendana mencerminkan langkah aktif kerajaan untuk memperdengarkan suara komuniti seni dan budaya. Langkah yang disusun berkaitan agensi ini memanfaatkan usaha penting ini dan terus membuktikan komitmen Perdana Menteri untuk meningkatkan peluang bagi komuniti seni dan budaya. Ia juga bagi memastikan lebih ramai orang di lebih banyak tempat dapat menikmati seni dan budaya kita.

“Cendana berhasrat untuk menjadi lebih relevan dalam menambah nilai kepada ekonomi secara umum dengan memberi tumpuan kepada seni persembahan, seni visual dan muzik indie dalam ruang kecil, sederhana dan lokasi awam.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan jawatankuasa kecil yang terbabit telah menunjukkan wawasan tinggi dalam perihal bagaimana Cendana boleh membantu meluaskan pencapaian artis dan membentuk masyarakat kita,” katanya.

Saya difahamkan, selain memberi bantuan kewangan kepada usaha-usaha dalam bidang seni dan budaya seperti seni persembahan, muzik indie dan seni visual, Cendana juga merancang usaha untuk mendapatkan sokongan lebih banyak badan-badan korporat terhadap aktiviti seni. Selain itu, mereka juga berhasrat untuk membincangkan peraturan kerajaan yang sedia ada dengan badan-badan kerajaan tertentu untuk menentukan polisi kerajaan lebih menyokong dan tidak menyekat pembangunan dalam bidang seni budaya.

Salah satu masalah besar yang dihadapi oleh penggiat seni pada masa sekarang adalah cukai tinggi yang dikenakan atas aktiviti seni dan hiburan. Tambahan kepada bayaran cukai ini, penggiat seni sekarang harus membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga dan ini telah menjadi beban yang menghadkan aktiviti seni budaya tempatan. Pengecualian cukai kepada syarikat korporat yang melabur dalam bidang seni dan budaya juga merupakan satu langkah yang bakal menambah jumlah syarikat yang menyokong aktiviti seni.

Kami berharap mereka berjaya dalam usaha ini oleh kerana dengan perubahan struktur cukai ini, sudah pasti ramai lagi pengusaha dan penganjur akan melabur dalam aktiviti seni dan budaya tempatan.

Ditadbir tokoh hebat

Cendana ditadbir oleh Jawatankuasa Penasihat Eksekutif yang memantau pembangunan dan pelaksanaan strategi korporat dan, memastikan objektifnya dicapai. Dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan (Penasihat Komunikasi kepada Perdana Menteri) dan dianggotai tokoh-tokoh yang berwibawa dalam sektor awam dan swasta seperti Johan Ishak (Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures), Shahira Ahmed Bazari (Pengarah Urusan Yayasan Hasanah), Datin Azalina Adham (Ketua Pegawai Operasi Bursa Malaysia) dan Datuk Khairul Anwar Salleh (Naib Presiden Perniagaan Bahasa Melayu ASTRO).

Ia turut dianggotai tokoh-tokoh berpengalaman dalam sektor seni dan kebudayaan untuk memberikan nasihat dan cadangan mengenai pelaksanaan aktiviti strategik dan taktikal Cendana.

Pada keseluruhannya penubuhan agensi ini dilihat sebagai satu langkah yang positif yang memberi harapan baru kepada penggiat seni dan budaya dalam bidang muzik indie, seni persembahan dan seni visual. Semoga mereka berjaya dalam semua usaha-usaha murni mereka untuk membangunkan bidang seni dan budaya tempatan.