Menurut Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam kini dia sudah bersedia mempersiapkan diri untuk merakamkan lagu bagi album baharunya.

“Sekarang ini saya dalam proses mengumpulkan lagu-lagu yang akan saya rakam untuk album baharu saya nanti. Kalau tidak ada halangan, ia akan dikeluarkan pada tahun ini.

“Jadi, selepas habis pantang dan lebih tiga bulan berehat, saya sekarang tengah menyiapkan diri terutamanya dari segi kecergasan dan stamina.

“Selain untuk kembali kurus, soal kecergasan dan stamina ini juga penting untuk vokal dan langkah tarian saya.

“Saya juga akan kembali menyertai kelas vokal. Sudah lama saya tidak menyanyi, jadi saya perlu masuk balik kelas tersebut,” jelasnya kepada Utusan Online.

Walaupun baru bergelar ibu, Stacy menyatakan bahawa dia akan mengekalkan konsep muzik rancak di dalam album baharunya itu.

“Peminat saya masih inginkan saya membawa lagu yang rancak dan memerlukan tarian. Selepas ini mungkin tariannya tidak serancak dahulu tetapi akan ada tarian yang sesuai untuk saya serta seiring dengan lagu.

“Sejujurnya, saya amat meminati tarian. Ditambah pula, ada orang yang suka dan menyokong minat saya itu, jadi tidak salah untuk saya teruskan,” ujar.-UTUSAN ONLINE