Sebaliknya, di sepanjang tempoh itu kebanyakan mereka sibuk bermain muzik di kelab-kelab malam terkemuka sekitar Kuala Lumpur sejak dari tahun 1970-an sehinggalah kini.

Justeru, bagi meneruskan kesinambungan Sons of Adam, mereka telah muncul dengan sebuah single terbaharu bertajuk Lepaskan Ku Ke Langit Unggu yang telah berada di pasaran pada tahun lepas.

Menurut ketua Sons of Adam, Ruzlan Omar, 66, selepas 30 tahun tanpa album baharu sudah sampai masanya mereka tampil dengan sebuah album baharu sebagai bukti kumpulan itu masih wujud dalam persada muzik tanah air.

“Sebenarnya, Sons of Adam telah ditubuhkan sejak tahun 1969. Kami banyak bermain di kelab-kelab malam sebelum diberi peluang merakamkan album pertama bertajuk Memori Duka pada tahun 1987.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh itu ahli-ahli Sons of Adam bertukar ganti dan vokalis asal kami iaitu Adin pula telah meninggal dunia. Jadi kami telah membawa masuk beberapa anggota baharu,” katanya yang juga merupakan pemain dram kumpulan itu.

Beliau dan Sons of Adam ditemui sewaktu Festival Blues Kota Dame di Peraling Jaya, Selangor, baru-baru ini yang menyaksikan kumpulan ini turut mengadakan persembahan bersama puluhan lagi pemuzik blues tempatan.

Pada pertemuan itu, turut sama ialah empat lagi anggotanya iaitu Deli Putra (penyanyi), Sunny Awau Rashid (bassis), Muhammad Idzham Shah (gitaris) serta anggota baharunya, Ahmad Satiman Ismail (keyboardis) yang merupakan bekas anggota kumpulan The Boys.

Jelas Ruzlan, selain single, Sons of Adam juga kini sedang dalam proses menerbitkan album penuh terbaharu mereka yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Album yang bakal mengandungi 10 lagu terbaharu termasuk lirik hasil ciptaan mereka sepenuhnya yang berkonsepkan rock dan blues akan diterbitkan melalui syarikat mereka iaitu Sons of Adam Entertainment.

Pada era tahun 1980-an, Sons of Adam pernah popular menerusi lagu seperti Luka Di Hati dan Memeori Duka. Selain arwah Adin, kakak pelakon Faizal Hussein iaitu Dilla Hussein juga pernah menjadi penyanyi kumpulan ini.