Malah lagu ciptaannya, Relaku Pujuk pernah diangkat sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-19 (AJL19 - 2004) selain mendapat tempat ketiga menerusi lagu Di Pintu Syurga nyanyian Dayang Nurfaizah pada AJL29.

Terkini, Tam, 45, hadir dengan karya Tunggu Aku Datang berkolaborasi dengan Keon untuk seni kata lagu dendangan Hazama bagi lagu runut bunyi (OST) drama Bila Tuhan Berbisik Cinta, lakonan Awie.

Namun biarpun mempunyai sederetan lagu-lagu yang berkualiti dan menjadi pujaan ramai yang dinyanyikan sama ada oleh dirinya bersama-sama kumpulan Spider mahupun penyanyi lain, Tam atau Rustam Mustafa mengakui, kegundahannya untuk menghasilkan album solo sendiri.

Gementar. Itu yang dirasai oleh Tam mengenai pembikinan album solo yang kini dalam perancangan dan begitu dinanti-nantikan malah akuinya, menghasilkan buah tangan sendiri memberi cabaran tersendiri buat dirinya.

Katanya, adalah lebih mudah menghasilkan karya-karya untuk penyanyi lain berbanding diri sendiri kerana perlu memastikan lagu-lagu yang dicipta mampu seiring dengan nada suara, instrumentasi dan komposisi.

“Nak buat lagu untuk penyanyi lain pun rasanya tidak begini. Mungkin kerana kita tahu arah tuju muzik dan vokalnya. Bukan saya kata saya tidak tahu ke mana arah album itu.

“Tetapi saya harus menghasilkan sesuatu yang lain yang mempunyai ‘bunyi’ saya. Album itu tentang perjalanan saya, sesuatu yang lain yang saya tidak boleh buat apabila bersama-sama kumpulan saya,” kata Tam.

Menggemari irama folk, Tam memberitahu, sudah ada beberapa lagu untuk dimuatkan dalam album solonya itu namun dia masih mencari karya yang terbaik untuk dipersembahkan kepada peminat.

“Bukan mudah mencari lagu untuk diri sendiri. Cabarannya lain dan memang buat saya rasa gementar, Jadi saya perlu lebih bersikap terbuka dan meneroka benda lain,” katanya.

Malah kata penyanyi dan komposer ini, dia berbesar hati untuk berkolaborasi dengan penerbit lain untuk album solonya itu kerana mahukan idea-idea baharu dan segar.

Malangnya kata Tam, ramai penerbit terutama yang muda takut untuk menjalinkan kerjasama dengannya hanya kerana mereka telah meletakkan satu tanda aras kepada kerja-kerja penerbitan dan penciptaan yang dilakukannya.

“Saya memang mengalu-alukan kerjasama dengan penerbit lain khususnya yang muda kerana saya mahu gabungkan idea-idea mereka. Saya suka bekerja secara berkumpulan.

“Tetapi masalahnya mereka tak nak. Ada yang takut kerana beranggapan saya sudah berada pada tahap saya tersendiri,” kata Tam yang memuji dan ingin berkolaborasi dengan penerbit dan komposer seperti Aidit dan Adi Sixth Sense.

Tam turut mengakui, kesibukan mengendalikan projek penerbitan dan penciptaan lagu untuk artis-artis tempatan lain juga menyebabkan projek untuk merealisasikan album solonya itu tertangguh.

Malah kata Tam, dia juga teruja dengan band anak bujangnya, Muhd Aliff, 24, yang lebih terarah ke genre grunge dan berura-ura untuk menerbitkan album mereka.

“Saya melihat anak saya dengan (gaya) grungenya dan begitu teruja. Melihat dia dengan gayanya mengingatkan saya tentang diri saya suatu ketika dahulu. Malah saya tak sangka dia mempunyai band sendiri,” katanya.

Konsert raya dengan Search dan Hujan

DALAM pada itu, Tam dan kumpulannya, Spider bersama-sama Search dan Hujan akan mengadakan konsert percuma sempena sambutan Aidilfitri pada 30 Jun ini di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Konsert Matrix Aidilfitri Festival 2018 anjuran Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) itu juga bersempena ulang tahun ke-21 pemaju hartanah kediaman dan komersil dan lima tahun disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

Teruja untuk menghiburkan para peminat rock, Tam memberitahu, Spider akan menyajikan seleksi lagu-lagu popular mereka pada persembahan selama 45 minit.

“Gabungan tiga generasi - Spider, Search dan Hujan pastinya akan menghiburkan peminat malah kami akan memainkan lagu-lagu Spider yang lebih rancak untuk hiburan khalayak,” kata Tam.

Menyasarkan kehadiran 10,000 peminat selain konsert yang berlangsung pada pukul 8 malam, festival itu juga menyediakan pelbagai aktiviti seisi keluarga bermula pukul 2 petang.