Starxpo Centre Kenanga Wholesale City (KWC) menjadi bukti unggul mereka tidak pernah terhakis.  Memilih lagu Sinar Menunggu, sebagai pembuka pentas, konsert ini sebenarnya di bahagikan kepada empat segmen yang mewakili hampir 22 buah lagu. Rata-rata lagu yang dipersembah cukup mesra dengan peminat. Masakan tidak, hampir semua lagu yang dinyanyikan cukup senang di hafal peminat kumpulan ini.

Antara segmen yang paling mendapat perhatian tentunya kehadiran komposer terkenal Saari Amri ke atas pentas. Tidak sekadar hadir untuk memberikan sokongan, komposer itu juga diberikan penghargaan untuk menyanyikan lagu ciptaannya Kembali Terjalin sambil diiringi kumpulan Slam. Suatu situasi yang jarang berlaku di atas pentas konsert,  namun Slam percaya selepas sekian lama bertapak perlu bagi mereka menghargai orang-orang yang selama ini meletakkan nama Slam di kedudukan terbaik sehingga kini.

Lokasi berbeza Konsert Kurnia?

Melihat apa yang mampu diwujudkan Slam, ada yang meminta agar konsert ini tidak berakhir di Kuala Lumpur sahaja. Malah ada yang mencadangkan agar konsert ini diteruskan pula ke Johor Bahru. Sebabnya perlu diketahui bahawa peminat kumpulan ini juga hadir dari negara Seberang Tambak. Kalau ada yang masih ingat, konsert kumpulan ini di Singapura kira-kira sedekad lalu juga masih menjadi buah mulut sehingga kini, apatah lagi ia disifatkan sebagai konsert terbaik tahun itu. Perkara ini sebenarnya membuktikan muzik Slam mempunyai pengaruh tersendiri di negara jiran itu.

Konsert Kurnia sendiri sudah membuktikan Slam bukan lagi sebuah kumpulan muzik biasa, bisanya kekal ke hari ini. Saat ini perlu diakui Slam perlu diangkat sama seperti kumpulan legenda lain, seperti Wings dan Search.

Zamani kekal jadi dambaan

PADA awalnya, apa yang menjadi tanda tanya pada malam itu adalah kemampuan vokalis kumpulan ini, Zamani beraksi. Setelah sekian lama tidak muncul dalam persembahan skala besar, apakah nilai vokalnya tetap sama? Ternyata selepas melalui pelbagai kontroversi, Zamani berjaya membuktikan dia tetap seorang penyanyi yang baik. Tanpa sebarang cela sepanjang menyampaikan lagu-lagu hebat kumpulan ini, Zamani juga nampak begitu selesa di pentas. Sifat malu yang kekal dalam dirinya, bagaikan melayang pergi. Tiada lagi Zamani yang penyegan di pentas ini, dan bahasa komunikasinya juga jelas, teratur dan mengesankan. Justeru, Zamani pada malam itu juga terus didamba peminat wanita yang tidak henti-henti memekikkan namanya tanda sokongan.

Sekian lama, perlu diakui aura yang di bawa Zamani dalam Slam sendiri tidak pernah pudar. Dia adalah kekuatan utama Slam, tanpa menafikan kehebatan anggota yang lain dalam kumpulan itu.

Malam itu, tiada gerimis yang mengundang di hati peminat-peminat yang datang. Memang berbaloi!