Konsert Kurnia Slam adalah yang ketiga terbesar pernah dilakukan selepas konsert pertama di Stadium Negara pada 1996, lebih sedekad yang lalu. Slam pernah muncul di Dewan Konvensyen Suntec, Singapura pada 2012.

Zamani turut mengakui, stamina juga antara yang merisaukannya apatah lagi dia sudah lama tidak menyanyi secara langsung sambil diiringi pemuzik.

“Daripada segi stamina, saya cuba kumpulkan menerusi latihan dan begitu juga menerusi persembahan yang saya lakukan sebelum konsert. Tetapi semua pun perlu faham, cara saya menyanyi ada sedikit berbeza berbanding dahulu kerana faktor usia dan sebagainya tetapi untuk menyanyi, tidak ada masalah,” jelasnya.

Buat masa sekarang, selain daripada fokus pada sesi latihan, mereka juga komited untuk turun padang bagi mempromosikan konsert itu. Walaupun sudah berada dalam industri sejak awal 90-an, adalah satu keperluan untuk mereka turun padang bersama-sama untuk melakukan promosi.

“Ini kerja kami sejak dahulu lagi, tidak akan main-main apabila membabitkan show, apatah lagi jika ia berskala besar. Promosi adalah satu kemestian dan letih macam mana sekalipun, kami akan turun latihan sebab tidak mahu ada masalah lain dan mengecewakan peminat,” kata Zamani, memberi janji.

Konsert di Singapura yang sangat baik sambutannya memberikan kelegaan buat kumpulan ini, justeru memberi semangat luar biasa untuk mereka memberikan kehebatan yang sama buat peminat Slam di sini.

“Sebenarnya kami sentiasa berlatih dan merancang awal untuk setiap kali persembahan besar. Lagipun, Zamani juga ada aura tersendiri pada vokalnya. Kami juga sebagai anggota muzik juga merancang yang terbaik terutamanya daripada segi muzik,” jelas Shah pula, yang juga ketua kumpulan tersebut.

Pada malam konsert yang diadakan di Star Expo Centre, Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur itu nanti, sebanyak 26 buah lagu akan dinyanyikan sekali gus memerlukan kekuatan stamina yang tinggi.

Bercerita mengenai konsep persembahan pada malam itu, penonton tidak perlu risau kerana semua lagu-lagu ‘berhantu’ Slam akan didendangkan. Tetapi adalah satu kerugian jika semua lagu-lagu hit ini dinyanyikan dalam satu segmen dan ia akan diselang selikan dengan lagu lain. Mereka juga tidak mahu peminat ternanti-nanti lagu-lagu berhantu ini sebaliknya menghidangkannya satu persatu hingga ke akhir konsert.

Dua orang penyanyi iaitu Hazama dan Ronnie akan turut serta sebagai artis undangan dan pemilihan mereka dilakukan selepas berbincang. Akim dan Tomok juga sebelum ini menyatakan kesediaan mereka untuk beraksi bersama Slam tetapi akhirnya menolak disebabkan faktor jadual.

“Memang kita ada niat untuk mengadakan konsert ini di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak tetapi belum ada kata putus lagi.

“Jika sambutan baik dan ada perancangan untuk ke arah itu, kami sentiasa sedia untuk melakukannya demi peminat,” kata Zamani.

Konsert Kurnia Slam akan diadakan pada 14 Mei ini dengan harga tiket menyaksikan konsert berkenaan dijual bermula RM88 sehingga RM399.

Ia boleh didapati secara dalam talian menerusi www.ticketpro.com.my atau menghubungi talian 03-78807999.- Gambar HAFIZ JOHARI