Slam masih relevan

s 6

MELIHATKAN sambutan hangat yang diberikan kepada Slam malam minggu lalu membuatkan ramai percaya bahawa kumpulan ini masih berbisa dan mampu menarik perhatian peminat. Mereka juga berjaya membuktikan kata-kata kurang manis yang awal-awal lagi mempersoalkan adakah Slam masih mampu menarik khalayak untuk hadir menyaksikan konsert mereka.

Tanggal 14 Mei lalu, Slam mencatat satu lagi kenangan manis apabila peminat setia mereka berkumpul untuk menyaksikan enam anggota asal kumpulan itu bersatu menghiburkan 6,000 penonton. Meski jumlah tersebut tidak dapat menandingi Konsert Grand Slam pada 1996 tetapi sudah cukup menjadi petanda yang mereka masih relevan dalam industri.

Pengalaman bergelap sewaktu menonton konsert gara-gara bekalan elektrik terputus di seluruh Semenanjung Malaysia dua dekad lalu pasti menjadi antara kenangan manis 'bersama-sama' Slam. Dan bagi generasi terdahulu, mereka mahu mengulangi yang dirasai itu pada konsert kali ini.

Sementara bagi generasi muda pula, acara ini tidak harus dilepaskan terutama untuk berdendang dengan penyanyi asal sementelah lagu-lagu Slam sering menjadi pilihan setiap kali sesi karaoke.

Tidak hairanlah formula ini yang membuatkan Konsert Kurnia Slam mendapat sambutan memberansangkan terutama sesudah 20 tahun tidak hadir dengan konsert berskala besar.

Tidak hanya mengumpulkan peminat lama, generasi muda juga tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama berhibur dengan Slam.

Ramai yang percaya kekuatan kumpulan ini tidak hanya terletak kepada kelunakan suara Zamani semata-mata tetapi turut dinaungi rakan-rakan pemuzik berbakat seperti Shah, Eddie, Ajak, Man dan Lily yang menghidupkan Slam dengan petikan melodi indah.

Harus diakui, lagu-lagu dendangan Slam kekal bertahan sehingga hari ini. Pujian harus diberikan kepada komposer yang banyak menaikkan nama mereka termasuklah Saari Amri yang banyak mencorakkan kumpulan ini hingga mampu bertahan.

Berbeza dengan kumpulan yang lain, kekuatan Slam lahir daripada sebuah persahabatan yang ikhlas. Meski Zamani pernah bergerak secara solo namun mereka tidak menghadapi masalah untuk kembali bersatu menghiburkan peminat yang sentiasa merindui kehadiran mereka.

Paduan inilah yang membuatkan Slam mampu merealisasikan impian untuk mengadakan acara besar begini. Dan mereka juga telah membuktikan kepada khalayak yang lagu-lagu ‘jiwang’ mampu melekat dan membuai emosi meski sudah berusia puluhan tahun.

Buai emosi

PADA malam tersebut, Slam membuka panggung sekitar pukul 9 malam. Walaupun Kuala Lumpur gerimis sepanjang malam, Zamani berjaya menghangatkan Dewan StarXpo, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur dengan alunan merdu suaranya.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Sinar Menunggu pastinya khalayak teruja dengan kemunculan anggota Slam. Lagu yang jarang didendangkan pada kebanyakan persembahan sebelum ini pastinya mengembalikan ingatan peminat terhadap rangkaian lagu-lagu milik Slam.

Tanpa banyak bicara, Zamani terus menghiburkan khalayak dengan lagu Biarkan Nya, Maria Mariana, Tak Mungkin Berpaling, Entah Mengapa, Kembali Merindu, Mentari Muncul Lagi, Terasing Dalam Sepi, Biarkan Ia Pergi dan Ranting Impian yang dibahagi dalam dua segmen.

Kekuatan Slam juga sebenarnya turut terletak kepada muzik unplugged. Jika 20 tahun lalu mereka pernah melakukan konsert unplugged berskala besar, pastinya segmen untuk itu tidak dilupakan untuk konsert kali ini.

Malam tersebut Slam tidak bersendirian mengemudi acara sebaliknya turut menjemput Ronnie Hussein untuk berdendang lagu Terasing Dalam Sepi.

Selain itu Slam juga menjemput Saari Amri untuk naik ke pentas sebagai tanda penghargaan. Zamani berduet dengan komposer berkenaan menerus lagu Kembali Terjalin.

Penyanyi Hazama juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu Kita Terpaksa Bermusuhan sebagai pelengkap kepada keseluruhan konsert.

Segak mengenakan sut tajaan Taufik & Tailors, petikan gitar, piano, akordian serta ketukan drum yang padu memberikan nilai tambah kepada Konsert Kurnia Slam.

Zamani mengekalkan keterujaan peminat terhadap kelunakan vokalnya menerusi rangkaian lagu-lagu seperti Buat Seorang Kekasih, Sendiri dan Kasih.

Menerusi lagu Syair Si Pari-Pari, Slam turut mengundang Aidit Alfian yang juga merupakan pencipta asal lagu tersebut untuk sama-sama memetik gitar sebelum meneruskan persembahan lagu Nur Kasih, Manisnya Rindu, Tiada Aku Jemu, Jika Kau Rasa Getarnya dan Kurnia.

Mengakhiri acara, Zamani mendendangkan lagu Gerimis Mengundang yang pernah menaikkan nama Slam sekitar pertengahan 1990-an sebagai penutup konsert.

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati