Polis Evo tampil dengan sebuah kisah ringkas tentang pegawai polis biasa, tetapi isinya penuh dengan aksi dan komedi yang ditagih penonton.

Hasilnya, filem ini mencatat rekod kutipan filem tempatan tertinggi mengatasi KL Gangster dengan kutipan RM 11.7 juta dan The Journey.

Aura pelakon yang terdiri daripada Shaheizy Sam dan Zizan Razak mungkin merupakan tarikannya selain kisah kepolisan yang digemari penonton.

Namun faktor yang tidak boleh dipinggirkan ialah kekuatan pada skripnya.

Berbual dengan tiga anak muda yang bertanggungjawab menghasil skrip filem ini, Joel Soh, 28, Kyle Goonting, 27, dan Anwari Ashraf, 26, nyata perincian yang dilakukan ke dalam skrip Polis Evo sangat dalam.

Bayangkan, saya yang mendengar sahaja sudah merasakan penat, bagaimana pula dengan proses pembikinannya sebelum ini? Tentulah lebih mencabar.

Mereka sendiri mengaku penat, tetapi disebabkan minat yang mendalam, semua itu diketepikan. Hasilnya, sebuah filem dengan kutipan tertinggi berjaya dihasilkan.

Joel yang mengetuai projek ini yang juga bertindak sebagai penerbit filem Polis Evo, berkata, skrip yang mengambil masa setahun untuk disiapkan drafnya, sebenarnya bukan idea asal mereka.

“Konsep pada awalnya lain, tetapi bertukar hinggalah ke jalan cerita yang ada sekarang. Lagipun, kami bertiga memang minat untuk buat filem aksi kerana genre tersebut tidak banyak dalam industri filem tempatan.

“Kami lihat, hanya Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof yang membuat filem aksi dengan identiti tempatan seperti filem KL Gangster, Abang Long Fadil dan KL Drift,” jelasnya.

Membentuk sebuah konsep itu memang mudah bagi Joel, tetapi untuk menjadikan konsep itu ke dalam skrip yang mengambil masa agak lama.

Malah, keseluruhan skrip yang sudah lengkap sebenarnya ada enam, sebelum skrip Polis Evo yang sebenar terhasil.

“Cara kerja kami sebenarnya macam tentera. Kami bermula dengan muka surat pertama. Jika ada yang dirasakan tidak kena, kami akan bermula dengan muka surat pertama yang baharu.

“Lagipun, kami buat skrip mengikut teknik di Hollywood yang mana satu minit di layar perak bersamaan dengan sehelai muka surat di dalam skrip.

“Perkara ini sebenarnya asas dalam penulisan skrip dan di sini, ia kurang dipraktikkan dan kami sendiri merasakan ia sesuatu yang sangat susah,” jelasnya.

Hala tuju filem tempatan

Sejarah sudah dicipta dan rekod itu juga adalah catatan kemampuan mereka dalam menghasilkan sebuah skrip filem yang baik.

“Memang risau, tetapi itu adalah cabaran untuk kami cari kaedah yang boleh digunakan untuk menolak filem kita ke pasaran luar,” jelas Joel.

Tambahnya, sekarang bukan sekadar skrip sahaja, struktur produksi juga sepatutnya sudah bergerak ke arah Hollywood.

“Sudah pasti penonton mahukan yang lebih baik. Sudah pasti, keseluruhan pasukan bukan sekadar skrip sahaja yang perlu bergerak ke hadapan. Jika tanya kami, sudah pasti impian adalah supaya orang luar nampak filem kita sebaris dengan filem Thailand dan Indonesia.

“Mereka ada identiti filem mereka sendiri seperti Indonesia dengan Raid Redemption dan Thailand dengan Ong Bak. Jadi, filem kita juga perlu ada identiti sendiri untuk dilihat orang luar,” jelasnya.

Sebagai generasi pelapis dalam industri perfileman, Joel sangat yakin dengan hala tuju filem tempatan sekarang, jika minda penonton boleh menerima perubahan.

“Penonton sudah sedia ada. Apa yang penting ialah penggiat industri tidak berehat. Kita perlu teruskan rentak yang sedia ada sekarang ini dan tidak berhenti di sini sahaja,” jelasnya.

Hakikat yang tidak boleh disangkal ialah, penonton inginkan sebuah filem yang terbaik untuk ditonton, sesuai dengan nilai wang yang dilaburkan.

Sokongan terhadap filem tempatan khususnya filem Melayu tidak pernah luntur, tetapi isi filem itu sendiri yang perlu mencapai tahap kepuasan penonton.

Sasaran pecah rekod

Anwari sendiri mengakui mereka punya sasaran untuk mengutip kutipan tiket tinggi tetapi tidak menyangka akan mencipta sejarah untuk industri filem itu sendiri.

“Kami berusaha keras untuk mencapai sasaran membuat filem pecah panggung. Visi perlu ada bagi setiap orang yang terlibat. Ini bukan sebuah karya biasa-biasa,” katanya.

Baik daripada produksi hinggalah ke pemasaran, Anwari percaya semuanya perlu bergerak seiring supaya filem itu mendapat sambutan memberangsangkan.

Bagi Joel pula, sasaran pecah panggung sebenarnya sudah dilakukan sejak awal. Mereka membuat analisa terhadap setiap filem yang mencapai kutipan tertinggi sebelum ini.

“Kita tahu filem KL Gangster adalah filem Melayu dengan kutipan tertinggi sebelum The Journey muncul. Sebagai penerbit, ada dua cara mereka boleh dapat kutipan lebih RM10 juta.

“Pertama bernasib baik atau kedua berusaha dengan keras. Bagi kami, kejayaan mereka bukan kerana nasib baik, tetapi usaha keras dan kami ikut cara kerja yang mereka lakukan,” jelasnya.

Kedua-dua filem itu dianalisa oleh mereka bertiga termasuklah memotong setiap babak untuk melihat bagaimana proses membuat filem yang terbaik.

“Bagi kami, jika hendak buat filem dengan sasaran kutipan RM3 juta atau RM4 juta sahaja, lebih baik tak perlu buat. Kita kena paksa diri kita untuk buat yang terbaik. Kalau kita tidak perlu tidur kerana bekerja, kena ada sebab munasabah. Kalau tidak, memang sia-sia,” jelas Joel.

Gaduh sesama sendiri

Tidak ada kerja di dunia ini yang dilakukan secara bersama tanpa sedikit salah faham antara satu sama lain. Pada awalnya ada pergaduhan antara tiga sahabat ini, tetapi apabila sudah mendapat rentak untuk bekerjasama,tugas menjadi mudah.

“Kami ada kerja masing-masing, buat skrip adalah kerja sampingan sahaja. Jadi waktu itu agak terhad kerana kami akan berjumpa lebih kurang pukul enam petang dan selalunya berlanjutan hingga pukul empat pagi sebelum memulakan kerja harian keesokan harinya. Dalam tempoh masa itu, badan kami mungkin mengalami keletihan apatah lagi cara kerja kami seperti tentera,” jelas Kyle.

Falsafah yang digunakan mereka amat mudah. Mereka akan tulis apa sahaja, sehingga cerita yang ditulis itu dirasakan buruk.

“Jika kami merasakan hasil itu adalah buruk, itu bermakna yang sebelum ini adalah yang terbaik. Perkara itu sedikit sebanyak mengganggu emosi kami pada awalnya. Sudah penat buat, tiba-tiba terpaksa buka kertas baharu dan tulis daripada awal penceritaan. Tambah pula masing-masing sudah letih.

“Memang banyak kali kami bermasam muka, tetapi semakin lama kami bekerja, kami sedar untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik, itu adalah perlu,” kata Kyle.

Menariknya ‘gaduh manja’ mereka tidak berlanjutan, keesokannya mereka akan buka bab baru dan meneruskannya kerja seni bersama.

“Antara kami, masing-masing ada kelebihan. Saya lebih kepada romantik dan drama. Anwari pula baik daripada segi dialog, manakala Joel pula lebih kepada aksi.

“Setiap daripada kami akan tulis dan kemudian kami tukar sesama sendiri untuk penilaian. Sebab itu ada bermasam muka sikit bila kerja kita kena tegur. Namun, biasanya sekejap sahaja kerana kami sedar, setiap kritikan itu adalah betul dan kita tidak perlu syok sendiri dalam bekerja,” jelas Kyle.

Bagi mereka, dalam berkarya, tiada guna bersengkang mata tanpa sebarang matlamat yang kukuh.

Daripada matlamat itulah, membentangkan apa yang menjadi realiti hari ini. Ternyata, formula tiga anak muda ini benar-benar menjadi dan bakal dikenang dalam sejarah industri filem tempatan.

Sembang biasa

SKRIP Polis Evo sebenarnya bermula dengan sekadar sembang-sembang biasa yang kemudiannya diangkat menjadi naskhah yang berjaya mencipta sejarah dalam kutipan jualan tiket.

Joel menjelaskan, skrip yang mereka hasilkan itu, bukan sahaja digunakan semasa proses lakonan, tetapi sehingga ke peringkat suntingan kerana ia adalah sebuah naskhah yang lengkap.

“Bila kita buat ikut cara asas penulisan skrip, setiap detik itu tepat dan akhirnya digunakan sehinggalah ke peringkat suntingan.

“Itu yang selepas ini, kami mahukan sebuah skrip yang sekurang-kurangnya sama dengan apa yang kami lakukan,” ujarnya.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini mempunyai jawatan masing-masing dalam produksi tetapi ini adalah kali pertama mereka menghasilkan skrip.

Bekerja dengan tiga kepala sudah pasti ada masanya darah akan naik dan turun. Itu dihadapi oleh mereka bertiga di peringkat permulaan.