Mengumumkan berita sedih tersebut, biduanita muda itu memberitahu, sekalipun sedih, namun, beliau reda dan tabah menerima ujian Allah.

Dalam status terbaharunya di laman sosial Instagram sebentar tadi, Siti Nurhaliza, 36, berkata, sudah sampai masanya untuk beliau berkongsi berita berkenaan sekalipun sebelum ini penyanyi itu memilih untuk tidak mengia atau menafikan berita kehamilannya.

Menurut Siti Nurhaliza, keputusannya untuk tidak menghebahkan berita kehamilannya itu bukan kerana beliau ingin berahsia, sebaliknya, usia kandungannya itu terlalu baharu untuk dikongsi dengan orang ramai.

“Memang tak mahu menafikan berita kehamilan kerana ia anugerah terindah yang lama Siti nantikan dan sudah pastinya peminat yang mendoakan juga. Nak mengiakan pun takut kerana anugerah ini terlalu baru dan ‘fragile’ untuk dihebahkan. Hanya memohon masa yang sesuai.

“Ternyata, Allah SWT pinjamkan anugerah ini untuk seketika... sempat dua bulan Siti kandungkan dan Siti keguguran. Siti reda dan jauh di sudut hati amat bersyukur kerana Allah SWT beri Siti jawapan di atas doa Siti... Insya-Allah semoga ia permulaan untuk anugerah yang seterusnya,” kata Siti Nurhaliza dalam status terbaharunya itu.

Status yang dikemaskini itu merupakan kenyataan pertama yang keluar dari mulut Siti Nurhaliza secara terbuka mengenai kehamilannya.

Dalam status berkenaan, penyanyi lagu Cindai itu juga mengucapkan terima kasih kepada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa, keluarga, sahabat serta peminat-peminatnya yang tidak pernah jemu mendoakan kesejahteraannya.

Siti Nurhaliza dan Khalid mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006 dan selama perkahwinan itu, pasangan berkenaan tidak pernah jemu ditanya mengenai soal cahaya mata.

Dalam catatan itu, Siti Nurhaliza turut memohon semua pihak memberi ruang kepadanya untuk berehat sebelum kembali bekerja seperti biasa.

Menurutnya, sebaik selesai berpantang, beliau akan kembali menjalani kegiatan seperti biasa selain akan berkunjung ke Jakarta, Indonesia atas urusan kerjaya seninya. - UTUSAN ONLINE