Mencecah enam bulan usia kandungannya, Siti tidak keberatan berkongsi pengalaman sepanjang tempoh tersebut. Menurut isteri Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa ini, selepas melalui alahan teruk pada awal kehamilan, kini dia kembali cergas meskipun agak terbatas.

Katanya, keadaan pada trimester pertama lalu sangat mencabar. Loya sepanjang hari, berdepan kesukaran pernafasan sehingga memerlukan kerusi roda untuk bergerak serta tidak boleh menghidu bau dapur antara pengalaman yang dikutip ketika itu.

Namun semuanya kini kembali normal dan Siti sentiasa berdoa agar tatkala memasuki trimester ketiga pada Januari nanti, kandungan dan dirinya sentiasa dalam keadaan baik sehingga kelahiran bayinya yang dijangka pada Mac depan.

Selain itu, penyanyi lagu Bersandar Cinta ini turut memanjatkan kesyukuran kerana tidak berdepan situasi mengidam makanan-makanan yang pelik atau di luar jangkaan.

“Awal mengandung, saya tidak dapat menikmati makanan pedas dan masam walaupun itu merupakan antara kegemaran saya. Bukan itu sahaja, saya juga tidak mampu untuk memasak kerana tidak boleh menerima bau dapur. Kini semua alahan semakin berkurangan dan boleh dikatakan kembali normal.

“Kalau berkenaan mengidam pula, setakat ini tiada lagi makanan pelik yang saya mahukan. Cuma baru-baru ini saya teringatkan limau manis yang pernah saya makan ketika berkunjung ke Palestin tahun lepas.

“Saya kirim limau tersebut dengan seorang ustaz yang sering ke sana, namun bertukar masam selepas sampai ke Malaysia. Untuk mendapatkan limau yang hampir sama, saya meminta menantu, Tya Ariffin membeli limau di Jakarta, Indonesia. Terubat sikit rasa teringin itu apabila dapat makan limau tersebut,” jelasnya ceria.

Dalam pada itu Siti tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sudah mula menghadiahkan pelbagai kelengkapan kepadanya.

Meskipun belum mengumumkan jantina cahaya matanya, peminat tetap menghadiahkan baju bayi lelaki dan perempuan.

Bagi menghargai ingatan peminat kepadanya, Siti mengumpulkan semua hadiah tersebut di dalam bilik khas untuk bayinya dan pastinya akan digunakan tidak lama lagi.

Siti dan suami pula hanya akan membuat persiapan membeli-belah barangan bayi apabila usia kandungannya memasuki tujuh bulan kelak.

“Saya sangat gembira dan terharu menerima banyak hadiah daripada peminat. Saya amat berterima kasih kepada mereka yang bukan sahaja tidak putus-putus menyokong kerjaya saya, malah turut berkongsi rasa gembira apabila saya mengandung.

“Saya teruja menerima baju-baju bayi sama ada baju lelaki atau perempuan. Banyak hadiah yang saya terima dan sebagai persediaan awal, saya kumpulkan semuanya dalam bilik yang dikhaskan kepada anak kami nanti.

“Selain itu, mereka juga menghadiahkan pelbagai hamper set mandian serta set tilam,” ujarnya.