“Sudah tidak ada lagi yang boleh dikatakan. Privasi itu tetap milik saya sepenuhnya,” tegas pelakon utama drama Coklat Vanila ini tentang hubungan cinta yang putus di tengah jalan.

Mahu menjaga air muka keluarga kedua-dua belah pihak daripada menjadi mangsa bualan umum, Aiman juga sanggup mengorbankan perasaan sendiri.

Lantaran itu, Aiman memutuskan untuk menyimpan kisah peribadinya itu dalam dirinya kerana tidak mahu episod sedih dalam hidupnya itu itu menjadi topik dan bahan senda.

Pada masa yang sama, Aiman mengakui mempelajari banyak perkara selepas perpisahannya itu.

Paling utama adalah tentang impak sesebuah hubungan selepas didedahkan di media massa.

“Bukan saya mahu bersikap defensif tentang perkara ini tetapi saya lebih memandang ke depan khususnya kesan-kesan daripada kontroversi yang membabitkan seseorang artis itu.

“Saya akui yang sebenarnya kontroversi itu ada baiknya untuk seorang artis lebih dikenali. Tak kiralah sama ada kontroversi itu yang baik atau buruk.

“Tapi nampak gayanya orang kita lebih mengingati perkara yang buruk daripada sebaliknya.

“Selepas berfikir panjang tentang perkara itu, saya fikir lebih baik kalau saya ‘simpan’ perkara-perkara yang boleh saya simpan,” katanya penuh makna.

Kisah perpisahan pasangan pelakon ini didedahkan sendiri oleh Fathia baru-baru ini.

Fathia mendakwa hubungan mereka yang terjalin sejak tiga tahun lalu itu terpaksa ditamatkan kerana tiada lagi persefahaman.

Sebelum ini pasangan dua sejoli ini dikatakan pernah berpisah seketika sekitar awal tahun ini.

Bagaimanapun kasih bertaut kembali dan kedua-duanya sepakat untuk menyelamatkan hubungan dengan memperbaiki kekurangan masing-masing.

Maju ke depan

ENGGAN terikat dengan permasalahan itu, hero drama Sesal Separuh Nyawa ini nekad untuk memberi fokus terhadap kerjaya lakonannya.

Mengakui sudah merancang pelbagai strategi untuk mengukuhkan lagi namanya pada tahun depan, Aiman juga berharap dapat memberi tumpuan penuh terhadap pekerjaannya itu.

“Saya perlu menajamkan kemahiran lakonan. Sudah tak boleh lagi terikat dengan cara lakonan yang lama. Nanti orang bosan.

“Sebab itu saya kena bekerja lebih kuat untuk mempertingkatkan mutu lakonan saya. Perkara ini bukan satu kerja yang mudah.

“Kena ada usaha dan konsisten. Tak boleh lagi ikut cara kerja empat tahun dulu,” katanya tentang azam menjelang tahun baharu 2016 ini.

Untuk tujuan itu juga, Aiman berhasrat untuk menuntut ilmu lakonan dengan pelakon berbakat seperti Beto Kusyairy, Azhan Rani, Nam Ron dan Bront Palarae.

Ini kerana Aiman merasakan lakonan hebat seperti mereka perlu dicontohi demi kemaslahatan kerjaya lakonannya pada masa depan.

“Orang akan mengingati lakonan hebat seseorang pelakon itu. Bukan kepada populariti yang ada dek dikaitkan satu demi satu cerita panas.

“Saya mahu jadi pelakon hebat itu. Itu sasaran saya. Kalau ada rezeki diberi tawaran watak yang kuat, saya tidak akan mensia-siakannya.

“Hanya dengan cara itu, saya dapat mengubah persepsi segelintir pihak yang seolah-olah memandang  rendah mutu lakonan saya,” katanya yang bakal berlakon dalam filem baharu berjudul Kimchi Untuk Awak tahun depan.