Ada ketika dia suka menyelinap masuk ke kawasan tempat letak kereta kebal walaupun kawasan itu dilarang masuk.Namun, semua itu tidak jadi masalah dek kerana Choon Kooi sangat dikenali memandangkan bapanya, Lee Kang Hai atau lebih dikenali sebagai Sarjan Lee merupakan seorang askar dan tinggal di rumah kerajaan Kem Sungala, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Disebabkan tinggal di situ, rata-rata rakan sepermainannya adalah kanak-kanak Melayu membuatkan dia berbahasa Melayu dengan fasih.

Membesar dalam persekitaran orang Melayu menyebabkan Choon Kooi bukan sahaja terdedah dengan budaya Melayu, malah pada ajaran Islam sehingga dia pernah ‘ikut-ikut’ berpuasa serta sering tertarik dengan laungan azan.

Jiwanya berasa tenang setiap kali mendengar tentang Islam, namun ketika itu dia masih belum menerima hidayah untuk memeluk agama Islam walaupun berkawan rapat dengan seorang rakan bernama Rahim yang merupakan anak seorang ustaz.

Hatinya terbuka untuk kembali kepada fitrah pada usia 39 tahun, dan setahun selepas itu Choon Kooi atau nama Islamnya, Adam Corrie Lee Abdullah mendirikan rumah tangga dengan jodohnya, Fazema Mohd. Fuad, 39, selepas hanya dua bulan berkenalan.

Biarpun sudah memeluk Islam, akui lelaki berusia 49 tahun itu, dia masih ‘Hock Peng’ yang sama buat keluarganya dan tiada apa yang merubah dirinya kecuali pegangan agama sahaja.

Malah akuinya, bergelar Muslim menjadikannya manusia yang lebih baik.

“Ibu memanggil saya Hock Peng yang bermaksud ‘anak bertuah’ dan bagi saya sehingga sekarang, saya tetap anak bertuah dia. Tiada apa yang berubah.

“Setiap tahun saya masih balik ke Taiping, Perak untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama isteri.

“Bergelar orang Islam kita harus menunjukkan sikap yang baik apatah lagi pada ibu kita. Hubungan kekeluargaan tidak boleh diputuskan, malah salah seorang adik-beradik saya juga telah memeluk Islam dan dia melakukan perkara yang sama,” katanya.

Dakwah Adam Corrie tidak terhenti begitu sahaja, dia yang merupakan pereka tari profesional (koreografer) dan pelakon, turut mengumpul dana RM400,000 setiap tahun untuk membawa jemaah mualaf menunaikan umrah bawah program Kembara Iman Saudara Baru.

Program yang dimulakan sejak tiga tahun lalu itu bertujuan membantu golongan berkenaan memantapkan akidah mereka agar sentiasa terpelihara daripada unsur-unsur negatif dengan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

“Ketika saya memeluk Islam, saya sangat teringin untuk menunaikan umrah walaupun pada ketika itu saya tidak mempunyai duit. Namun, Alhamdulillah segalanya dipermudah apabila ketika itu abang Amy Search memudahkan perjalanan saya ke sana dengan menanggung kos berkenaan terlebih dahulu.

“Jadi, saya sangat memahami keadaan mualaf yang tidak berkemampuan dan sebab itu saya cuba bantu mereka melalui cara ini,” jelasnya.

Penghijrahan Adam Corrie jika dilihat dasarnya kelihatan seperti membawa fasa baharu buat lelaki itu.

Namun, sebagai wanita yang paling rapat berada di sampingnya selepas dia Muslim, akui Fazema dia menjadi antara insan yang bertuah dapat mengahwini Adam Corrie.

Menyifatkan kehadiran Adam Corrie adalah hadiah yang dihantar Allah buatnya, Fazema mengakui, terlalu banyak perkara yang dipelajari melalui suaminya dalam usaha memperbaiki diri.

“Jika tanya saya siapa yang ajar siapa dalam soal agama Islam, saya rasa dia lagi banyak mengajar saya. Banyak perkara yang saya baiki setelah berkahwin dengan dia, malah kami menjadikan solat jemaah dan membaca al-Quran bersama sebagai rutin sebelum tidur,” katanya yang pernah melalui fasa memilukan apabila diuji tiga kali keguguran.

Fazema reda dengan ujian itu dan menyifatkan segala yang berlaku ada hikmahnya.