Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Signifikan dua dekad Siti Nurhaliza

DATO SITI 8

SABTU lalu menjadi saksi bahawa rasa kasih dan sayang tidak cuma bercambah antara ahli keluarga, teman-teman mahupun pasangan semata-mata.

Kasih sayang yang sifatnya universal itu nyata begitu kuat dirasai antara seorang anak seni bergelar penyanyi dengan peminatnya.

Barangkali kasih sayang itulah hadiah yang paling membahagiakan buat penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza.

Selama 20 tahun setia menghiburkan peminat atas tiket 'aku anak seni’, siapa yang mampu menyangkal kehebatan Siti Nurhaliza sebagai seorang penyanyi apalagi dalam kepesatan dunia hiburan menerima kehadiran penyanyi baharu.

Pun begitu yang paling mengagumkan ialah bagaimana peminatnya mampu menyalurkan tenaga luar biasa dalam terus memberi sokongan padu kepada kemunculan Siti Nurhaliza dalam persada seni suara selama dua dekad ini.

Bayangkan, setiap aktiviti, persembahan, konsert dan sebagainya, figura yang seorang ini tidak pernah gagal meraih sokongan peminatnya yang terus setia berada menyokong dalam suka dukanya.

Begitulah hebatnya nilai kasih sayang antara artis dan peminat tegar yang tentunya tidak akan terbit andai cuma beralaskan minat semata-mata.

SitiNurhaliza bertuah kerana dikelilingi mereka yang menyayangi dirinya yang tidak sahaja menjadikannya seorang idola tetapi juga sebagai sumber inspirasi.

Dia tidak perlu berlebih-lebihan malah dengan sikap rendah diri dan kekal dengan jati diri seorang anak kampung, Siti Nurhaliza cemerlang meraih banyak jiwa biarpun sudah punya pangkat, status dan kedudukan tersendiri dalam industri.

Kasih sayang, muzik, usaha, kejayaan dan keperibadian yang mempesona, semuanya bercantum menjadi satu formula istimewa yang terzahir dalam penganjuran konsert Siti Nurhaliza minggu lalu yang menyaksikan Stadium Negara, Kuala Lumpur dibanjiri dengan aura dan tenaga luar biasa yang dibawa oleh para peminatnya.

Merupakan konsert solo ke-11 dalam tempoh 20 tahun pembabitannya dalam bidang seni, Konsert Siti Nurhaliza & Friends yang dibawakan oleh Celcom Xpax dan Yonder Music itu dikhabarkan sebagai konsert terakhir penyanyi itu sebelum dia berehat panjang.

Hal itu telah dikhabarkan oleh Siti Nurhaliza ketika isu dia mahu bersara daripada dunia seni bertebaran sebelum ini.

Hakikatnya, bukanlah itu bermaksud yang Siti Nurhaliza akan berhenti untuk aktif dalam dunia seni.

Berhasrat untuk membahagiakan peminat sebelum berehat panjang, penganjuran konsert tempoh hari dianggap sebagai satu keputusan terbaik oleh Siti Nurhaliza agar sepeninggalannya nanti mampu menjadi pengubat kerinduan dan ingatan peminat setianya yang hadir pada konsert tersebut.

Mengotakan janjinya, Siti Nurhaliza membuktikan istimewa persembahannya pada malam itu apabila seluruh tenaga dan keringatnya dicurahkan bagi memberikan hanya yang terbaik buat khalayak yang menonton.

Menyajikan 20 lagu sebagai signifikasi ulang tahunnya, Siti Nurhaliza beraksi dalam tiga segmen berbeza iaitu akustik, band dan orkestra yang mengiringi seleksi lagu-lagu dendangan termasuk Aku Cinta Padamu, Biarlah Rahsia, Percayalah, Cindai dan Terbaik Bagimu.

Turut didendangkan, lagu Jerat Percintaan ciptaan Allahyarham Adnan Abu Hassan yang merupakan lagu yang menyaksikan kemudiannya Siti Nurhaliza meraih kejayaan demi kejayaan dalam bidang seni suara.

Yang dinanti

Dalam pada itu, sesuai dengan judul konsert, Siti Nurhaliza juga tidak membiarkan pentas cuma dinikmati sendirian sebaliknya turut digamatkan dengan kehadiran teman artis yang dipilih oleh penyanyi itu untuk memeriahkan lagi suasana pada malam itu.

Sebenarnya secara am, memang ramai antara yang hadir umpama memasang serampang dua mata. Dapat saksikan Siti Nurhaliza beraksi dan pada masa yang sama berpeluang untuk menyaksikan persembahan artis yang mereka minati.

Keistimewaan sambutan ulangtahun ke-20 keberadaan Siti Nurhaliza dalam industri turut dirai bersama-sama Hafiz Suip, Faizal Tahir, Joe Flizzow dan SonaOne.

Tidak cuma artis tempatan, Siti Nurhaliza juga menjemput penyanyi dari seberang - Chakra Khan, Afgan dan Anggun untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada kegembiraannya pada malam itu.

Tidak dinafikan, kolaborasi persembahan dengan kesemua penyanyi terbabit adalah antara segmen yang paling dinanti oleh peminat memandangkan untuk lagu-lagu duet yang didendangkan telah diubah kepada sentuhan yang lebih segar dengan ada antaranya merupakan persembahan yang jarang-jarang sekali ditonton terutama nyanyian Siti Nurhaliza dengan Anggun.

Siti bertuah kerana untuk konsert tersebut, dia mempunyai pemuzik pengiring yang bijaksana dalam gubahan dan susunan lagu.

Jangan tak tahu, sebahagian mereka diterbangkan khas dari New York, Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi tulang belakang persembahan pada malam itu.

Hampir kesemua lagu yang dipersembahkan secara totalnya memberikan impak yang lebih menyamankan buat pendengar dan tidak keterlaluan andai dikatakan kesemua lagu pada malam itu merupakan senjata utama Siti Nurhaliza untuk membuatkan peminat terus 'angau' kepadanya.

Pada konsert tersebut, peminat juga berpeluang menonton persembahan 'unik’ antara Siti Nurhaliza dan mendiang Whitney Houston menerusi lagu Memories yang dimaklumkan Siti Nurhaliza merupakan lagu yang dirakamkan oleh penyanyi itu sebelum kematiannya namun tidak pernah diterbitkan.

Siti Nurhaliza juga sempat menyatakan bahawa Whitney merupakan idolanya selain turut menumpahkan air mata ketika berbicara mengenai Allahyarham bapanya, Tarudin Ismail yang banyak memberi semangat dan dorongan kepadanya selama ini selain ibunya, Siti Salmah Bachik.

Konsert dilabuhkan dengan iringan persembahan lagu Kau Ilhamku dengan semua artis jemputan yang turut disertai Jaclyn Victor.

Terima kasih Siti Nurhaliza atas kebahagiaan selama tempoh 20 tahun ini menerusi seleksi lagu-lagu anda dan semoga itu bukan konsert terakhir kerana masih ramai di luar sana yang dahagakan kasih dan sayang daripada Tok Ti.

 

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan