Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Sid Murshid miliki aura tersendiri

PENYANYI bersuara unik ini menjadikan Bon Jovi, Cold Play dan Jamie Cullum sebagai inspirasi dalam k
PENYANYI bersuara unik ini menjadikan Bon Jovi, Cold Play dan Jamie Cullum sebagai inspirasi dalam kerjaya seni.

CINTA terhadap muzik mendorong anak muda berbakat, Murshid Mahmud, 23, menjadikan bidang tersebut sebagai haluan kerjaya tetap buat dirinya. Dia yang dikenali sebagai Sid Murshid mungkin tidak sepopular penyanyi-penyanyi baharu lain, namun dengan kebolehan dan keunikan tersendiri, penyanyi muda ini disebut-sebut sebagai antara nama yang bakal menyinar dalam industri tidak lama lagi.

Kesempatan bertemu penyanyi berwajah komersial ini dalam majlis pelancaran produk baharu Simplysiti baru-baru ini membuka laluan kepada penulis berkongsi cerita tentang siapa sebenarnya Sid Murshid.

Melihat sendiri kebolehannya menyanyi sambil bermain piano tidak ubah seperti melihat ramai penyanyi antarabangsa yang mempunyai kelebihan tersendiri, membuat persembahan penuh klasik di atas pentas.

Sid memberitahu, minat dalam muzik hadir sendiri tanpa paksaan. Katanya, sejak di bangku sekolah, dia sudah aktif mempamerkan bakat dengan membuat persembahan di hadapan para pelajar.

“Saya belajar bermain piano sejak kanak-kanak lagi. Sehingga kini, saya masih terus belajar bermain alat muzik tersebut. Ketika menuntut di sekolah menengah, saya banyak terlibat membuat persembahan bersama rakan dalam majlis-majlis rasmi,” katanya.

Ramai tidak tahu bahawa Sid merupakan bekas penuntut Universiti Taylors, Kampus Lakeside di Subang Jaya dalam jurusan seni bina. Namun, dia mengakui minat lebih cenderung kepada muzik dan nyanyian berbanding bidang pelajaran ketika di universiti.

“Pada mulanya agak sukar. Tambahan pula, ibu bapa saya tidak yakin dengan muzik dan mereka mengharapkan saya meneruskan pengajian.

“Namun, saya beritahu dan mohon agar mereka memberi sedikit masa untuk saya buktikan bahawa saya mampu pergi jauh dalam muzik, kerana ini satu-satunya bidang yang saya cintai. Kini, saya bersyukur mereka mula faham dan beri kebenaran sepenuhnya untuk saya aktif menyanyi dan membuat persembahan,” ujarnya.

Selain bermain muzik dan menyanyi, tidak disangka anak muda ini juga berbakat dalam menulis dan menghasilkan lagu. Dia yang sudah menghasilkan enam lagu kini dalam perancangan untuk mengetengahkan sebuah lagu berbahasa Inggeris sebagai single sulungnya.

“Lagu ini berjudul Trying. Mengisahkan tentang percintaan dan bagaimana perasaan lelaki yang ingin memenangi hati seorang perempuan. Ia sebenarnya berkisar tentang saya.

“Dalam penulisan (lagu), saya banyak menulis tentang kehidupan. Keadaan sekeliling adalah inspirasi besar buat saya untuk menghasilkan sebuah karya yang dekat dengan pendengar generasi baharu dan lama,” tambahnya.

Jika dihitung, sudah beberapa kali penulis berpeluang menonton Sid membuat persembahan secara live di hadapan penonton berskala besar. Tidak dinafikan, dia mempunyai aura menyerlah dan tersendiri ketika membuat persembahan.

“Bagi saya, ia bagaikan satu kepuasan kepada diri sendiri. Lebih-lebih lagi melihat reaksi penonton membuatkan saya lebih bersemangat. Ia satu perasaan yang sukar diterangkan.

“Saya suka membuat persembahan. Itu satu obsesi dalam diri. Bagi saya, menyanyi dan bermain muzik di hadapan penonton berskala kecil lebih mencabar berbanding membuat persembahan di hadapan ribuan orang.

“Ini kerana, apabila menyanyi di hadapan penonton, ia sedikit sebanyak membuatkan anda berasa lebih gemuruh kerana anda lebih dekat dengan mereka,” jelasnya.

2016 bakal menjadi permulaan baik buat Sid yang akan bernaung di bawah Universal Music Malaysia. Bagi peminat yang ingin mengenali penyanyi berbakat besar ini, boleh mengikuti perkembangannya menerusi akaun Instagram sid_murshid.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan