Rezeki bergelar juara Gadis Panca MyBeauty 2018 bakal terjawab hari ini, di pentas akhir yang berlangsung di Dewan Utusan, Jalan Chan Sow Lin.

Juara pertandingan yang dianjurkan oleh akhbar Mingguan Malaysia melalui sisipan popular, Pancaindera membariskan 10 jelitawan dari pelbagai latar belakang untuk merebut hadiah wang tunai RM10,000, pakej percutian ke Balkan, tiara dan trofi iringan.

Finalis terpilih daripada ribuan adis cantik dan berpelajaran tinggi yang mencuba nasib dan mengharungi uji bakat sehingga berjaya mengalahkan calon-calon lain.

Selain menerima hadiah fizikal, penyandang juara juga bakal ditawarkan kontrak lakonan di bawah agensi pengurusan A. Aida Talent & Management.

Acara bersejarah ini bakal dikendalikan pelakon dan pelawak Joey Daud sebagai pengacara majlis manakala barisan juri terdiri daripada Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katija, Datuk A. Aida, Datuk Fazley Yaakob dan Rita Rudaini.

Detik bersejarah ini juga dirancakkan lagi dengan persembahan artis-artis popular iaitu Sufian Suhaimi, Amelina, Wany Hasrita dan Syafiq Farhain. Pelakon cantik Zahirah Macwilson juga tidak ketinggalan turut hadir memeriahkan majlis.

Selain membuat persembahan istimewa di pentas akhir, Wany Hasrita turut diumumkan sebagai penerima anugerah khas iaitu Cover Panca Inspirasi 2018. Di samping itu, Zahirah Macwilson pula akan menerima anugerah Cover Panca Versatil 2018 manakala dua pengiktirafan diberikan kepada Sufian Suhaimi dan Kilafairy menerusi anugerah Cover Panca Sensasi 2018.

Cantik, bijak dan berbakat

BERKEYAKINAN tinggi, mempunyai personaliti menarik dan bakat tersendiri menjadi kriteria utama dalam misi Pencarian Gadis Panca MyBeauty 2018.

Sememangnya 10 peserta akhir yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing, namun individu yang paling menyerlah di pentas akhir nanti bakal dinobat sebagai juara.

Sepanjang program berlangsung, kesemua peserta mempamerkan kesungguhan dan daya saing yang tinggi dalam setiap tugasan diberi. Kesemua peserta juga diberi tunjuk ajar dalam pelbagai kelas nyanyian, lakonan, tarian, mengacara dan solekan.

Mereka turut mendapat khidmat nasihat profesional tentang penampilan di atas pentas dalam satu sesi taklimat khas anjuran penaja utama, MyBeauty. Peserta diberi maklumat tentang asas kecantikan sebelum berpeluang mencuba sendiri produk di bawah keluaran MyBeauty.

Setiap tugasan yang diberikan dilihat sebagai langkah persediaan buat semua peserta untuk meneruskan langkah dalam bidang seni selepas tamat program ini.

Segala ilmu yang disampaikan diharap menjadi bekalan untuk bergelar selebriti yang disegani dan dapat meneroka bidang ini dengan sikap yang lebih telus, positif dan ikhlas.

Barisan juri pastinya pening kepala untuk memilih siapa di antara 10 peserta ini yang layak menjulang gelaran juara.

Nampaknya debaran semakin dirasai dan panasnya membahang untuk para penyokong mereka.

Antara Sharifah Husna, Ainin Mielan, Deeana Shazleen, Mimie Ara, Izzah Zinn, Nana Syahqilla, Puteri Ateeqah, Sarah Mustafa, Tengku Sary dan Tiara Ismail, siapakah yang paling menyerlah. Nantikan jawapannya petang ini, rezeki juara milik siapa?

Sharifah Husna berpeluang cerah

PELAJAR perubatan di Universiti Perdana, Serdang, Sharifah Husna Syed Feizal, 25, menjadi ramalan ramai untuk merebut gelaran juara Gadis Panca MyBeauty 2018. Anak kelahiran Selangor ini juga mendapat undian online tertinggi jauh meninggalkan sembilan lagi finalis lain.

Sharifah Husna bagaimanapun tidak mengambil mudah, sebaliknya tetap berusaha keras untuk memberikan persembahan terbaiknya di pentas final.

Katanya, dia sentiasa memberikan fokus 100 peratus kepada setiap tugasan walaupun terpaksa membahagikan masa dengan peperiksaan akhir yang berjalan serentak.

“Saya tidak dapat turut serta dalam raptai terakhir sebelum acara bermula kerana ada peperiksaan.

“Namun, saya akan bergegas ke majlis final selepas habis peperiksaan, Harap saya dapat beri persembahan yang mampu memukau juri,” ujar Sharifah Husna yang dikatakan antara calon yang punya pakej lengkap.