Berasal dari Kampung Batu Burok, Kuala Terengganu, penyanyi kecil molek ini sudah mula menyanyi di balai raya kampungnya ketika usia sembilan tahun lagi. Sementelah kampungnya juga aktif dengan program hiburan maka tidak hairanlah dia antara yang sering mengambil bahagian ketika itu.

“Waktu itu, penduduk kampung memang selalu berkumpul di balai raya. Mak dan ayah juga merupakan ahli jawatan kuasa ketika itu. Banyak program yang sering diadakan antaranya pertandingan nyanyian, pertunjukan fesyen, lakonan dan sebagainya. Pantang ada program pasti saya tidak ketinggalan turut serta.

“Melalui pertandingan tersebutlah dalam sedar tak sedar melatih diri saya agar tidak malu berdepan penonton. Mak dan ayah pula sentiasa bagi sokongan. Saya ingat lagi, kalau pertandingan fesyen mak selalu belikan baju-baju cantik dan bergaya untuk saya. Selalunya saya pasti menang.

“Tak cukup dengan pertandingan fesyen, saya juga suka menyanyi. Masa tu saya minat sangat lagu-lagu dendangan Francisca Peter. Dulu dekat kampung kami banyak kumpulan yang datang membuat persembahan. Bila mereka tengok saya pandai menyanyi mereka akan panggil saya berlatih bersama mereka. Dari situlah saya mula berani masuk ke pertandingan nyanyian di seluruh Negeri Terengganu,” tutur anak pertama dari tiga adik beradik ini lagi.

Bermula dengan mendapat tempat juara ketika menyertai Pertandingan Nyanyian Komputer di Kuala Terengganu, bakatnya mula dihidu oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ketika itu beberapa orang dari RTM, Kuala Terengganu datang ke rumahnya mempelawa dia untuk menyertai pertandingan Bintang RTM.

“RTM memang selalu datang ke balai raya lebih-lebih lagi bila dengar cerita saya pandai menyanyi. Bila mereka minta kebenaran dengan ayah dan mak supaya saya turut serta dalam program tersebut, mak dan ayah tak halang. Malah turut bagi sokongan. Tapi untuk berjaya terpilih ke peringkat akhir Bintang RTM, banyak saringan yang perlu dilalui.

Biarpun lagu-lagu nyanyiannya terlihat lebih popular berbanding dirinya, wanita yang mesra disapa Azian ini sempat menghasilkan tiga buah album sepanjang penglibatannya dalam bidang seni. Antaranya Erti Budi, 1987; Bukan Belas Bukan Simpati, 1988 dan Impian, 1991.

Terus mengukir nama dalam bidang seni, bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, terpaksa menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejurus selepas semester pertama untuk memberi tumpuan terhadap kerjaya seni yang dicintainya.

Pun begitu, dia dilihat mula memperlahankan perjalanan seninya apabila mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama rakan baiknya, Mohd Ahra Zubir ketika menuntut di UiTM.

“Saya berkahwin dalam usia yang sangat muda ketika berusia 19 tahun. Lepas sahaja kahwin tanggungjawab semakin berat jadi sedar tak sedar saya perlahan-lahan tinggalkan dunia nyanyian. Walaupun ada tawaran untuk menyanyi namun kekangan masa ketika itu membuatkan saya terpaksa menolaknya,” tuturnya yang kini berkhidmat sebagai penjawat awam.

Kini setelah hampir 24 tahun menyepi dari dunia seni, dia kembali menghangatkan lagi industri hiburan apabila muncul dalam program Gegar Vaganza 2015. Biarpun tersingkir pada saringan separuh akhir namun gembira kerana kerinduannya sekian lama terubat juga.

Namanya semakin mendapat perhatian setelah berjaya ke peringkat akhir Bintang RTM. Sejak itu, rezekinya dalam bidang nyanyian semakin ligat. Namun memandangkan dia perlu mengambil Ujian Penilaian Darjah Lima pada tahun tersebut maka ibu dan ayah nya terpaksa bersetuju jika anak kesayangan mereka hanya dapat memenuhi undangan pada hujung minggu sahaja.

“Masa tu saya dah mula dapat rasakan bahang popular. Pergi ke mana-mana pun ramai yang kenal. Ayah akan hantar saya jika ingin ke kelas tambahan sekalipun sebab saya akan dikerumuni orang. Bila hujung minggu pula kami akan ke Kuala Lumpur. Ada juga waktu ketika itu, saya dan ayah terpaksa menaiki bas.

“Perjalanan yang jauh dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur memang meletihkan. Setiap kali tiba di Kuala Lumpur kami akan menginap di rumah pakcik. Selepas itu akan terus bergegas membuat persembahan nyanyian mahupun sebagai tetamu jemputan untuk rancangan kanak-kanak. Tiada rehat langsung kadang-kadang buat saya jatuh sakit.

“Kasihan dengan keadaan saya, ayah mengambil keputusan berhenti kerja. Waktu tu undangan terlalu banyak jadi ayah perlu berada di sisi saya dan merangkap pengurus saya. Itu antara pengorbanan ayah yang tak dapat saya lupa hingga ke hari ini. Mak pula ketika itu, jarang dapat ikut sebab adik-adik masih kecil lagi,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang kenangan manisnya ketika itu, ibu kepada tujuh cahaya mata ini sempat berkongsi kisahnya ketika bertemu dengan penyanyi pujaannya Francisca Peter.

Saya ingat lagi dia cakap pada saya yang dia selalu mengikuti perkembangan saya sebab saya selalu menyanyikan kan lagu dia.