Jika rakan seusia yang lain memilih untuk bekerja bagi mengisi masa terluang sebelum menyambung pelajaran, gadis yang mesra disapa Shira Saad ini lebih senang memilih untuk mencuba nasib sebagai pelakon.

Percubaan pertamanya menghadiri uji bakat tidak sia-sia. Ketika itu sebuah produksi sedang mencari pelakon tambahan bagi mengisi slot filem Aku Akan Muncul.

“Ketika itu memang saya takut juga mengenangkan akan terlibat dalam produksi besar. Ini bukan kerja main-main apatah lagi saya masih hijau dan tak tahu tentang dunia penggambaran, lakonan dan sebagainya.

“Mujur ketika itu kebanyakan kru memberikan tunjuk ajar dan cara untuk berlakon. Dari situ saya sedar jalan yang dilalui tidak semudah yang disangka dan pastinya saya sendiri perlu bekerja lebih keras untuk maju,” kata Shira membuka cerita.

Mengakui yang rezekinya hadir satu persatu, dia juga terpilih menjadi model kepada produk Drive M7 yang berpangkalan di Johor Bahru. Wajahnya banyak menghiasi produk berkenaan dan membuatkan Shira mampu tersenyum lebar.

Dalam pada itu, Shira sedar yang dia perlu berusaha lebih keras untuk menempatkan diri sebagai orang baharu dalam industri.

Perkenalan dengan pengarah Ahmad Idham beberapa tahun lalu membawanya sekali lagi ke layar lebar menerusi filem Romeo Kota, arahan Aaron Aziz.

“Walaupun tak ramai yang perasan wajah saya tapi itu bukan masalah besar. Yang penting saya dapat menimba pengalaman kerana berpeluang bekerja dengan mereka yang berpengalaman luas dalam bidang ini.

“Pelbagai pengalaman itu juga memberi saya keyakinan untuk terus melangkah dalam bidang ini.

"Masakan tidak, ketika kebanyakan yang lain mendapatkan pelajaran secara formal di kebanyakan IPT (Institut Pengajian Tinggi), saya pula mendapat peluang belajar daruipada mereka yang berpengalaman dalam bidangnya.

"Pengarah, pelakon, kru semua memberi banyak impak kepada kelangsungan kerjaya saya kerana melalui mereka saya belajar tentang seni lakon,” katanya yang turut terlibat dalam filem Mat Moto.

Selain itu Shira juga terlibat dengan drama Married Tapi Benci yang sedang bersiaran ketika ini. Membawakan watak Salina, penglibatannya dalam drama itu merupakan pendedahan terbesar kepada kariernya memandangkan drama tersebut ditayangkan pada waktu perdana.

Gandingan

Bakal muncul dengan filem Lu Gangster Gua Mafia yang bakal dutayangkan kepada umum bermula 21 April ini, Shira tidak menafikan perasaan teruja dan gementar bersarang dalam hatinya.

Selain takut menanti reaksi khalayak terhadap mutu lakonan dalam filem tersebut, Shira berharap gandingan dengan kumpulan pelawak Zero turut menjadi kekuatan buat penampilan dirinya dalam filem tersebut.

“Cuba bayangkan saya bekerja dengan sekumpulan pelawak. Pastinya setiap saat ada sahaja lawak jenaka dan cerita kelakar di set penggambaran.

“Tapi Alhamdulillah semuanya mengikutperancangan meskipun banyak babak terpaksa diulang kerana beberapa insiden kelakar yang tidak disengajakan.

"Tak mudah sebenarnya untuk mengawal diri daripada terus ketawa apabila melibatkan babak dengan Zero,” kata Shira yang ketika inibekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat guaman.

Selain Shira dan Zero, filem Lu Mafia Gua Gangster turut dibintangi oleh Datuk Jalaluddin Hassan, Zack Taipan, A Galak, Zulkifli Ismail, Along Ezyndy, Saiful Apek dan Syanie.