Menganggap apa yang berlaku sebagai satu takdir yang tidak diinginkan, Shima buntu! Hidup perlu diteruskan dan dia juga perlu menanggung bil perubatan beberapa masalah kesihatan yang pastinya menuntut perbelanjaan yang tinggi.

“Memang benar sudah dua tahun saya menyepi tanpa sebarang undangan nyanyian. Seingat saya sebaik sahaja menamatkan persaingan Gegar Vaganza musim pertama, langsung tak ada tawaran daripada mana-mana pihak.

“Saya sendiri tak tahu di mana silapnya sehinggakan nama dipinggirkan begitu sahaja. Memang kehidupan sekarang agak sukar kerana saya perlu menanggung bil perubatan sebab berhadapan dengan penyakit slip disc sejak sekian lama.

“Nak bekerja dalam bidang lain tentu sahaja sukar disebabkan masalah ini. Apa pun yang terjadi saya perlu membayar bil perubatan setiap bulan sejak dahulu lagi walaupun tak ada undangan menyanyi lagi,” kata Shima lagi.

Pun begitu dia bertuah kerana masih mempunyai rakan-rakan yang bersimpati kepada nasib yang melanda dirinya. Paling merenggut jiwanya apabila masih ada rakan yang sudi memberikan bantuan dengan mengadakan majlis kebajikan untuknya pada 5 Mac hadapan.

Pertemuan kembali dengan Sherry Nordin yang juga merupakan rakan sejak puluhan tahun lalu membawa kepada khabar gembira apabila wanita tersebut sudi untuk membantunya dengan mengadakan persembahan Shima Kembali Charity Gig yang bakal diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor.

Tentu sekali bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh Sherry dan pihak hotel disambut dengan penuh syukur apabila mereka sudi membantunya mengadakan persembahan untuk mendapatkan sejumlah wang bagi menampung kehidupannya.

“Tentu sekali saya bersyukur kerana mereka mahu membantu saya merealisasikan impian untuk mengadakan persembahan di sana. Saya tak minta belas ihsan orang untuk beri saya wang memandangkan saya masih mampu menyanyi.

“Saya masih mampu menyanyi dan saya hanya mahukan peluang itu. Sebab itu bila mereka menawarkan peluang untuk saya menyanyi disambut dengan rasa syukur. Setidaknya ini peluang untuk saya membuktikan yang Shima masih mampu menyanyi,” katanya.

Menyasarkan kehadiran seramai 100 penonton pada malam tersebut, dia berharap peminat setianya akan hadir sama memberikan sokongan kepadanya.

Nangis

BERCERITA mengenai sakit yang dihadapinya kini, Shima mengakui sudah disahkan menghidap slip disc di bahagian pinggang sejak di alam persekolahan lagi. Penyakit tersebut hanya datang semula sejak usianya semakin meningkat .

Namun begitu, tiga tahun yang lalu sewaktu bekerja sebagai penyanyi di salah sebuah hotel terkemuka, Shima sekali lagi ditimpa musibah apabila terjatuh di tandas sebelum memulakan persembahan.

“Selepas terjatuh itulah saya ‘dapat’ slip disc di tengkuk pula. Memang waktu itu saya lambat ke hospital memandangkan masih terikat dengan kontrak sebagai penyanyi di hotel tersebut.

“Kalau nak ke hospital, tentu sahaja mereka akan tahan di wad. Jadi saya tahan sahaja sakit tu dahulu dan menghabiskan kontrak yang ada barulah mendapatkan rawatan penuh.

“Bila sudah sakit, macam-macam perkara yang difikirkan. Boleh dipulihkan melalui pembedahan tapi risikonya tinggi. Jadi saya ambil keputusan untuk bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan saban bulan,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Teringin ini lagi.

Akibat bergantung kepada ubat-ubatan, berat badannya naik mendadak dan menyebabkan mukanya sembab. Paling terkesan apabila berat badannya naik daripada 43 kilogram (kg) ke 66kg ketika ini.

Mengakui berhabis ratusan ringgit setiap bulan untuk ubat-ubatan, dia bertuah kerana masih mempunyai wang simpanan semasa bekerja sebagai penyanyi di kelab dahulu.

“Itulah cara saya menyara kehidupan ketika ini. Mujur masih ada wang simpanan yang boleh digunakan masa terdesak. Nak bekerja bidang lain tak sesuai memandangkan keadaan badan yang sudah tak macam dahulu.

“Saya tak boleh berdiri, duduk mahupun tidur terlalu lama. Badan tak selesa dan sakit,” katanya lagi.

BAGI peminat yang ingin turut serta menyaksikan persembahan Shima Kembali Charity Gig, tiket sudah dijual dengan harga RM80. Hubungi 013-7230317 untuk tempahan mahupun sebarang tajaan.