Namun, semua itu sudah berakhir dan diselesaikan secara baik. Malah, Sharnaaz mengaku sudah meminta maaf jika apa yang dilakukan berlebihan.

“Saya sudah minta maaf. Rasanya sudah tidak apa-apa yang perlu diperkatakan lagi. Mesra kami hanya untuk drama. Cara itu yang kami rasa boleh mempromosikan drama.

“Ternyata semuanya berhasil dengan keikhlasan dan komitmen yang saya berikan dalam menjayakan drama tersebut. Saya cukup bertuah kerana Nelydia seorang yang senang memberi kerjasama,” katanya ketika ditemui dalam majlis Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), baru-baru ini.

Gandingan serasi Sharnaaz dan Nelydia bukan hanya terbit dalam drama BKATC tetapi menerusi drama 14 episod, Setitis Kasih Darmia yang disiarkan di TV9 tahun lalu, mereka berjaya mendapat penganugerahan Hero dan Heroin Pilihan dalam DFKL 2015.

Bagi Sharnaaz, dia tidak mahu lagi kemesraan mereka disalah ertikan sehingga boleh memberikan kesan buruk bukan sahaja buat dirinya tetapi turut dirasai Nelydia.

“Jangan lagi salah tafsir semua adegan mesra kami. Tidak baik untuk pembangunan kerjaya kami. Saya mahu jadi seorang pelakon yang berkualiti dan berbakat. Biar orang akan kenal lakonan dan drama kita sampai bila-bila.

“Memang, kalau berlakon, saya akan berikan yang terbaik. Untuk kemenangan malam ini, memang saya tidak pernah menyangka. Kerja keras saya nampaknya berbaloi. Saya amat menghargai pada mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada saya.

“Kalau nak tahu, saya sebenarnya tidak suka pada Nelydia apabila mula digandingkan dahulu,” katanya seloroh.

Memuji kerjasama mereka yang dianggap membanggakan, Nelydia berkata, dia tidak mahu lagi orang ramai bercakap tentang kisah mesra itu. Tambahnya, cerita itu sudah basi dan dia sendiri tidak mahu terlalu mengambil pusing apa yang berlaku.

“Keadaan sudah kembali normal. Jangan timbulkan apa-apa lagi. Lihat sahaja, selepas kontroversi berlaku, saya dan Sharnaaz masih boleh berlakon bersama. Tidak pernah ada rasa kekok.

“Tidak dinafikan, keserasian antara saya dan Sharnaaz memang mudah dicapai dalam setiap drama. Setiap tanggungjawab yang diberikan, saya jalankan dengan baik.

“Sharnaaz juga merupakan pelakon yang berkualiti dan mampu melakonkan setiap watak dengan baik. Dia faham dan tahu apa yang saya cuba sampaikan kepadanya walau tidak terdapat dalam skrip,” katanya.

Imej baharu Sharnaaz

Ketika majlis berlangsung, Sharnaaz sebenarnya sudah mengubah imej dirinya untuk berambut kemas dan berjambang. Kata Sharnaaz, dia mahu menampilkan kelainan dan semua yang dibuat tidak ada kena-mengena dengan sesuatu.

“Semua orang mahu berubah. Untuk tahun ini, saya mahu mengubah penampilan diri. Tidak salah kan? Bukan untuk apa-apa pun. Biarlah ada kelainan,” jawab Sharnaaz ringkas tentang perubahannya.

Sudah berehat selama sebulan, Sharnaaz berkata, dia tidak pernah kecewa dengan bidang yang sudah diceburinya sejak enam tahun lalu.

“Memang saya berehat tetapi bukan kerana mahu berhenti daripada lakonan. Lakonan masih utama buat diri saya.

“Sekarang, saya sibuk dengan perusahaan gimnasium yang sudah dijalankan sejak enam bulan lalu. Selain itu, saya juga sibuk menjadi duta kepada produk kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Sharnaaz tidak henti mengucapkan rasa syukurnya atas sokongan peminat sehingga dia berjaya memperoleh anugerah dalam bidang seni.

“Tidak sangka kemenangan memihak kepada saya. Bakat saya dalam lakonan akhirnya diiktiraf.

“Alhamdulillah masa telah mematangkan saya. Selagi saya bernafas, saya akan pastikan buat yang terbaik untuk industri ini.

“Walaupun ramai yang tak suka saya, tapi itu semua adalah pembakar semangat buat diri. Benda yang tak boleh bunuh anda, adalah benda yang buat anda maju ke hadapan,” kata jejaka berusia 30 tahun kelahiran Pulau Pinang ini.

Menerusi sebuah video klip di laman Instagram, Sharnaaz terus melahirkan kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada semua yang memberikan kepercayaan pada dirinya.

“Selepas enam tahun saya menjejakkan kaki dalam industri tanah air, inilah kali pertama saya dapat anugerah. Saya tak pernah sangka yang saya boleh merangkak sejauh ni dalam industri.

“Ini berkat doa mama saya dan juga papa, kakak-kakak serta abang saya. Yang paling penting tanpa ‘familia’, saya masih budak rempit yang suka buat kacau dan panas baran,” katanya.

Tak mahu cakap lebih

Ditanya mengenai sisi peribadi, Nelydia sememangnya antara selebriti yang terbuka untuk bercerita tentang kisah cintanya. Pun begitu, dia masih belum berani untuk bercakap mengenai kesudahan cintanya bersama Qi Razali.

Kisah pertunangan juga membuatkan wanita berusia 21 tahun ini mengunci ketat-ketat mulutnya. Bagi Nelydia, berdiam diri adalah jalan terbaik kerana dia merasa tertekan setelah diaju banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak tentang perkara itu.

“Kalau ada ura-ura ke arah itu (pertunangan), saya pastinya akan berkongsi benda baik ini. Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap banyak.

“Soal ini, biarlah pihak lelaki sahaja yang bercakap. Saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan kerana mahu menjaga hati keluarga kedua-dua belah pihak.

“Bukan kerana saya ingin memberi hak eksklusif pada mana-mana stesen televisyen tetapi semuanya belum terjadi lagi. Ada rezeki dan jodoh kami ke fasa seterusnya, Insya-Allah.

“Cuma apabila tersebarnya cerita nak bertunang, berita itu terlalu digembar-gemburkan tanpa kepastian yang sahih. Memang setakat ini tak ada pengesahan lagi akan terjadi perkara berkenaan. Apa perasaan saya dan Qi, apabila cerita ini ditokok tambah?

“Biarlah kami fokus kepada kerjaya masing-masing dahulu. Berikan kami masa,” jawab Nelydia berkenaan kisah Qi akan menghantar rombongan meminang tidak lama lagi.

Sementara itu, Nelydia menafikan sedang memperlahankan kerjayanya untuk persiapan pertunangan.

“Ramai yang bertanya tentang perkara itu, namun saya rasa tidak perlu untuk bercakap apa-apa dulu yang tidak pasti. Saya masih sibuk berlakon, selagi ada yang tawarkan watak yang baik saya akan ambil,” ujarnya.

Berkongsi perasaannya memenangi anugerah tersebut pada malam itu, Nelydia memanjatkan kesyukuran kerana peminat masih percaya dengan lakonannya bersama Sharnaaz.

“Tiada peminat siapalah kami? Pasti kami tidak akan berjaya sebarang anugerah. Perasaan saya bercampur baur apabila diumumkan sebagai pemenang.

“Ini adalah satu saat yang membanggakan dalam kerjaya seni saya. Sudah semestinya, ruang dan peluang untuk saya terbuka luas.

“Alhamdulillah, kemenangan ini memberi seribu makna pada diri saya. Saya berjanji akan terus memberikan yang terbaik selain memperbaiki kelemahan dan mengasah bakat lakonan.

“Terima kasih kepada peminat saya yang tak jemu menyokong. Sokongan anda amat saya hargai,” jelasnya.