Terbaru pelawak dan pelakon terkenal Shahrol Shiro dipilih menggantikan Halim Othman sebagai penyampai dalam segmen Suria Pagi di Suria FM. Dalam segmen tersebut, dia bergandingan dengan dua lagi penyampai, iaitu Zulin Aziz dan Fizi Ali,

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 33, berkata sebagai seorang penyampai radio dia tidak sekadar bercakap lawak kosong semata tapi setiap apa yang disampaikan sarat dengan mesej.

“Saya akui sebagai pelawak kekuatan mendekatkan diri dengan pendengar tu dah ada. Kadang-kadang dengar suara kita sahaja mereka dah pun ketawa. Cuma bagi pendapat saya, jika mereka ketawa biarlah apa yang diketawakan itu biarlah ada topik.

“Pernah sekali saya buat lawak dengan menyebut nama sejenis bakteria. Nama tersebut agak pelik dan kerana itu penonton ketawa terbahak-bahak. Mungkin dalam fikiran mereka itu semua ciptaan saya sendiri.

“Tapi tak sangka beberapa ketika selepas itu, ada beberapa orang doktor yang telefon dan mesej saya tentang bakteria tersebut kerana mereka tahu apa yang saya sampaikan itu betul. Tak sangka saya banyak terima maklum balas selepas itu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kesempatan yang diberi untuk menjadi penyampai radio kali ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mendekatkan diri kepada masyarakat dan pendengar di luar sana.

“Saya memang seorang yang suka dengan aktiviti kemasyarakatan. Bagi saya dengan cara ini dapat merapatkan hubungan penyampai radio itu sendiri dengan pendengar. Setakat ini banyak idea yang telah pun dirancang bersama rakan setugas.

“Sebagai contoh, sekarang ini zaman di mana semua benda mudah menjadi tular di yang media sosial. Jadi mungkin boleh cuba formula ini asalkan ia diminati dan mudah diterima pendengar,” ujarnya.

Ditanya adakah sukar untuk mewujudkan keserasian antara dua rakan penyampai nya, dia tidak sedikit pun berdepan dengan masalah tersebut memandangkan mereka semuanya happy go lucky.

“Takut memang takut tapi sebelum bersiaran kali pertama saya dah pun datang berjumpa mereka sebanyak dua kali untuk wujudkan keserasian tersebut.

“Alhamdulillah tak ada masalah. Ini merupakan kali pertama saya bekerja dengan Fizi dan Zulin pula, kami pernah bekerjasama di atas pentas tapi sebagai penyampai radio, ini gandingan kali pertama,” ujarnya yang sebelum ini pernah menjadi penyampai di radio Era FM.

Melalui syarikat produksinya sendiri, Bushido Production Sdn. Bhd, dia sedang dalam perancangan untuk menerbitkan filem bercorak komedi seram tidak beberapa lama lagi.

“Semuanya masih dalam rangka strategi dan saya sedang dalam proses mencari pengarah yang sesuai. Dalam fikiran ini memang dah ada satu nama yang sesuai dan diharapkan dapat bekerjasama dengannya untuk merealisasikan impian ini.

“Skrip baru sahaja siap 20 peratus dan beberapa tajuk juga sudah disenaraikan. Selain daripada menjadi penerbit saya juga mungkin akan turut serta berlakon di dalam filem tersebut. Jika tiada apa-apa halangan, paling cepat ia akan bermula hujung tahun ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, syarikat produksi miliknya ini baru sahaja beroperasi setahun yang lalu dan sebelum ini ia di Johor dan sekarang baru berpindah ke Kuala Lumpur untuk lebih memudahkan saya merangka projek-projek terbaru yang lebih besar.

“Masih juga dia juga dalam perbincangan dengan beberapa pihak yang terlibat untuk mengeluarkan telefilem. Sebelum ini, saya banyak terlibat dengan membuat iklan di Internet dan beberapa video tular.

“Projek terbesar setakat ini, saya pernah membuat iklan untuk Perodua Bezza. Insya-Allah selepas ini akan keluarkan lebih banyak lagi produk untuk memeriahkan industri seni tanah air.

Ditanya adakah dia tidak terbeban untuk melakukan dua perkara dalam satu masa iaitu sebagai penyampai radio dan sibuk menguruskan syarikat. Menurutnya ia tidak sesekali menjadi masalah jika bijak membahagikan masa,” tutur bapa kepada dua orang cahaya mata ini.