Isteri kepada pelakon terkenal ini, Syatilla Melvin telah selamat melahirkan anak lelaki sulung mereka pada 9 Mei lalu di Pusat Perubatan Ampang Puteri.

Shaheizy Sam Abdul Samad atau Sam meluahkan rasa teruja menjadi seorang ayah dan mengakui dirinya tidak akan senang duduk jika tidak bertemu dengan putera pertamanya itu.

“Alhamdulillah, sejak bergelar ayah, kehidupan saya berubah. Dari segi emosi, kita menjadi bertambah seronok. Sejak dia lahir, saya rasa tidak puas menatap wajahnya dan kalau boleh nak 24 jam sehari, 7 hari seminggu bersama isteri dan bayi kami. Setiap kali saya nak keluar bekerja, mesti berat hati nak meninggalkan mereka berdua," cerita Sam mengenai buah hati pengarang jantungnya itu.

 

“Malah, bila tak dapat tengok wajah bayi saya itu dalam beberapa minit pun dah rasa gelisah. Mesti nak cepat-cepat habiskan kerja selepas itu terus balik ke rumah,” ujar Sam.

Tambah Sam lagi, dia dan Syatilla seronok melalui proses menjaga bayi yang baru dilahirkan. Biarpun tidak ada pengalaman dalam penjagaan bayi, Sam bersyukur anak lelakinya itu tidak cepat meragam atau menangis dengan kuat.

“Beruntungnya saya dan Syatilla, anak kami jarang bangun tengah malam dan selalunya dia terjaga pada pukul lima pagi.

"Kalau menangis pun sekadar merengek biasa dan belum lagi dengar dia menangis dengan kuat,” ujarnya.

Merasakan tanggungjawab semakin menebal, ini adalah anugerah yang tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

"Setiap pasangan yang berkahwin tentulah inginkan anak dan syukur kepada Allah, rezeki kami untuk dapat zuriat sendiri sudah termakbul,” kata Sam yang hanya akan berkongsi nama anak dan gambar bayi itu selepas habis tempoh berpantang isterinya nanti.

"Saya ikut nasihat orang tua. Apabila sampai masanya, saya akan umumkan nama zuriat kami itu," katanya lagi.

Pengurusan masa

MESKIPUN tanggungjawab Shaheizy Sam semakin besar, dia tidak ada masalah dalam menguruskan jadual kerja dan kehidupan peribadi dengan baik.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan anugerah yang paling terindah dalam hidup. Walaupun tanggungjawab makin bertambah tetapi itu bukan masalah utama. Buat masa sekarang saya masih mampu mengaturkan jadual kerja dengan betul.

“Dalam satu hari mesti kena ada waktu bersama anak dan isteri. Sibuk macam mana pun, saya kena pulang ke rumah. Sekarang ini pun saya hanya mengambil tawaran yang tidak terlalu mengambil masa penggambaran yang panjang.

“Setiap kali saya balik daripada kerja, isteri akan beri sepenuhnya penjagaan anak kepada saya. Tetapi saya tidak kisah walaupun penat, bila di samping mereka hilang semuanya,” katanya.

Berbalik kepada kerjaya lakonan, Sam kini bakal kembali ke lokasi penggambaran filem paling popular iaitu Polis Evo bersama gandingannya, Zizan Razak selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri.