Justeru pada usia mencecah 70 tahun, Jeffrydin atau nama sebenarnya Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman masih lagi aktif menyanyi dan lagu-lagu dendangan nya bersama kumpulan The Siglap Five mahupun secara solo hingga ke hari ini.

Berkesempatan bertemu dengannya, Pancaindera sempat mencungkil rahsianya bertahan lama biarpun penyanyi baru bersilih ganti. Menurutnya minat yang timbul ketika di bangku sekolah rendah lagi yang membuatkan dia tidak pernah terfikir untuk berundur.

Bagi penyanyi yang berasal daripada Jalan Sophia, Singapura ini jiwanya sudah terdorong ke arah seni setiap kali menonton televisyen di balai raya. Setiap kali itu dia berasa teruja dan seronok melihat nyanyian daripada artis. Sedikit demi sedikit dia terikut-ikut menyanyi dan tidak menyedari dia memiliki suara yang bagus.

“Sebenarnya saya tak tahu saya ada bakat sehinggalah sering dipuji oleh cikgu. Masa darjah lima setiap kali menunggu waktu pulang, cikgu selalu cakap, siapa nak balik cepat kena menyanyi dulu. Disebabkan ingin pulang awal jadi saya pun nyanyilah.

“Daripada situlah bakat saya mula dicungkil. Jika ada konsert nyanyian di sekolah nama saya akan dicadangkan. Peliknya saya tak malu pun tetapi makin suka menyanyi. Disebabkan saya duduk di Singapura jadi lagu-lagu luar lebih cepat masuk dan saya mahir menyanyikan lagu Inggeris,” ujarnya yang menuntut Sekolah Tangling Tinggi, Singapura semasa zaman kanak-kanak.

Bercerita tentang kehidupannya ketika kecil, dia dibesarkan oleh nenek, Siti Arshad setelah ibunya meninggal dunia ketika usianya tiga tahun. Kesukaran neneknya memeliharanya dia dan adik sejak kecil telah membuka matanya untuk berusaha bersungguh-sungguh.

“Nenek insan yang istimewa. Dia banyak berkorban untuk saya. Siang malam bekerja keras untuk memastikan kami cukup makan dan pakai. Selain daripada menjual makanan, dia juga turut menjadi bidan bersalin ketika itu. Tak mungkin dapat saya membalas jasa dia selama ini,” ujarnya mengenang kembali pengorbanan arwah nenek satu ketika dahulu.

Masuk sekolah menengah, Jeffrydin semakin aktif mengadakan persembahan bersama kumpulan orkestra yang diketuai oleh pakciknya sendiri. Beberapa ketika bergerak bersama akhirnya dia mengundur diri kerana rentak orkestra agak lain sedikit dan tidak begitu dekat dengan dirinya.

“Saya bawa diri dan berjumpa rakan yang merupakan pemain dram kumpulan Rhythm Boys. Kami mula praktis semua lagu-lagu. Waktu itu penyanyi A. Ramlie sudah pun berada di dalam kumpulan tersebut tapi dia tidak begitu mengetengahkan dirinya ketika itu,” cerita bekas pelajar Sekolah Menengah Siglap di Toa Payoh, Singapura.