Jelas Johan, sebagai ketua keluarga yang menjadi fokus dirinya sejak dari dahulu adalah untuk mencari pendapatan buat keluarga. Tambahan pula, yang lebih disenangi dirinya adalah untuk berada di rumah dan sentiasa dikelilingi anak-anak dan isterinya sahaja.

“Saya lebih suka menghabiskan masa dengan anak-anak di rumah. Kalau mahu keluar bersosial pun hanya bermain futsal. Itu pun isteri saya akan tahu di mana saya berada memandangkan saya tidak akan membawa telefon bersama-sama,” katanya.

Menurut Johan dengan sikapnya itu juga dia tidak pernah terfikir untuk mengkhianati kepercayaan yang sudah diberikan isterinya itu.

“Setiap kali keluar tanpa dia, saya selalu ingatkan diri yang saya juga membawa maruah dia bersama-sama. Dalam hal ini kami memang saling mempercayai dan fokus saya sebagai ketua keluarga adalah untuk mencari wang buat mereka,” katanya jujur.