Mempersembah lagu-lagu hits nyanyian masing-masing pada malam konsert pertama, juri tetap pertandingan tersebut, Datuk Ramli MS beranggapan kesemua peserta menampilkan persembahan terbaik mereka.

Usai konsert berkenaan yang diadakan di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, Ramli memberitahu bahawa setiap peserta telah membuktikan mereka layak untuk beradu suara di pentas GV4.

“Saya berpuas hati dengan persembahan semua peserta yang bertanding. Bukan itu sahaja, mereka berjaya mengumpul markah tinggi, sekali gus pemilihan mereka sebagai peserta bagi musim ini adalah tepat.

“Menggalas status sebagai penyanyi, persembahan mereka bersesuaian dengan konsep pertandingan ini.

“Mereka mempamerkan satu persembahan dengan kualiti dan pengalaman masing-masing,” katanya selepas konsert pertama berlangsung malam kelmarin.

Bagaimanapun Ramli yang menjadi juri tetap GV selama empat musim berturut-turut itu menambah, masih terlalu awal untuk membuat penilaian.

Ujarnya, cabaran menyanyikan lagu sendiri yang telah sebati dengan diri peserta mungkin tidak sesukar menyanyikan lagu penyanyi lain.

“Jadi, persaingan sebenar akan bermula pada minggu seterusnya. Sebab itu minggu ini tidak ada banyak komen yang boleh saya katakan. Kita lihat pula persembahan pada minggu depan,” komennya.

Persembahan minggu pertama menyaksikan Liza Hanim menyanyikan lagu Siapa Sangka Siapa Menduga, Elyana (Tak Tercapai Akalmu), Ferhad (Kasih Berubah), Lan Kristal (Seragam Hitam), Hazami (Mungkir Bahagia) dan Tia Jinbara (Farhana).

Selain itu, Aqasha mendendangkan lagu Embun, Syura (Nazam Berkasih), Raja Azura (Hati Terkunci), Haida Hafiz (Zapin Usik Mengusik), Firman (Kehilangan) dan Aishah (Janji Manismu).

Senarai peserta tambat hati Hetty

Menampilkan penghibur Hetty Koes Endang, 60, bagi menggantikan posisi Datuk Khatijah Ibrahim yang telah tiga musim bertindak selaku juri tetap, wanita itu amat terharu dan berterima kasih.

Mengakui dirinya begitu dihargai produksi penerbitan, Hetty berkata, senarai nama peserta membuatkan hatinya tertarik untuk menerima lamaran menjadi juri tetap GV4.

“Apabila mendapat tawaran itu, soalan pertama yang saya ajukan adalah mengenai senarai peserta yang akan bertanding dalam GV4.

“Setelah melihat beberapa nama seperti Aishah dan Liza Hanim, saya merasakan program ini ada kelas tersendiri untuk diberi pertimbangan menjadi juri dan akhirnya saya bersetuju,” katanya yang telah 48 tahun mengabdikan diri dalam bidang seni.

Terkenal menerusi lagu Panti Asuhan, penyanyi berasal dari Jakarta, Indonesia itu menambah, konsep program berkenaan yang membariskan artis-artis berpengalaman dalam bidang nyanyian juga menjadi faktor dia teruja untuk menyatakan persetujuan.

Katanya, GV4 merupakan sebuah rancangan hiburan yang mampu menggamit memori, mengimbas kembali nostalgia lama para peminat industri muzik tempatan.

“Selain itu, ini adalah platform atau peluang buat penyanyi lama ‘mencuri’ perhatian umum terhadap bakat mereka yang telah dipinggirkan setelah kemunculan artis-artis muda.

“Bahkan, tema nusantara yang diketengahkan dengan mengundang penyanyi luar dari Indonesia dan Singapura menguatkan lagi pendirian saya mengatakan program ini adalah sebuah rancangan terbaik,” ujarnya.

Justeru, Hetty berharap keputusannya untuk berulang alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur setiap minggu berbaloi dengan persembahan peserta GV4 yang dirumuskan amat bagus.

“Pada minggu pertama mereka sudah menunjukkan satu persembahan yang baik dan diharap minggu-minggu seterusnya juga begitu,” tuturnya.