Lihat sahaja bagaimana dia mencipta fenomena tersendiri apabila ramai wanita yang menonton drama tersebut berasa begitu inginkan seorang suami yang romantis, penyayang dan penuh dengan kesabaran.

Namun sifat idaman tersebut bertukar menjadi penuh kebencian sehingga ramai yang mengecam dan mencemuhnya apabila watak Airil dalam drama Andainya Takdir diterjemahkan dengan cara sangat jahat, cemburu buta sehingga mendatangkan perasaan marah yang meluap-luap.

Bahkan kerana bencinya kepada karakter Airil, ada penonton yang begitu teringin memukulnya apabila bertemu Syukri Yahaya di luar lokasi. Demikianlah kehandalan Syukri, 29, bermain watak di hadapan kamera sehingga memungkinkan dirinya menjadi siapa sahaja yang dimahukan oleh sutradara.

Menelah ke ruang hati Syukri, pelakon ini memberitahu, dia sekadar mewujudkan karakter yang dapat melekat di hati para penonton agar mereka terkesan dengan setiap bahasa tubuh, perlakuan dan tutur bicaranya di hadapan kamera.

“Saya memberi sepenuhnya mengikut skrip dan menurut arahan sutradara. Semuanya juga bergantung kepada rakan pasangan saya dan kerja berpasukan. Apabila serasi, semua karakter akan meresap dalam jiwa dan menjadi mudah untuk dipersembahkan.

“Namun bukan mudah nak jadi pemarah, baran, maki hamun dan kaki pukul. Sangat meletihkan sebenarnya. Pernah satu ketika saya hilang suara gara-gara babak memaki hamun dan memukul. Balik rumah saya kepenatan kerana seluruh tenaga disalurkan kepada perasaan negatif. Tak mudah nak bawa karakter orang yang panas baran ini kerana memang meletihkan,” kata Syukri.

Namun apabila watak sedemikian berjaya diterjemahkan sebaik mungkin dan menjadi kemarahan orang, Syukri menganggap satu kejayaan peribadi buat dirinya. Misalnya pada Syawal lalu, Syukri didekati oleh seorang wanita berpangkat makcik di satu kedai runcit dan cukup marah dengannya gara-gara karakter Airil .

“Seronok juga rasanya apabila ada orang nak pukul kerana geram dengan karakter lakonan kita. Bermakna cerita itu sampai kepada mereka dan itulah yang saya mahu.

“Sebagai pelakon, kita bukan sekadar membawa watak sebaik mungkin tapi sangat mengharapkan agar lakonan kita ‘masuk’ ke lubuk hati penonton dan seterusnya mengambil ikhtibar daripada jalan cerita yang dipaparkan,” kata Syukri.

Terkesan dengan kontroversi

Kontroversi pelakon ini yang didakwa oleh seorang gadis mahu menggodanya menerusi perbualan di sebuah laman sosial Ramadan lalu memberi pengajaran buat Syukri Yahaya.

Meskipun sudah membuat laporan polis, satu perkara yang dapat dilihat oleh Syukri ialah kepentingan bersosial dengan rakan dalam industri seni.

“Bukan apa, dari zaman bujang sehinggalah sudah menjadi bapa, saya kurang bergaul dengan rakan-rakan artis. Apabila ada masa terluang, saya akan berkumpul dan berjumpa dengan rakan-rakan dari zaman sekolah.

“Mereka antara teman-teman terbaik yang kenal sifat luaran dan dalaman saya. Tapi apabila terlibat kontroversi ini, sudah tiba masanya untuk saya bergaul dengan pemain industri agar saya dapat mengetahui dengan jelas karenah yang berlaku dalam dunia seni,” kata Syukri.

Jujurnya Syukri mengakui kontroversi itu meninggalkan kesan mendalam buat dirinya terutama dari sudut lakonan.

“Selama ini apabila saya berlakon dan perlu menyentuh wanita terutama watak ibu, saya akan memegang dengan perasaan seperti seorang anak terhadap ibunya.

“Tetapi sekarang rasa takut, trauma dan memberi kesan ekpada kerjaya saya kerana saya bimbang nanti disalah anggap dan akan dikecam.

“Cuma saya beruntung kerana isteri, Tya dan keluarga faham dan kenal siapa saya. Lagipun sepanjang menceburi bidang seni, saya tidak pernah ada kontroversi, buat apa saya mahu reka perkara yang negatif kepada nama sendiri?

“Jadi saya tidak mahu melayan perkara begini dan tidak mahu orang lain mengambil kesempatan menggunakan nama saya untuk publisiti dirinya sendiri,” kata Syukri yang kini menjalani penggambaran drama bersiri Vila Ghazara membawakan watak seorang anak yang kuat memberontak dan lari dari rumah kerana tidak bersetuju dengan ketegasan ayahnya dalam mendidik anak-anak.