“Saya tidak pernah rasa terbeban bila ramai yang mahukan lagu saya, tetapi risau jika tak berjaya menghasilkan lagu yang sesuai dengan penyanyi tersebut. Itu satu tanggungjawab dan saya bukan jenis buat `asal boleh’.

“Memang ada lagu yang saya cipta kurang mendapat sambutan dan tidak tular. Saya tahu ini soal rezeki kerana saya sudah melakukan yang terbaik, tapi saya tetap ada rasa bersalah,” kata Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 32. Kata kompsoer muda ini, ia menjadi lebih berat apabila ramai penyanyi yang meminta lagu mengharapkan kejayaan luar biasa kepada kerjaya seni mereka.

“Saya seorang yang membuat kerja satu persatu kerana mahukan kualiti. Saya menitikberatkan hal ini kerana ramai penyanyi yang datang mengharapkan kejayaan untuk lagu yang dicipta. Ini secara tidak langsung membuatkan saya serius dan rasa bersalah jika apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

“Kalau ada yang cakap saya cerewet dalam membuat lagu, ia memang benar. Saya mahu yang terbaik dan tidak mahu mengecewakan harapan orang. Jadi, tempoh sesebuah lagu itu siap bergantung kepada idea dan juga kerjasama penyanyi,” katanya.

Bukan itu sahaja jelasnya, dia mencipta lagu yang sesuai dengan karakter suara dan personaliti seseorang artis. Lagu itu memang dicipta khas untuk artis berkenaan, bukan menjadi pilhan kedua dan sebagainya.

“Untuk memenuhi harapan penyanyi yang meminta lagu, saya perlu tahu apa kriteria yang diperlukan radio dan apa yang pendengar mahukan. Saya sebagai komposer, sudah tentu banyak kali buntu atau ‘kosong’ setiap kali mencari idea,” kata Hael.

Justeru katanya, walaupun bersikap terbuka untuk mana-mana penyanyi bekerjasama dengannya, dia memberi keutamaan kepada mereka yang berada dalam senarai menunggu.

“Jadi, kalau ada yang mahu cepat, saya tak mampu penuhi. Terpulanglah kepada penyanyi tersebut untuk menunggu saya atau beralih kepada komposer lain,” katanya yang sebelum ini mencipta lagu Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nabila Razali (Pematah Hati, Vroom Vroom, Cemburu) dan Ayda Jebat (Temberang).

Terbaharu daripada penyanyi lagu Jampi ini, dia dipertanggungjawabkan menjadi juri bagi program realiti Lagu Cinta Kita di TV3.