Bagi yang mengikuti perkembangan kumpulan ini pasti mengetahui yang XPDC sudah ‘terbelah’ kepada dua bahagian selepas konsert ulang tahun kumpulan berkenaan pada Jun lalu.

Merasakan perjuangan untuk mengangkat nama XPDC perlu diteruskan, kini Izo, Ali, Lola dan Eddie sepakat untuk mengubah tanggapan skeptikal peminat yang masih ragu-ragu dengan mereka.

“Saya faham segelintir peminat tertanya-tanya mengapa XPDC boleh menjadi dua kumpulan berbeza. Semua berpunca selepas konsert ulang tahun tersebut.

“Tak perlu kami ulas penyebabnya memandangkan perkara tersebut sudah lama berlalu tetapi kami mahu peminat tahu yang inilah anggota yang akan meneruskan perjuangan XPDC.

“Tentang hal kumpulan lain kami tak perlu masuk campur tetapi yang penting adalah untuk meneruskan kegemilangan XPDC dan terus menjaga nama baik kumpulan ini sampai bila-bila,” kata Izo berterus terang.

Untuk pengetahuan, sebuah lagi kumpulan XPDC diketuai oleh Mael, Zuar dan anggota lain.

Meskipun ada kekeliruan berkaitan dengan kumpulan XPDC buat masa ini Izo berkata, situasi begini hanya bersifat sementara memandangkan keputusan akhir tentang penggunaan nama kumpulan akan dibuat oleh syarikat rakaman Life Records Sdn. Bhd. sedikit masa lagi.

Belum mengetahui bila syarikat rakaman tersebut bakal membuat keputusan untuk memihak kepada siapa, Izo menyerahkan kepada masa berkenaan isu itu.

“Segala keputusan kami serahkan kepada Life Records memandangkan mereka yang mempunyai hak ke atas nama XPDC ketika ini. Kami berserah kepada Allah sahaja tentang perkara berkenaan. Yang penting perjuangan XPDC harus diteruskan.

“Tapi sebagai perintis dan anggota asal kumpulan ini, pastinya saya mahukan yang terbaik sahaja. Sekarang bukan masa untuk bergaduh merebut nama atau anggota sebaliknya masa untuk memartabatkan nama XPDC ke peringkat tertinggi.

“Siapa pun yang akan dipilih nanti perlu menjaga nama baik kumpulan agar terus dipandang dan dihormati oleh peminat,” kata Izo lagi.

Sejak ditubuhkan kira-kira 26 tahun lalu, sudah tiga kali XPDC menghadapi masalah perpecahan dan keluar masuk anggota seperti yang berlaku ketika ini.

Menyifatkan perkara tersebut sebagai insiden yang tidak dapat dielakkan, adakalanya pemain gitar ini terasa hati tetapi tetap optimis yang masa depan XPDC akan kekal.

Teruja

KEMBALINYA Ali sebagai vokalis kumpulan ini pastinya membuatkan sebilangan besar peminat ternanti-nanti suara penyanyi ini seperti yang pernah dinikmati oleh mereka satu ketika dahulu.

Optimis dengan kehadiran untuk kembali menguatkan jentera XPDC, Ali yakin barisan anggota terkini pasukannya mampu terus berjuang dan menjadi antara kumpulan rock disegani.

“Saya kembali bukan untuk bersaing dengan sesiapa sebaliknya mahu menjalinkan semula hubungan baik dengan mereka (anggota XPDC) dan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni kami.

“Pada fasa ini persaingan bukan lagi menjadi fokus utama sebaliknya mahu menghidupkan semula XPDC seperti dulu.

"Peminat mengharapkan yang terbaik dan rasanya ini masa yang tepat untuk kami membalas sokongan mereka selama ini,” kata Ali lagi.

Pendapat itu turut sama disokong oleh Lola dan Eddie yang menyifatkan mereka perlu berusaha dengan lebih keras untuk terus bertahan sebagai sebuah pasukan.

Buat masa ini, XPDC sedang merangka beberapa strategi termasuk bakal merakam lagu baharu untuk dijadikan single bagi menghidupkan semula perjalanan kumpulan ini.

Mengakui sedang mengumpulkan bahan untuk menghasilkan album baharu, pastinya tumpuan diberikan kepada Izo yang bertindak selaku penggerak utama sejak nama XPDC mula dikenali sekitar penghujung 1980-an.

“Sebagai sebuah kumpulan yang berpengalaman kami perlu mengikut perubahan semasa industri muzik tempatan.

"Kami tak boleh nak menghasilkan muzik yang sama seperti album terdahulu. Tapi itu tidak bermakna ‘signature’ muzik kami akan hilang.

"Sebaliknya pembaharuan itu penting untuk menarik minat orang muda yang tidak mengenali kami dengan lebih dekat.

“Insya-Allah ada sesuatu yang menarik akan kami tampilkan dalam lagu akan datang. Harap semua peminat sabar menunggu,” kata Izo lagi.

Bagi peminat yang rindukan kemunculan XPDC, mereka bakal mengadakan persembahan sempena Pesta Pulau Pinang pada 31 Disember depan di Pulau Pinang.

TAPI sebagai perintis dan anggota asal kumpulan ini, pastinya saya mahukan yang terbaik sahaja.