Menyedari dirinya kurang dikenali di negara sendiri tidak menjadikan wanita berusia 31 tahun itu untuk berhenti menghasilkan lebih banyak karya-karya yang berkualiti.

Berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang muzik Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat menyuntik semangatnya terus berjuang dan berada dalam kelas tersendiri.

“Saya tahu masih ada yang kurang mengenali siapa saya. Akan tetapi itu bukanlah suatu isu besar kepada diri saya secara peribadi.

“Sebagai seorang penghibur, saya tak boleh mudah putus asa dan saya sentiasa berpegang kepada kepercayaan yang diinginkan,” ujar penyanyi yang terkenal dengan seleksi lagu bergenre jazz.

Kolaborasi tiga benua

SIAPA menyangka pertemuan 11 tahun lalu membawa satu titik permulaan buat Najwa dan rakan baiknya, Imran Ajmain untuk berduet menerusi single baharu berjudul Sentiasa Merinding.

Tahun demi tahun menanti masa untuk menjalinkan kerjasama, hasrat murni itu tidak tertunai lantaran kesibukan masing-masing.

Namun itu tidak pernah melupakan keinginan mereka untuk berduet dan Sentiasa Merinding hasil ciptaan mereka bersama-sama Avex dirakamkan hanya dalam tempoh dua jam di studio berlainan - Najwa di Amerika Syarikat manakala Imran di Amsterdam, Belanda.

“Saya bertemu dengan Najwa sewaktu terlibat dalam persembahan pentas di Layar Tanchap dan kemudian saya terbang ke Amsterdam manakala dia pula baru sahaja menamatkan pengajian di Amerika Syarikat.

“Waktu berlalu begitu sahaja sehingga sekitar setahun setengah lepas apabila kami berhasil merealisasikan impian untuk berduet,” kata Imran.

Single itu mengangkat genre R&B Pop dengan dibuai alunan Melayu klasik merupakan kerjasama antara Imran yang mewakili SukaSucre Creatives dan Najwa (Nada Biru Muzik Sdn.Bhd.).

Menurut Najwa, merinding membawa definisi meremang yang digambarkan dalam satu hubungan baik antara kekasih, keluarga dan rakan dalam memupuk elemen kasih sayang.

“Permulaan projek lagu ini berjalan dengan cara tersendiri. Saya anggap ini sebagai pertemuan tiga benua. Waktu itu saya di New York, Imran pula di Kuala Lumpur dan Avex di Australia.

“Hanya menerusi aplikasi Skype dan e-mel menjadi jaringan komunikasi antara kami untuk berbincang mengenai rangka melodi sekaligus penghasilan lirik,” ungkap Najwa sambil mengimbas kerjasama karya tersebut.

Tidak rosakkan lagu

SEMENTARA itu, mengulas lanjut tentang inisiatifnya dalam memberi nafas baharu terhadap seleksi lagu-lagu lama, Najwa mengakui pernah teruk dihentam dan dilabel sebagai perosak lagu.

Dua tahun lalu, dia pernah menyanyikan semula lagu asli Seri Mersing yang telah disunting dengan muzik lebih segar dalam usaha untuk membawa lagu tersebut ke peringkat antarabangsa.

“Saya tiada maksud nak rosakkan lagu Melayu asli malah niat saya murni. Tujuan saya mahu beri yang terbaik dalam menghasilkan muzik berteraskan masa kini sekaligus mampu bersaing ke peringkat global.

“Sebenarnya itulah adalah percubaan pertama saya untuk menguji sejauh mana lagu terbabit boleh pergi.

“Itu sahaja dan tiada niat lain pun,” katanya dengan nada tegas.