Ezlynn 

Begitulah dugaan dalam hidup penyanyi, Ezlynn. Pernah mengecap hidup berumah tangga selama beberapa tahun, dia kini kembali bersendirian selepas bercerai talak satu dengan Adam Fahmy Shamsuddin pada 23 Oktober lalu.

Apa pun sebagai wanita matang dan cekal, setiap duka lara hidupnya sebelum ini tidak pernah diperagakan kepada umum. Apatah lagi untuk berbicara menerusi akaun media sosial.

Cukup hanya dia dan orang terdekat sahaja yang boleh membaca hati dan perasaannya. Hanya tahun ini, barulah segala-galanya jadi perhatian.

Bagi Ezlyn atau Azline Ariffin, 36, tiada lagi irama kesedihan mengiringi perjalanan hidupnya. Semuanya mahu dihadapi dengan cara yang lebih positif dan indah, di samping meletakkan keutamaan hanya kepada diri sendiri.

“Sekarang saya hidup gembira dan tak mahu lagi fikir soal yang lepas-lepas.

“Saya hadapi segala-galanya dengan tenang dan bersyukur dengan perjalanan hidup yang berwarna-warni ini.

“Semuanya berjalan lancar dan baik-baik sahaja. Tiada masalah berat yang saya tidak mampu kendalikan.

“Semuanya berjalan baik dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan.

“Yang perlu saya lalui ketika ini ialah belajar menjadi solo dan menguruskan diri sendiri, di samping menyerahkan kepada pihak pengurusan dalam soal kerjaya saya,” kata Ezlyn membuka bicara.

Aktif beriadah untuk stamina

Pernah satu ketika dahulu, penyanyi ini punya masalah pernafasan kerana kerap diserang semput. Namun Ezlynn tidak betah melayan sakitnya itu malah dia tetap melibatkan diri dalam acara-acara sukan yang menjadi kesukaannya.

Antara sukan yang cukup digemarinya ialah aktiviti berbasikal bukit dan kerap menyertai pelbagai pertandingan.

“Saya sudah terlibat dalam sukan berbasikal bukit (Mountain Bike - MTB) sejak 2010 dan sekarang sudah ada dua buah basikal.

“Yang bagusnya bila mula berbasikal ini sebab menambah stamina diri dan sangat baik untuk saya yang ada penyakit semput ini.

“Saya ada grup sendiri yang membolehkan kami membuat rutin yang biasanya dilakukan di sekitar Bukit Kiara.

“Pernah juga beberapa kali menyertai jambori berbasikal dan memang sesuatu yang sangat menyeronokkan.

“Yang terkini ialah saya mula terlibat dalam aktiviti mendaki gunung pula.

“Gunung yang saya saya daki baru-baru ini ialah Gunung Rinjani yang terletak di Lombok, Indonesia,” kata Ezlynn.

Tidak sekadar aktif beriadah, Ezlynn turut menyibukkan diri dengan kegiatan menjahit dan meneruskan peniagaan menjual tudungnya dengan jenama Halus, selain mahu aktif dalam dunia larian 
pula.

Tambah Ezlynn, dengan kesibukan melakukan pelbagai aktiviti, dirasakan jauh lebih bermanfaat, sekali gus dapat bertemu dengan pelbagai lapisan golongan yang membuka peluang untuknya berurusan demi kerjaya seni.

Bekerjasama dengan Tam Spider

Bernaung di bawah label baharu, Indigital dan diuruskan oleh KL Underground, kini Ezlynn menumpukan perhatian kepada penghasilkan album baharunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Kali terakhir lagu singlenya diterbitkan ialah pada 2013 berjudul Tic Tac Toe.

Akur dengan pasaran album yang agak tidak stabil, Elynn sedar dia perlukan sebuah lagu yang mampu menaikkan namanya semula di persada muzik tempatan.

Justeru, dia memilih Tam Spider untuk menghasilkan single baharunya kelak kerana dia percaya dengan buah tangan penyanyi tersebut yang selama ini telah banyak kali menghasilkan lagu balada yang sesuai dengan selera pendengar muzik tempatan.

Berdepan dengan episod luka dalam kehidupan namun bagi penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye, ini bukanlah satu kegagalan yang harus ditangisi membuatkan dia perlu bermurung untuk tempoh yang lama.

“Ini bukan satu kegagalan. Saya cuma anggap sebahagian daripada proses pembelajaran utuk menjadi insan yang lebih bijak dan terbaik. Saya juga tak salahkan sesiapa dalam hal ini.

“Saya terima semua kritikan dengan hati yang terbuka. Yang penting, saya sentiasa percaya kepada diri sendiri yang saya boleh melakukan apa sahaja dalam hidup,” kata Ezlynn.

Mengenali kekuatan diri sendiri, Ezlynn percaya dengan sikapnya yang gemar kepada risiko dan tidak gentar kepada setiap halangan yang bakal dihadapi, dia boleh menempuhi sebarang cabaran.

“Saya gemar mencabar diri sendiri dan tidak ada seorang pun yang boleh menghentikan keinginan yang saya mahu laksanakan apabila saya sudah membuat satu sasaran. Insya-Allah, dengan izin-Nya, semua akan tercapai.

“Setiap yang terjadi dalam hidup saya adalah pelajaran yang cukup bernilai untuk mengenali diri sendiri dan orang lain. Setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Yang penting saya selesa dengan keadaan sekarang,” kata Ezlynn.

Tidak mahu berlama-lama dalam urusan berkaitan hati, Ezlynn menjadikan kerjaya dan hobinya satu cara untuk lari daripada segala perkara yang membebankan minda.