Justeru sebagai anak sulung daripada tiga beradik, Jasmin bertekad membantu keluarga.

“Sejak usia 10 tahun lagi, saya sudah membantu orang tua saya berniaga makanan dan barangan di pasar malam di sekitar Kuala Lumpur.

“Selepas habis waktu belajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu (Kuala Lumpur), saya terus bergegas pulang ke rumah. Tukar uniform sekolah dan ikut mereka pergi berniaga sampai malam.

“Saya perlu membantu mereka kerana pada waktu itu keluarga saya susah. Kalau nak makan, kena bekerja dulu. Apabila dapat duit, baru boleh makan.

“Untunglah kami ada nenek di Kampung Bharu yang sudi menumpangkan kami sekeluarga untuk tinggal bersama-samanya,” kata Jasmin mengimbas nostalgia zaman kanak-kanaknya.

Kesempitan hidup itu juga menyebabkan Jasmin memahami erti kepayahan hidup dan pengorbanan yang dilakukan orang tuanya.

Jadi seboleh-bolehnya Jasmin tidak meminta sesuatu di luar kemampuan orang tuanya, biarpun jauh di sudut hatinya, dia sentiasa berdoa agar ibu bapanya itu seperti keluarga rakan sebayanya yang boleh memenuhi permintaan anak mereka.

Bagaimanapun keadaan itu secara tidak langsung telah membuatkan Jasmin menanam azam untuk mengubah nasib keluarganya dan bertekad tidak mahu lagi hidup dalam kemiskinan.

Semangat Jasmin untuk merea­lisasikan impiannya itu semakin berkobar-kobar sewaktu dia melangkah ke alam remaja.

Pada waktu itu, dia sudah menyimpan cita-cita untuk mencari lebih banyak sumber kewangan untuk keluarganya.

“Sejak sekolah rendah sehingga masuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wilayah (Kuala Lumpur), saya tidak pernah berhenti membantu keluarga.

“Saya mencuri peluang perniagaan secara kecil-kecilan seperti menjual kad raya, bunga api dan makanan ringan termasuk ketupat.

“Duit yang diperoleh itu kemudiannya saya beri kepada emak,” katanya yang sentiasa memikirkan cara untuk mencari rezeki lebih buat keluarga.

Kata Jasmin, dia kemudiannya mengintai peluang pekerjaan sebagai penari sambilan di Studio Maya milik Jaafar Onn ketika berusia 15 tahun.

Menegaskan bahawa niatnya pada waktu itu hanya semata-mata untuk membantu keluarga, Jasmin juga tidak merasakan keputusan untuk menceburi bidang seni itu adalah satu langkah yang kurang bijak.

Apatah lagi kecen­­deru­ngannya ketika itu lebih kepada aktiviti kesenian di sekolah membuatkan dia lebih tertarik untuk bidang tarian.

“Saya banyak menyertai pertandingan bakat seperti memperagakan fesyen yang dianjurkan pihak sekolah. Bertitik-tolak dari situ, saya mencuba bidang tarian pula.

“Sebab itu sepanjang bekerja di Studio Maya, saya bertuah apa­bila diberi peluang untuk mengikuti kelas tarian secara profesional setiap hujung minggu.

“Selain itu saya juga didedahkan tentang cabang seni lain seperti kelas memperagakan pakaian dan asas dalam lakonan,” ujarnya yang juga meminati pertandingan berpidato di sekolah.

Berniaga

MENGUBAH topik tentang minat dalam bidang perniagaan, kata Jasmin, dia tidak akan berhenti daripada berniaga malah merasakan bahawa itu yang paling efektif untuk memperoleh pendapatan lebih.

Memilih bidang kecantikan, pemilik dan pengasas produk De-Jay Magic ini merasakan sudah tiba masanya dia mengukuhkan empayar perniagaan yang diusahakan sejak tahun lalu.

“Bukan senang nak jadi senang sebab itu saya sanggup berkorban masa semata-mata untuk mengukuhkan pendapatan.

“Saya tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada sumber pendapatan dalam bidang lakonan. Saya memerlukan bekalan kewangan yang kukuh demi masa depan anak-anak.

“Sebab itu saya tidak malu untuk menceritakan kisah silam saya sebagai panduan kepada generasi baharu hari ini bahawa sebenarnya tugas untuk mencari wang itu bukan kerja mudah.

“Wang juga tidak akan datang bergolek di depan mata melainkan dengan usaha yang gigih dan tanpa mengenal erti jemu,” kata ibu kepada Ian Haziq Ian Rashid Macquistan, 14.

Jasmin pernah berkahwin dengan Ian Rashid Macquistan ketika berusia 25 tahun dan berpisah pada 4 Februari 2008.

Namun desas-desus mengatakan dia sudah berkahwin lain masih menjadi tanda tanya kerana Jasmin cukup berahsia tentang hal berkenaan.

“Saya tidak akan berkongsi kisah status saya ini. Tunggu, bila sudah tiba masa yang sesuai, saya akan ceritakan juga,” ujarnya lagi.

Cemerlang

PEMBABITANNYA dalam bidang seni nyata mengundang pandangan serong segelintir pihak yang menuduh Jasmin sengaja mencari jalan mudah untuk hidup senang.

Tanggapan itu ditepis Jasmin apabila dia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1987.

Lebih membanggakan lagi apabila Jasmin dapat membuktikan kepada bapanya yang dia juga mampu berjaya dalam pelajaran meskipun sibuk bekerja.

“Saya akui memang bapa pada mulanya kurang senang apabila saya menceburi bidang seni. Senang cerita, dia memang tak suka saya menari atau masuk pertandingan pencarian wajah.

“Sebab itu apabila saya dapat keputusan cemerlang dalam SRP, barulah dia boleh terima minat saya dan mula memberi restu,” ujarnya.

Berkongsi cerita sewaktu menyertai pertandingan pencarian wajah pada 1987, Jasmin memberitahu, dia pernah dianiaya oleh salah seorang daripada finalis pertandingan tersebut.

Perkara itu terjadi apabila finalis berkenaan tidak membawa busana seperti yang dijanjikan sebelum hari pertandingan.

Keadaan itu menyebabkan Jasmin terpaksa menebalkan muka meminjam busana daripada salah seorang penari.

“Itulah kali pertama dalam hidup saya dianiaya oleh individu yang sama-sama ingin bersaing untuk merebut kemenangan pada pertandingan pencarian wajah.

“Saya betul-betul tak ada mood sebab pakaian penari sudah semestinya tidak glamor seperti pakaian dalam pertandingan sebegitu tapi saya teruskan juga.

“Mungkin sudah tercatat rezeki saya apabila mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 pada pertandingan tersebut,” ujarnya yang merasakan pertandingan yang disertai itu menjadi titik permulaan pembinaan keyakinan dalam diri Jasmin.

Selepas itu, dia menyertai pertandingan Dewi Remaja 1990/91 dan layak ke peringkat akhir sebelum ‘disambar’ penerbit Pansha untuk membintangi filem Boss ketika berusia 17 tahun.

Pada waktu ini, Jasmin sudah boleh menarik nafas lega apabila mampu menyewa sebuah rumah di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur dan berpindah dari rumah neneknya di Kampung Bharu.

“Akhir­nya saya dapat mengubah nasib keluarga walaupun tidak banyak, melihat keluarga hidup dalam keadaan selesa sudah memuaskan hati saya,” katanya.

Jasmin juga pernah mem­bintangi filem Kanta Serigala dan Cik Romantik selain puluhan drama tempatan sebelum memenangi anugerah Aktres Terbaik pada satu majlis pada 1997 menerusi drama Jutawan Segera.

Terkini, Jasmin baru saja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Jangan Ambil Anak Aku untuk siaran RTM.