PELAKON BOY IMAN

Antara komen negatif yang terpalit pada pelakon filem Blok 404 ini adalah dia ni dikatakan kuat temberang dan berangan. Tak cuma itu, kalau bab-bab suka meraih publisiti murahan ni memang orang kata, dia semahu-mahunya nak ke depan juga, tak mahu kalah! Tapi betul ke Boy ni kuat temberang? Berikut ialah komen Boy mengenai cemuhan yang dilemparkan padanya.

Bagaimana perkembangan syarikat DBI Groups sekarang?

Alhamdulillah, di sebalik apa yang orang cakap, macam-macam yang terjadi pada saya sebelum ini, semuanya ada hikmah. Akhirnya kebenaran terbukti dan kejayaan datang dengan sendirinya. Sejak setahun lebih saya membina jenama DBI Groups dengan kini memiliki tujuh syarikat di bawahnya termasuk hartanah, teknologi, produksi televsiyen, kecantikan dan hotel, saya bersyukur kerana semakin banyak hasil yang saya dapat.

Ramai yang tak pernah berpuas hati, perlekeh walau apa pun Boy lakukan, kenapa ya?

Tak semua orang akan suka pada kita. Mungkin kerana hati mereka tak bersih dan tak jujur. Tapi saya pun tak salahkan mereka seratus-peratus kerana mungkin ada salah juga di pihak saya. Nak cakap pun serba tak kena, tapi saya suka melihat semua yang berlaku ini sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup. Yang penting, saya tetap berjalan terus dan tak putus asa buktikan pada mereka apa yang saya buat selama ini bukan main-main.

Tak bengang ke bila orang asyik bercakap buruk pasal awak?

Terpulang pada orang, siapalah saya untuk menutup mulut mereka. Prinsip saya, biarlah apa pun orang nak kata, lebih baik saya teruskan memberi daripada banyak menerima. Mereka yang bercakap buruk tu pun, bukan ada apa-apa, masih di takuk lama sedangkan saya, selangkah demi selangkah sudah mengatasi kedudukan mereka. Beginilah, saya tak perlukan orang untuk bercakap, tetapi cukuplah kalau mereka nampak apa yang saya buat. Orang nampak kemanisan, tetapi orang tak nampak pahitnya, bagaimana saya pernah enam bulan tidur di Bukit Bintang, seluar dalam tak berganti seminggu, mereka tak tahu susah saya.

Kecewa?

Tak! Saya berterima kasih kerana mereka adalah pembakar semangat. Manusia tak akan berhenti bercakap. Semasa saya dapat anugerah Datuk daripada Naning, mereka kutuk, sehinggalah saya dapat anugerah darjah daripada Sultan Pahang, tetap mereka tak berhenti mencaci sampai ke hari ini. Orang kata saya temberang, menipu sebab ambil gambar di luar pagar istana saja. Ambil gambar luar pagar pun jadi isu. Tak apalah, mereka buat begitu, jumlah pengikut saya di media sosial semakin bertambah sebab orang nak tahu apa yang saya buat.

Jujurlah, bila orang label Boy ni kuat berangan, tak melenting ke?

Kalau tak berangan, tak ada impian, macam mana nak berjaya? Katalah kita berangan nak pakai kereta Ferrari, kenalah berangan dulu, bukan? Pakar motivasi pun ada sebut begitu dan jangan lupa, percakapan juga adalah doa. Kenalah minta dengan Allah SWT Dalam bab ini, saya tak marah pun bila orang nak label saya macam-macam sebab yang penting, duit masuk. Bukan nak takbur atau riak, sebab benda-benda tu kalau Tuhan nak tarik, sekejap saja.