Bercakap mengenai Achik Spin yang sudah hampir tujuh tahun meninggalkan kita, pastinya ada yang tertanya keadaan terkini keluarga arwah. Meninggalkan seorang isteri dan dua anak yang kala itu masih terlalu kecil, apa agaknya kisah terbaru mengenai keluarga bekas vokalis utama kumpulan Spin ini.

Berkesempatan menemubual isterinya HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof (Tasha), 32, ternyata wanita yang cekal menjaga dua waris Achik ini tidak pernah berada jauh dari kenangan yang diciptakan arwah suaminya.

“Hampir dua tahun saya mencari kekuatan selepas pemergian suami. Ketika dia meninggal dua anak saya baru berumur dua dan 11 bulan. Setiap hari saya harapkan ketika itu adalah kemalangan itu sekadar lakonan dan bukan benar berlaku.

“Berlalu tahun saya mula mendapat kekuatan. Mujur juga anak terlalu kecil dan tidak terlalu bertanyakan soal ayahnya. Fokus utama ketika ini hanyalah untuk membesarkan anak-anak Nursafiyya, 8, dan Putri Nursumayya 7,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengimbau kembali kenangan terindah dengan arwah suami, Tasha tidak mungkin dapat melupakan bagaimana Achik yang dikenali sebagai penyanyi oleh peminatnya tidak sekadar mempunyai suara yang lunak. Tentunya sikap penyabar suaminya itu menjadi jambatan utama hubungan mereka.

“Bercinta selama tiga tahun, dan kami berkahwin selama lima tahun. Dalam tempoh itu dia cukup membahagiakan saya. Banyak sifatnya yang saya ingat, antaranya seorang yang cukup penyabar dan tidak mudah melenting,” katanya.

Masih senang bergelar ibu tunggal sehingga kini, Tasha tidak pernah menidakkan jodoh sendiri. Jika ada yang hadir, dia bersedia. Pun begitu, untuk mencari yang mampu menggantikan cinta pertamanya, Tasha yakin itu tidak mungkin.

“Terlalu indah kenangan yang ditinggalkan suami, malah sehingga kini juga saya tidak yakin sama ada akan bertemu dengan seseorang sepertinya lagi.

“Mengapa saya tidak berkahwin sehingga kini bukanlah kerana saya menolak jodoh. Bagi saya masih belum bertemu yang sesuai. Soal ini sebenarnya saya berserah kepada Allah sahaja,” katanya yang turut tidak mendapat tentangan anak-anak jika mahu berkahwin lagi.

Bercerita kehidupannya selepas kehilangan suami, Tasha sama seperti ibu tunggal lain. Tiada yang berbeza memandangkan secara total mendapat tanggungjawab sebagai seorang ayah dan ibu.

“Saya bekerja untuk menampung kehidupan dan anak- anak, selama beberapa tahun ini. Mujur dalam keadaan ini keluarga saya sangat menyokong saya.

“Mahu kata sukar, tidaklah sangat. Bagi saya ini adalah tanggungjawab yang harus digalas diri saya sebagai seorang ibu dan ayah kepada anak-anak saya,” katanya.

Mendengar lagu-lagu arwah suaminya dimainkan, tiada rasa lain yang mendakap jiwa Tasha selain rindu. Bagaimanapun dalam waktu yang sama tidak mahu dia lupa anak-anaknya juga layak untuk menerima wang royalti dari lagu-lagu tersebut.

“Saya tidak pernah mendapat apa-apa duit royalti dari lagu nyanyian arwah suami untuk membesarkan dua anak saya. Memang ada yang mengajar saya untuk menuntut hak ini, tetapi sebelum ini saya terlalu sibuk bekerja.

“Namun saya sudah merancang untuk bertemu mereka yang berkenaan untuk bertanyakan hal ini,” katanya.

Bercakap mengenai sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, rutinnya masih sama. Memandangkan anak-anaknya sudah besar, tentunya ingatan kepada ayah mereka menjadi agenda utama setiap tahun.

“Rutin di pagi raya itu sama, selepas sembahyang raya saya dan selepas itu anak-anak bertemu dengan sanak saudara. Melawat kubur arwah suami pula selalunya pada hari sebelum sambutan hari raya.

“Tahun kebelakangan ini saya sudah masak makanan kegemaran arwah setiap pagi raya iaitu ketupat dengan sambal taucu. Setiap kali mereka makan, saya akan ingatkan yang makanan tersebut adalah makanan kegemaran ayah mereka,” katanya.

Ketika ini Tasha masih tinggal di Seremban dengan anak-anaknya dan an bekerja di sebuah syarikat 
perisian.

Sebelum ini bekerja di sebuah hospital swasta di bahagian akaun.

Selepas suami meninggal dunia, tiada bantuan kewangan yang diterima untuk membesarkan anak-anak, termasuk dari rakan-rakan seperjuangan suaminya.

Tasha juga menjadi duta untuk sebuah produk kecantikan sendiri bernama Legasi GM3.