“Buat masa sekarang, jawapan saya adalah ‘tidak’ kepada mana-mana lamaran. Baik daripada bekas suami atau orang luar, saya tidak terima. Pada masa depan saya tidak tahu, tetapi inilah jawapan saya sekarang.

“Jika ada yang membayangkan wanita semuanya sama, tidak sama sekali pada saya. Saya lebih senang memberi fokus kepada suatu perkara dalam suatu masa. Kini fokus utama saya adalah untuk melihat anak-anak berjaya. Selagi impian itu belum tercapai tidak mampu untuk saya fikir perkara lain,” katanya ketika ditemui di restoran Burgerbyte miliknya baru-baru ini yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Jelasnya setiap kali menerima lamaran, perkara utama yang dibangkitkan dia kepada individu terbabit adalah untuk mencari buruk dirinya dahulu. Dia yakin dalam mana-mana hubungan juga jika yang diterima hanya kebaikan seseorang pasti sesebuah perhubungan itu akan mengalami masalah kelak.

“Jangan hanya terima baik, terima buruk saya dahulu. Pinta saya kepada mereka yang cuba mendekati diri ini, kaji buruk.

“Mereka kena faham, jika saya terlalu baik, maka tidak akan berlaku perceraian antara saya dan bekas suami. Sebab itu saya selalu muhasabah diri, tidak hanya mencari salah orang, tetapi fahami apa kesilapan sendiri,” katanya yang pernah berkahwin dengan Adzmin Tan Sri Othman, 43, selama 10 tahun sebelum bercerai pada 28 September 2010.

Tidak pernah terbit rasa sunyi dalam jiwa, Raja Azura atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 44, tidak pernah membiarkan rasa itu berada dalam hidupnya. Ketika ini apa yang mampu diucapkan, dia adalah seorang wanita yang bahagia dengan kasih sayang yang dibekalkan keluarga dan anak-anak.

“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang, sebab tidak banyak diperlukan dalam hidup ini selain ibu saya dan anak-anak.

“Mereka sudah cukup menyempurnakan kehidupan saya,” kata ibu kepada Megat Muhammad Raziq, 14; Megat Luqman Hakim, 13; dan Puteri Mia Maizurah, 10.

Hampir 10 tahun menceriakan pagi rakyat Malaysia melalui celotehnya di siaran pagi sebuah stesen radio, ada yang tertanya bila agaknya Raja Azura ini bersedih. Atau sebenarnya tiada istilah kecewa dalam kehidupannya yang membuatkan dia menjadi begitu positif kini.

“Mustahil tidak pernah rasa sedih, tidak pernah rasa kecewa. Tipu kalau cakap selepas saya berpisah dengan bekas suami itu semuanya ok. Tetapi selepas beberapa lama, saya fikir kenapa perlu meletakkan diri saya dalam keadaan itu begitu lama.

“Anak-anak adalah penguat saya sehingga kini, sebab itu tiada sebab untuk saya mengambil mudah untuk melihat anak-anak berjaya,” katanya.

Enggan berbahagia kasih

Sengaja menguji hati Raja Azura melalui soalan, tidakkah anak-anaknya sendiri mahu melihat dia kembali bersuami? Ternyata ada batas yang perlu difahami anak-anak wanita besi ini.

Anak-anak sedari kecil sudah diajar agar hormat akan pendirian yang dibuat oleh ibu dan bapa mereka, dalam keadaan sekarang.

“Anak-anak saya nampaknya sangat menghormati keputusan emak mereka. Setakat ini, mereka tidak berani ajukan soalan sebegitu. Manja saya bertempat, dan syukur kerana anak-anak cukup memahami,” beritahunya.

Malah, Azura juga tidak mahu menjadikan perceraian sebagai jurang untuk memisahkan kasih sayang antara seorang ayah dengan anak-anaknya sendiri.

Dia kekal dengan pandangan, anak-anak tetap mempunyai hak yang sama seperti anak-anak orang lain, meskipun dalam keadaan ibu bapanya tidak sebumbung lagi.

“Satu ajaran yang saya selitkan dalam kehidupan mereka adalah untuk menghormati saya dan bapa mereka, setiap masa. Walaupun saya dan bekas suami tiada jodoh, namun perlu untuk saya kekalkan hubungan yang harmoni antara saya dan bekas suami, demi anak-anak. Ini sebagai bukti buat mereka bahawa dalam apa juga masalah yang timbul, ia tidak pernah mengurangkan kasih sayang kami sebagai ibu dan bapa kepada mereka,” katanya, serius.

Di kawal ibu

Antara yang perlu peminat Raja Azura tahu, sehingga ke saat ini wanita ini sebenarnya masih di bawah pengawasan ibunya. Bukan tidak suka dengan keadaan ini, malah wanita ini sebenarnya bangga untuk mempunyai seorang ibu yang sanggup mendidiknya sehingga ke umurnya kini menjangkau 44 tahun.

“Sehingga sekarang sebenarnya ibu, Raja Saleha Raja Yusof, 68, akan meminta saya supaya memberitahu dia, ke mana juga saya pergi. Malah sesuai dengan teknologi kini, ibu saya juga akan membuat panggilkan video untuk mengetahui di mana kedudukan saya, setiap hari.

“Mungkin agak janggal bagi sesetengah orang di umur sekarang, tetapi bagi saya ada suatu perasaan yang membuatkan saya rasa selesa. Dahulu ketika bergelar isteri tidaklah begini. Cuma bila saya solo ini, ibu mengambil tanggungjawab itu balik,” katanya.

Meletakkan ibunya sebagai idola hidup, dia percaya wanita itu juga yang menyebabkan dia menjadi seorang individu berdisiplin sehingga disenangi ramai.

“Sikap ibu saya itulah yang menyebabkan saya sangat berhati-hati dengan apa juga yang akan dibuat. Sebagai anak seni kita bukan sahaja membawa nama sendiri tetapi keluarga.

“Alhamdulillah sepanjang 30 tahun berada dalam industri tidak ada kontroversi berat yang saya bawa, malah saya juga sangat mengambil berat dengan setiap pilihan yang saya buat,” katanya.

Selamat tinggal bidang nyanyian

Kebolehan Raja Azura tidak sekadar di pentas pengacaraan, jika ada sesiapa yang mengikuti perjalanan anak seni serba boleh ini dia juga merupakan seorang pelakon dan penyanyi. Bercakap soal itu kini, nampaknya lakonan masih terkesan di hati. Dalam bab menyanyi, jangan terkejut. Hari ini, Raja Azura lebih senang untuk melupakan sahaja cabang seni ini, meskipun bakat nyanyiannya tiada yang mempertikai sebelum ini.

“Sudah hampir enam tahun tidak berlakon, bukan mahu berhenti terus, tetapi kalau ada tawaran yang bagus saya terima. Cuma buat masa ini belum lagi. Menyanyi pula, mungkin bukan sudah waktu saya. Sudah lama sebenarnya saya tinggalkan dunia itu. Saya tidak melihat ruang untuk menyanyi kembali,” katanya yakin.

Lebih senang disapa dengan gelaran Kak Engku, ternyata apa yang dilontarkan dia sepanjang bercerita tiada yang dusta selain benar belaka. Tidak kisah sekiranya ada pihak yang tidak senang dengan kelantangannya ketika bersuara, katanya dia hanya menjalankan tugas dengan amanah. Malah setiap kali bersetuju mengambil tanggungjawab sebagai juri dalam apa-apa pertandingan niatnya hanya satu iaitu berkongsi ilmu yang dimiliki.

“Saya memberikan komen sebagai juri dengan jujur, bagi mereka yang mahu mendapatkan ilmu itu dengan hati terbuka saya persila. Tetapi jika tidak mahu tidak mengapa.

“Dalam proses belajar perlu ada peringkat di mana kita akan ditegur dan sebagainya sama juga prosesnya di sekolah. Jadi mengapa perlu jadikan perkara ini sebagai isu,” katanya.- Gambar Shaifudin Mohd. Nor