Judulnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan pembaca sedia maklum tentang intipati penceritaan - sukan bola sepak.

Namun yang pembaca mungkin tidak tahu ialah penghasilan filem ini menerusi idea dan inspirasi Chiu terhadap kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik di Moscow pada 1980.

Mengakui bahawa dia adalah antara jutaan peminat sukan tersebut dan sesuai dengan dunia perfileman yang diceburinya kini, Chiu memberitahu yang dia telah lama menanam hasrat untuk menghasilkan sebuah filem berkisar mengenai sukan ini. Malah menjadi antara naskhah yang paling dinanti-nantikannya untuk muncul di layar perak.

“Sebenarnya sejak saya mula menceburi bidang ini, saya sudah letak sasaran bahawa satu hari nanti saya akan hasilkan sebuah filem tentang sukan bola sepak.

“Pertama sebab saya memang minat sukan ini. Kedua, saya nak bawa kembali pengalaman dan fenomena zaman kegemilangan pasukan bola sepak negara kita dalam bentuk layar perak.

“Saya ingin membawa semula kenangan indah pemain bola sepak satu masa dulu dan mahu memberi rasa yang sama kepada penonton di dalam panggung untuk merasai kehebatan pasukan bola sepak negara,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Chiu, sebagai seorang pengarah, dia sedar tentang cabaran ketika berada di set penggambaran terutama bagi menghasilkan filem bercorak sukan seperti itu.

“Antara cabarannya adalah melibatkan masa, lokasi dan kita sememangnya memerlukan pelakon yang bukan kaki bangku. Maksudnya, saya memang kena cari pelakon yang berkebolehan bermain bola sepak.

“Kalau saya ambil pelakon secara rambang tanpa meletakkan hal ini sebagai keutamaan, pasti sukar untuk menyakinkan penonton apalagi saya menghasilkan sebuah filem yang bercerita tentang kehebatan pasukan bola sepak kita.

“Kita mahu tengok kemahiran yang bersifat realistik di padang. Kalau pelakon tidak mahir, babak perlu dilakukan banyak kali. Itu adalah satu perkara yang saya mahu elak,” katanya.

Menurut Chiu lagi, filem ini juga mengambil masa yang lama untuk dihasilkan kerana dia perlu membuat kajian mendalam tentang intipati penceritaan.

Ini termasuk menjalankan sesi temu bual, meneliti foto asal dan menitikberatkan soal penyediaan pakaian yang perlu selaras dengan era 80-an.

Bakal ditayangkan di seluruh pawagam tempatan pada 2016, kata Chiu lagi, meskipun ini adalah sebuah filem fiksyen, Ola Bola meletakkan nilai persahabatan, kemahiran sukan, keluarga dan keharmonian berbilang bangsa sebagai intipati utama.

Menggunakan 60 peratus bahasa kebangsaan dengan selebihnya Mandarin dan Tamil, Chiu yakin penonton dapat menerima mesej yang ingin disampaikan dan tidak cuma disajikan sebagai satu bentuk hiburan semata-mata.

Antara pelakon yang terlibat dalam filem ini ialah Bront Palarae, Frankie Lee (The Journey) serta barisan pelakon baharu seperti JC Chee, Luqman Hafidz, Marianne Tan dan Katrina Ho.