Langit seolah-olah turut bersedih seperti juga lebih 1,000 orang yang menghadiri majlis pengebumian seorang lagi tokoh seni terbilang negara, Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin.

Semuanya berhimpun di situ sebelum sama-sama menghantar Allahyarham Jins ke tempat berehat paling abadi yang terletak di sebelah masjid berkenaan.

Kehadiran segenap lapisan masyarakat yang rata-ratanya terdiri daripada anak seni adalah terjemahan rasa kasih dan cinta kepada seorang lelaki yang sudah menghabiskan lebih lima dekad hayatnya untuk seni.

Di tanah perkuburan itu, seniman veteran dan generasi baharu, tokoh akademik, wartawan bahkan menteri turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Jins yang menoktahkan hayatnya pada usia 82 tahun kelmarin.

Semuanya berduka kerana mengenangkan jumlah angkatan pelakon era Jalan Ampas semakin hari semakin berkurangan kerana semuanya sudah dipanggil menemui Allah.

Allahyarham Jins bukan sembarangan tokoh. Seni lakon menjadi platform terawal beliau membina nama sebelum mendaki tangga-tangga kejayaan sebagai seorang tokoh politik yang disegani kawan dan lawan.

Siapa pernah menyangka seorang pelakon tampan dan gagah di layar perak diangkat sebagai seorang Senator di Dewan Negara selama dua penggal sekali gus membuktikan Allahyarham Jins memiliki ketokohan yang pelbagai.

Karismanya sebagai pelakon dan sutradara tiada tolok bandingnya. Ketegasan baik di set penggambaran atau di luar menjadikan seniman itu sangat unik.

Jins adalah Jins. Tiada duanya. Semua orang akan merindui karakter dan persona beliau.

Namun pagi semalam, Jins pergi membawa segala-galanya ke liang lahad. Terputus sudah urusan beliau dengan dunia.

Yang akan terus kekal hanyalah kenangan yang ditinggalkan Allahyarham.