Memerlukan daya usaha yang tinggi dan komited dalam mencari gali bahan dan kajian dengan betul dan tepat, cerita sejarah apabila difilemkan cenderung terdedah dengan sesetengah batasan yang boleh menjadikan naskhah itu kelihatan lemah.

Paling penting dalam mengangkat sesebuah filem sejarah, sasaran utama bukanlah mengenai mengaut keuntungan berlipat ganda. Tetapi usaha di sebaliknya dalam memberi pendidikan secara tidak langsung kepada penonton mengenai asal usul penghidupan di masa lalu mengikut fokus dan kemahuan hala tuju jalan cerita yang ingin disampaikan.

Pujian wajar diberikan kepada pengarah Jack Neo kerana penceritaan sejarah yang dihasilkan untuk filem Long Long Time Ago dilihat punyai rempah ratus yang cukup.

Filem ini berkaitan sejarah Singapura yang diambil sekitar 1965 sehingga awal 1970 yang memaparkan perubahan demi perubahan yang berlaku di republik itu dari sudut pandangan kehidupan masyarakatnya, demografi kehidupan di kampung sehinggalah kepada kehidupan di perumahan pangsapuri yang banyak di sana.

Garapan dalam suasana yang sangat santai, filem arahan Jack Neo ini difahami dengan mudah dan hakikatnya, tidak jauh dengan cara kehidupan dan suasana masyarakat di Malaysia kerana memiliki perkongsian diversiti bangsa yang sama dengan negara ini.

Realistik wujud dalam filem ini memandangkan Jack tidak berlebih-lebihan dalam memaparkan penceritaan. Kekal dalam momentum untuk mengembalikan nostalgia lama penonton terhadap klasiknya kehidupan antara berlainan bangsa di Singapura, Jack sebenarnya bertuah kerana dia 'dibenarkan’ untuk menggunakan dialek Hokkien, Teochew dan Mandarin dalam filem ini untuk ditayangkan di negara itu.

Untuk pengetahuan, sejak 1965, Singapura melaksanakan secara meluas Bahasa Inggeris meski masih menggunakan Bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

Kelonggaran itu bagaimanapun diberikan oleh kerajaan Singapura untuk tayangan filem Jack ini kerana usahanya untuk memaparkan realistik kehidupan masyarakat Singapura terdahulu untuk tatapan generasi baharu dan itu tentunya satu penghargaan buat Jack kerana usahanya itu mendapat kerjasama baik daripada republik itu.

Tidak cuma fokus kepada penggunaaan bahasa yang pelbagai terutama bahasa Melayu yang ketika itu masih diguna secara meluas di Singapura oleh pelbagai bangsa, Jack juga menekankan aspek kemasyarakatan apabila turut mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian.

Secara jujur, ada beberapa bahagian sentuhan melankolik juga sengaja diwujudkan bagi menjadikan filem ini punya 'jiwa’ di samping menyelitkan unsur-unsur komedi dalam seriusnya sebuah naskhah cerita sejarah.

Paparan watak juga berjaya dimainkan dengan baik oleh teraju utama filem yang dihasilkan sempena ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-50 ini.

Pujian wajar diberikan kepada Aileen Tan, Mark Lee,Wang Lei, Jing Jing, Charmaine Sei, Suhaimi Yusof, Silvarajoo Prakasam, Nurijah Sahat, Yan Li Xuan, Benjamin Tan dan Ryan Lian yang dilihat selesa dengan watak masing-masing.

Bagaimanapun jalan cerita ada sedikit 'tergantung’ kerana Jack sebenarnya sudah merancang untuk meneruskan penceritaan menerusi Long Long Time Ago 2.