Bagi penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow, dia sentiasa bersedia berdepan dengan lontaran pandangan oleh penghuni media sosial mengenai apa sahaja yang dilakukannya.

Terkini, penyanyi yang kini muncul dengan lagu Drop itu sudah bersiap sedia menerima kecaman netizen terhadap klip video lagu tersebut yang menampilkan wanita berbikini.

Menurut Joe atau Johan Ishak, 38, sekiranya ada pihak mahu mengangkat perkara itu menjadi satu isu, dia sedia menerima kritikan memandangkan setiap orang mempunyai hak untuk memberikan pandangan mereka.

Meskipun kedengaran klise, namun Joe menegaskan bahawa dia sentiasa menghormati pendapat dan pandangan khalayak tidak kira sama ada baik ataupun buruk.

“Sekiranya yang terkandung di dalam klip video tersebut menjadi isu besar dan ada pihak yang tersinggung, saya ingin memohon maaf dari awal.

“Saya terima sekiranya ada kritikan negatif daripada netizen walaupun bagi saya masih ada banyak perkara lain yang lebih penting dan memerlukan perhatian,” ujarnya.

Drop merupakan buah tangan Joe untuk peminatnya selepas sembilan tahun tidak muncul dengan karya berbahasa Inggeris.

Lagu tersebut adalah ciptaan dan terbitan Alif SleeQ serta diadun oleh jurutera audio terkemuka dunia Chris Athens. Sementara klip videonya pula arahan Shimy Julaini dan telah menjalani penggambaran di Phuket, Thailand.

Bercerita mengenai lagu Drop, Joe berkongsi rahsia di sebalik penghasilannya yang dianggap terlalu istimewa dan dekat dengan dirinya.

Ulas pengasas label Kartel Records itu, disebabkan istimewanya lagu tersebut, Joe mengambil keputusan untuk menangguhkan pelancaran lagu berbahasa Melayu baharunya yang sepatutnya dikeluarkan sebelum Drop.

Joe sendiri tidak mempunyai alasan yang kukuh tatkala ditanya oleh penerbitnya kenapa perlu keluarkan lagu itu terlebih dahulu.

Namun yang dia tahu, lagu tersebut sangat peribadi buat dirinya dan yakin mampu menembusi pasaran antarabangsa seperti yang direncanakan.

“Saya hasilkan lirik lagu ini dalam masa satu hari sahaja dan salah satu lagu yang membuatkan saya sangat obses. Apabila Alif memberikan lagu ini, saya bekerja untuk menyiapkannya dari petang sehingga pagi tanpa henti.

“Dalam masa 24 jam, asas kepada lagu ini berjaya disiapkan. Namun agak memakan masa ketika proses adunan dan kejuruteraannya kerana kami tukar dan rakam kembali beberapa bahagian.

“Saya mempunyai perasaan yang sangat istimewa dengan lagu ini sehingga sekarang.

“Lagu ini juga sangat peribadi dari segi lirik dan auranya sehingga sewaktu saya membuat demo untuk korus, saya nekad untuk menyanyikan lagu ini walaupun saya tahu orang lain juga mampu menyanyikannya dengan lebih baik,” katanya.

Cemburu dengan kejayaan rakan artis

Melihat kejayaan beberapa rakan artis antarabangsa seperti Jay Park, Agnes Monica dan Yuna yang kini mencipta nama di pasaran muzik Amerika Syarikat (AS), Joe tidak menafikan tercetusnya rasa cemburu di dalam hatinya.

Ujar Joe, cemburu yang dimaksudkan bukan berunsur negatif sebaliknya lebih kepada rasa gembira dan bangga dengan pencapaian mereka seperti yang sering menjadi idamannya. Justeru, Joe menanam impian untuk turut sama merasai dan menjadi seperti mereka.

Meskipun telah memasuki pasaran antarabangsa menerusi lagu-lagu sebelum ini, namun kali ini Joe begitu berharap agar lagu Drop mampu mencipta pencapaian baharu dan melangkau dalam industri muzik di AS.

“Saya mahu mencuba nasib dengan Drop untuk memasuki pasaran antarabangsa. Bukan bermaksud lagu-lagu seperti Havoc dan Apa Khabar tidak membawa saya keluar tetapi saya rasa Drop membuka peluang untuk saya melangkah dengan lebih luas.

“Tambahan pula saya mempunyai hubungan baik dengan ramai pihak label dan penyampai radio (DJ) sama ada di Asia ataupun AS. Mereka merupakan orang penting yang sentiasa meminta lagu-lagu Inggeris daripada saya,” katanya.