Statusnya sebagai seorang selebriti popular tidak pernah mengubah siapa dirinya. Janna Nick, namanya semakin segar merimbuni kehijauan laman seni. Bukan paras rupa dijadikan sandaran, bakat dipersembah juga bukan bayangan semata-mata.

Bersua bicara dengan pelakon yang mula meningkat naik menerusi lakonan hebatnya dalam Syurga Nur, dia kekal sederhana. Pertemuan petang itu juga berlangsung dengan penuh kenangan yang indah-indah belaka.

Sukar sebenarnya untuk mencari tarikh bagi pertemuan ini. Kerancakan tugas sebagai anak seni membataskan waktu. Namun bagi kami, segala masa yang ada digunakan sebaik mungkin. Tidak sesaat dipersia.

Memulakan bicara, soalan ditanya satu-persatu. Seakan sudah dapat mengagak soalan yang panas bakal ditanya, Janna tetap senyum. Mungkin dalam hatinya, dia sudah bersedia sebaik mungkin untuk menjawab soalan.

Disogok soalan pengertian maaf bagi gadis berusia 21 tahun ini, dia pantas tunduk dan lirik matanya seakan menceritakan sesuatu. Baginya, maaf itu perlu datang dari hati, seikhlas dan setulus mungkin.

Namun, tidaklah bererti kemaafan itu hanya perlu diungkap ketika lebaran semata-mata. Maaf itu dizahirkan dengan kata-kata dan perbuatan, yang selebihnya, ditentukan oleh Yang Maha Esa.

“Setiap kali raya, pasti ungkapan maaf zahir batin akan berkumandang. Tetapi, tidakkah kita terfikir ungkapan itu hanyalah satu trend? Maaf itu perlu hadir dengan seikhlas hati dan tidak perlu tunggu raya pun.

“Tetapi, ketika lebaranlah semua kita memohon maaf daripada yang tersayang. Dekat dan jauh, daripada keluarga sehinggalah ke sahabat handai. Malah, pada hari raya kita berbaik-baik dan tinggalkan segala perselisihan,” katanya memulakan bicara.

Berhadapan dengan pelbagai kontroversi, usia dua tahun dalam industri benar-benar mencabarnya. Difitnah menabur pasir di dalam periuk nasi orang lain, Janna tetap membentengi dengan ketenangan. Biarpun pelbagai pihak meletakkan kesalahan di atas bahunya, kebenaran tetap dipegang utuh gadis ini. Tiada maksud untuk melontar kembali cerita busuk kepada orang lain, dia telan bulat-bulat setiap tohmahan.

Baginya, cukup sekadar keluarga dan peminat yang selama ini menyokong utuh kerjayanya tahu cerita sebenarnya. Pertelingkahan dengan pelakon lain juga sedikit sebanyak menconteng arang ke kanvas seninya yang baru sahaja bermula.

“Kisah antara saya dan Ruhainies biarlah berkubur sahaja. Lagipun, semua perselisihan faham antara kami sudah ditamatkan. Kisah lama tak perlu diungkit lagi. Bagi saya, banyak lagi yang perlu diberi perhatian.

“Orang boleh kata macam-macam. Ada yang menyokong, ada juga yang membangkang. Masing-masing ada cerita tersendiri. Bagi saya, apa pun yang berlaku, teruskan berjalan tanpa henti,” katanya.

Ditanya adakah anak kelahiran Kedah ini bersedia untuk meminta maaf, dia pantas angguk tanpa sesaat menunggu. Baginya, kemaafan itu tidak bererti kekalahan, cuma pertelingkahan tidak perlu dipanjangkan.

Apa pun persepsi, dia reda. Malah, Janna dengan setulus hati memaafkan semua pihak yang pernah memfitnah dirinya. Episod hitam yang pernah melintasi ruang lingkup hidupnya ditinggalkan begitu sahaja.

Tiada dendam mahupun rasa benci tersimpan pada hati, baginya sudah menjadi hukum alam, tiada manusia yang sempurna. Apatah lagi yang dapat memuaskan hati semua. Sebaik mana pun kita, pasti akan ada yang kurang suka.

“Saya tiada masalah untuk berbaik dengan sesiapa pun. Jika tidak suka, tidak mengapa. Cuma jangan aniaya orang lain dan buat jahat dekat orang. Buat macam mana pun, tetap akan ada orang tidak suka.

“Di kesempatan ini, saya memohon maaf kepada semua yang telah saya sakiti sama ada perasan atau tidak. Seikhlas dan setulus hati. Tidak guna kita menyimpan dendam, bukan beri keuntungan pun,” katanya.