Namun Nabil Ahmad, 34, sangat bertuah kerana dia mendapat kesedaran dalam waktu yang sangat pantas dan dia kembali bangkit dengan keazaman baharu untuk kembali memulihkan reputasinya.

Fasa leka dan ralit dengan populariti itu meninggalkan pengajaran yang terlalu besar dan berharga buat selebriti yang sangat terkenal sebagai pengacara program Gegar Vaganza itu.

“Saya akui pernah ketika saya diangkat sebagai Bintang Paling Popular saya ‘lupa diri’. Mungkin tidak berfikir panjang ternyata anugerah itu mengubah (kehidupan) saya untuk seketika.

“Bayaran ‘lupa diri’ sangat mahal apabila saya mengalami kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya berkongsi pengalaman selama sedekad bergelar anak seni dengan wartawan dalam sidang akhbar penerbitan jurnal Sedekad My Story Nabil Ahmad Dalam Industri.

Pengisian Sedekad My Story Nabil Ahmad Dalam Industri bagaimanapun belum dapat dikongsi oleh Nabil memandangkan dia akan membuat pengumuman secara rasmi pada 24 Mac ini.

Sepanjang 10 tahun bergelar artis, anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan itu berpendapat, tempoh berkenaan tidak cukup untuk dia merebut ilmu mengenai hidup.

Jika ada yang berpendapat, gelanggang seni saling tidak ubah sebagai platform hiburan semata-mata, lain pula perspektif Nabil.

Bidang hiburan yang sangat disenangi Nabil itu menawarkannya terlalu banyak peluang untuk berkongsi dengan golongan yang memerlukan.

Kerana itu, dia kini sentiasa mengingatkan dirinya agar menjadi manusia yang berjiwa besar, tidak jemu berusaha, terus belajar dan pada akhirnya berkongsi yang ada dengan mereka yang memerlukan.

Paling utama juga, bapa kepada dua cahaya mata itu mahu memastikan kerja kerasnya selama ini berbaloi bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi industri yang selama ini banyak menabur budi kepada dirinya.

“Dalam tempoh 10 tahun yang saya lalui sebagai anak seni, tidak boleh saya cakap ada kenangan pahit sebab semuanya manis untuk saya. Yang saya lalui walaupun buruk itu adalah proses pembelajaran untuk saya berada di sini.

“Saya juga tidak melihat bila saya akan berhenti daripada terus bergelar anak seni. Sebab saya mahu capai banyak lagi dalam industri ini,” kata Nabil menyambung perbualan.

Apabila populariti di puncak, pelbagai tawaran di depan mata, menjadi buruan media dan peminat, apakah itu dapat memberi bayangan bahawa Nabil hari ini memegang gelaran pengacara lelaki paling mahal di Malaysia?

Menjawab persoalan itu, Nabil menjelaskan, isu bayaran yang dikenakan oleh seseorang artis merupakan hal yang sangat subjektif untuk didebatkan di forum-forum terbuka.

Sebagai artis profesional, kelaziman yang dilakukannya dalam membincangkan soal habuan ialah persefahaman dan persetujuan yang dicapai antara dia dan pihak yang menawarkan pekerjaan kepadanya.

Ada ketikanya pula, Nabil melihat bayaran bukan soal pokok kerana yang paling utama buat dirinya ialah keselesaan dan keseronokan dalam bekerja.

“Saya rasa persetujuan antara dua pihak penting, bagaimanapun tidaklah saya mengenakan bayaran yang tinggi. Kadang-kadang saya masih menerima bayaran yang rendah. Bagi saya bukan selama-lamanya kita di atas, sebab itu saya menghargai setiap rezeki yang datang.

“Paling penting bagi saya adalah jalinan kerjasama antara saya dengan penganjur itu sendiri. Kadang-kadang niat kita untuk membantu, sebab saya tahu tidak selamanya-lamanya dia (penganjur) akan berada di satu kedudukan yang bawah. Kalau dia berjaya nanti, mana tahu dia akan ingat saya, sekali gus terus menggunakan khidmat saya,” ujar Nabil.

Seperkara yang ditanya pada Nabil, apakah gelaran popular boleh menjadi tiket untuk dia berlagak hebat dan perlu menerima layanan lima bintang?

Dalam hal ini, lelaki yang semakin serius dalam kerja-kerja penerbitan program televisyen menegaskan, dalam apa sahaja tindak-tanduk yang diambil, dia harus sentiasa fikirkan implikasi yang perlu dilaluinya.

Suami kepada Nazirah Ayub dan ayah kepada Naira Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 4, itu juga sentiasa mengingatkan dirinya agar menghormati nilai pandangan mereka yang lebih berpengalaman.

“Perlu bertempat dalam apa juga perbuatan kita. Kenapa saya perlu berlagak diva dalam bidang yang saya masih baharu? Bagi saya setiap pandangan mereka yang berpengalaman akan membuka peluang untuk saya belajar,” kata Nabil merendah diri.