Siapa sangka anak didik pengarah berprofil tinggi Allahyarham Yasmin Ahmad ini mampu meletakkan kelasnya biarpun masih di usia kanak-kanak lagi dan pelbagai anugerah utama pernah diraih.

Namun, Syafie Naswip yang kini sudah menginjak usia 23 tahun, bagaimanapun timbul spekulasi kononnya dia sudah bosan berlakon watak klise seperti watak anak malang, watak yang memerlukan dia mengeluarkan air mata hingga memerlukan dia untuk bersikap selektif dalam setiap naskhah yang ditawarkan kepadanya.

Bagi mendapatkan kepastian dari empunya badan sendiri, Hits sempat menghubungi dirinya. Ikuti temu bual bersama Hits di bawah.

HITS: Hai, apa khabar Syafie? Boleh jelaskan tak mengenai desas-desus yang mengaitkan konon anda sudah bosan dengan watak klise yang sering diberikan kepada anda?

SYAFIE: Khabar baik. Sebenarnya tidaklah sampai ke tahap bosan untuk berlakon watak yang sama sahaja. Saya pun tidak boleh terlalu memilih dalam setiap naskhah yang ditawarkan, saya anggap itu sebagai rezeki.

Bagaimana pula mengenai anda kini lebih bersikap selektif dan peka dalam pemilihan watak?

Sebagai seorang pelakon, sudah tentu saya mahukan watak yang berbeza-beza untuk mencabar diri sekali gus bergelar pelakon berkaliber. Saya tak mahu orang hanya kenal saya dengan watak yang statik sahaja. Namun, seperti saya katakan, mungkin di sini kurang atau susah nak dapat naskhah yang lain, jadi saya terima sahaja tawaran berlakon dan cuba buat yang terbaik.

Anda seakan tidak dapat lari daripada melakonkan watak seperti anak malang yang sering ditindas, watak didera dan watak sedih. Mengapa?

Watak berat seperti itu sebenarnya sangat berat dan bukan mudah untuk dibawa, tapi pengarah yang pilih saya mungkin ada sebab memberikan watak berkenaan kepada saya. Sebenarnya, kalau hendak diikutkan, saya pernah juga berlakon watak komedi tapi banyak di saluran RTM sahaja.

Mengulas mengenai perjalanan karier seni, apakah projek terbaharu anda sekarang ini?

Drama telemovie lakonan saya berjudul Melur vs Rajawali akan ditayangkan pada Sabtu ini (28 Mac) pukul 12 tengah hari menerusi TVi (saluran 180). Saya bergandingan dengan Sharifah Amani sebagai pasangan kekasih. Selain itu saya baharu sahaja habis penggambaran drama bersiri Wadi untuk slot Zehra yang akan menemui penonton mulai Jun depan. Selepas itu juga, saya keluar menerusi telemovie Lelaki-Lelaki Dalam Hidup untuk RTM yang akan ditayangkan tak lama lagi. Malah tidak lama lagi saya bakal menyertai sebuah teater yang masih lagi dalam perbincangan.

Bercakap mengenai lakonan cinta anda bersama pelakon yang lebih senior seperti Sharifah Amani, adakah timbul perasaan kekok untuk menghayati watak sebagai pasangan kekasih?

Ya, saya akui pada awalnya agak sukar juga untuk jadi pasangan kekasih dalam cerita Melur vs Rajawali sebab saya sudah anggap Sharifah Amani macam kakak sendiri. Mula-mula rasa kelakar pun ada juga, tapi lama-lama jadi selesa, dia juga banyak membantu saya untuk cari keserasian. Karakter dalam cerita ini sangat menarik dan sesuai untuk ditonton oleh semua orang.

Menyentuh soal peribadi, adakah anda kini sudah berpunya?

Saya masih lagi muda dan tidak terfikir ke arah itu. Saya selesa berkawan dengan semua orang dan buat masa ini saya suka untuk sibukkan diri dengan berlakon. Kalau betul saya bercinta, saya akan beritahu pada semua.