“Kita berbicara soal mahalnya sebuah pengalaman yang membuatkan saya rasa bersyukur walaupun saya terlambat untuk dikenali. Bagi saya tak salah kalau terlambat asalkan saya tak terus menoleh ke belakang.

“Sekali sudah memulakan, jalan saja dan saya akan terus mengutip ilmu dan pengalaman sepanjang perjalanan itu,” katanya.

Kini tidak cuma bertumpu kepada dunia lakonan, Amar turut melebarkan horizon seninya kepada bidang muzik, sesuatu yang tidak diketahui ramai bahawa dia juga berbakat dalam bidang tersebut.

Dan sesuatu yang di luar jangkaan, Amar yang berkebolehan bermain gitar dan drum itu kini mampu berbangga apabila bergelar pemilik syarikat label rakaman Jack Jupiter Records yang diusahakan dengan seorang rakan kongsi sejak sebulan lalu.

Menyatakan hasrat hatinya yang mahu serius dalam bidang muzik, kata Amar, itu adalah pengenalan kepada umum dalam usahanya untuk meneroka dan meraih pengalaman baharu sebagai seorang penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit.

“Saya rasa klise kalau seseorang pelakon itu membuka produksi, hasilkan telemovie dan andai tidak bersungguh-sungguh, produksi pun ‘bungkus’. Saya tak mahu jadi begitu dan kerana itu saya terokai peluang lain yang saya rasa yakin boleh lakukan.

“Saya fikir daripada saya sekadar suka-suka gubah lagu, mengapa tidak saya serius dalam bidang ini. Jadi tahun ini saya mulakan langkah pertama, menyanyi, menghasilkan lagu dan juga menerbitkannya di bawah syarikat sendiri,” katanya.

Penubuhan Jack Jupiter Records juga, kata Amar, adalah sebagai bukti dia mahu memberi komitmen jitu dalam bidang muzik berbanding berada di bawah label syarikat lain.

Mengaku melihat peluang yang cerah dalam bidang muzik, kata Amar, dia juga akan membuka peluang kepada komposer lain yang berminat untuk menjalin kerjasama dengan Jack Jupiter Records.

Bukan tamak

Melihat kepada besarnya harapan dan kemahuan Amar yang mengendalikan banyak haluan pada satu-satu masa termasuk menjalankan bisnes pakaian di bawah jenama Amjifa Exclusive, timbul pula tanda tanya sama ada dia mampu mengendalikan kesemuanya dengan baik.

Sedar diri dan ruang bahawa dia perlu bijak membahagikan masa, kata pelakon utama drama Akadku Yang Terakhir siaran Astro Prima ini, pembabitannya dalam bidang muzik kini dirasakan berlangsung pada waktu yang paling sesuai di kala karier lakonannya dianggap sudah stabil.

Bukan tamak, namun kata Amar, dia tidak mahu terlalu selesa berada pada satu kedudukan dan kerana itu dia memilih untuk mencabar diri sendiri dan melakukan perkara berbeza berbanding lazimnya.

“Bagi saya, kalau saya tak buat sekarang, bila lagi? Kalau nak ikut kata orang yang suka lempar kata-kata yang menjatuhkan kita, sampai bila-bila pun kita tak akan ke mana-mana. Orang mahu berkata baik atau buruk itu adalah sesuatu yang normal dalam dunia hiburan ini.

“Mereka cuma akan berhenti bercakap apabila melihat sendiri kejayaan kita,” katanya.

Telah menghasilkan single pertama berjudul Kita, kata Amar, dia juga sedar selain peminat dan masyarakat, dia perlu bersedia untuk menerima kritikan daripada orang seni itu sendiri.

Menganggap dalam seni tiada betul atau salah, Amar positif bahawa setiap orang mempunyai pandangan masing-masing dalam menilai sesebuah karya.

“Kalau orang terima, Alhamdulillah. Kalau tak terima, itu bukan penghalang untuk saya terus hasilkan single lain dan bereksperimen dengan genre lagu dan mengikut kepuasan pendengar.

“Lagipun saya bukannya terus nak masuk dalam pertandingan (Anugerah) Juara Lagu. Saya cuma buat yang termampu untuk menghiburkan peminat selain menganggap cabang seni ini sebagai satu lagi mata pencarian saya selain berlakon dan bisnes baju,” katanya.

Dalam pada itu, kongsi Amar, dia juga sudah merancang untuk menghasilkan sebuah lagu raya dengan kekasihnya, Amyra Rosly sempena Aidilfitri ini.

Bagi saya, kalau saya tak buat sekarang, bila lagi? Kalau nak ikut kata orang yang suka lempar kata-kata yang menjatuhkan kita, sampai bila-bila pun kita tak akan ke mana-mana.