Saya serah kepada Tuhan

Datuk Siti Nurhaliza 2

DATUK Siti Nurhaliza Tarudin sebelum ini pernah beberapa kali hadir dengan kenyataan bahawa dia kini bersedia untuk berehat seketika daripada dunia seni.

Bagaimanapun hasrat itu nampaknya terpaksa ditunda buat sementara waktu lantaran melihat kepada peluang dan rezeki yang datang bergolek menerusi penganjuran Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends yang akan diadakan pada 2 April ini di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Ura-ura mula timbul apabila ada yang menghebahkan bahawa penganjuran konsert itu akan menjadi konsertnya yang terakhir sebelum nekad untuk berhenti menjkadi anak seni.

Hal itu dinafikan oleh Siti Nurhaliza yang mengesahkan bahawa keadaan itu tidak akan berlaku sekurang-kurangnya buat masa ini bahkan dia tidak pernah merancang untuk berhenti atau mengehadkan karier seni yang sudah sebati dalam jiwanya.

“Berhenti? Saya tak boleh buat begitu kerana bagi saya, Allah SWT sudah mengurniakan bakat, pinjaman suara dan keupayaan yang ada dalam diri untuk saya terus menghiburkan peminat.

“Menerusi bakat yang diberikan inilah maka saya berasa adalah satu tanggungjawab untuk saya terus menggembirakan dan menghiburkan semua yang sentiasa menyokong saya dari dulu sampai sekarang.

“Seandainya saya berhenti atau terniat begitu, saya serahkan kepada Allah SWT untuk menentukan jalan hidup saya. Sama seperti keadaan apabila saya kata mahu berehat, saya serah kepada Dia tetapi tiba-tiba rezeki dan peluang yang baik seperti ini datang.

“Siapalah saya untuk menolaknya,” kata Siti Nurhaliza.

Enggan menghampakan peminat, katanya, dia tidak bercadang untuk terus meninggalkan dunia seni lantaran menanam azam untuk menjadi seorang individu yang mahu sentiasa menyalurkan sokongan padu buat perkembangan industri muzik tempatan.

“Kalau sekiranya saya tak boleh menyanyi sekali pun, saya tak akan sampai mahu berhenti. Mungkin saya akan jadi orang kuat belakang tabir misalnya menjadi penerbit dan sebagainya,” ujarnya.

Mengaku bahawa selepas penganjuran ini dia akan meneruskan hajatnya untuk berehat selama enam bulan, Siti membuat keputusan itu bagi memperlahankan aktiviti seni dalam skala besar dan beranggapan konsert pada 2 April ini akan menjadi satu tugasan terakhir sebelum dia bercuti.

Bagaimanapun enggan peminat salah faham, kata Siti, itu tidak bermaksud dia tidak akan lagi mengadakan konsert selepas tempoh tersebut kerana fokusnya untuk konsert besar pada ketika ini adalah pada konsert tajaan Yonder Music dan Celcom Xpax ini.

Suka duka 2 dekad

Dalam pada itu, mengaitkan penganjuran konsert yang diadakan sempena ulang tahun ke-20 penggembaraan seninya, Siti Nurhaliza turut berkongsi rasa syukur dan segala suka duka yang dikutip sepanjang menjadi anak seni sejak mula muncul dengan album pertamanya, Siti Nurhaliza pada 1996.

Menganggap begitu banyak kenangan manis yang bergulir di samping perjalanan itu, Siti Nurhaliza tahu, meski kedengaran klise, dia menegaskan bahawa kewujudannya sehingga ke hari ini dalam bidang seni tidak akan terjadi seandainya tanpa sokongan peminat.

Menyifatkan peminatnya cukup kaya dengan sifat kasih sayang dan kesetiaan yang besar terhadap dirinya, Siti Nurhaliza sedar sebagai seorang artis, mereka adalah sesuatu yang amat berharga dan harta yang tak ternilai.

“Peminat adalah harta saya. Ada segelintir daripada mereka yang sudah dengar lagu saya sejak daripada bayi sehinggalah mereka dewasa. Rata-ratanya mereka menyokong saya sehingga ke hari ini. Kita bukan bercakap kerana mahu menjaga hati mereka tetapi ini adalah yang saya rasa,” katanya.

Menurut Siti Nurhaliza, dia tidak pernah memaksa peminat untuk terus berada di belakang memberi sokongan kerana sedar akan ada artis baharu yang lebih bagus dan berbakat yang hadir silih berganti.

“Tetapi yang membuatkan saya rasa terharu, bila saya adakan konsert dan sebagainya, mereka tetap akan ada untuk menyokong.

“Saya kira, kehadiran peminat juga adalah antara satu daripada kejayaan-kejayaan yang pernah saya cipta selama 20 tahun perjalanan seni saya,” katanya.

Selain itu Siti Nurhaliza berkata, antara resepi kejayaan yang dirasakan banyak menyumbang pada kedudukannya sekarang ialah sering mengingatkan diri agar tidak lupa asal usulnya.

Sentiasa mengingati pesanan ibunya, Salmah Bachik, 64, agar sentiasa meminta restu orang tua dalam semua perkara dalam hidup, dia juga tidak gemar membalut hati dengan perasaan bangga dengan kejayaan yang diraih.

“Kami adik-beradik dididik oleh ibu untuk sentiasa menghormati dan mengingati orang yang banyak memberi pertolongan kepada kita. Saya juga percaya saya tak akan berjaya dengan sendiri melainkan dengan bantuan orang sekeliling. Jadi untuk apa kita nak berbangga diri?

“Sifat bangga diri tidak akan membawa makna kebahagiaan untuk kita dan jangan lupa, restu ibu bapa adalah yang paling penting,” tambahnya.

Mengenai konsertnya pula, kata Siti dia telah menjemput beberapa artis tempatan dan Indonesia untuk menjayakan konsert tersebut antaranya Faizal Tahir, Hafiz Suip, Afgan, Anggun dan Cakra Khan.

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati