Pelakon Eyka Farhana

Keadaan tersebut sudah menjadi kebiasaan buat pemilik nama Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, Eyka Farhana dan sedikit pun tidak meruntuhkan tembok kesabarannya selama menjadi anak seni.

Tidak menyalahkan sesiapa, Eyka mengakui, kadangkala kekeliruan sebegitu bertitik punca daripada dirinya yang tidak pernah mengambil peduli tentang kepentingan untuk menjenamakan diri.

Tidak seperti artis remaja lain yang bijak mengambil peluang untuk meraih ruang dan peluang mencipta populariti, Eyka pula sebaliknya apabila lebih senang mengikut kehendak sendiri dan menganggap tiada untungnya jika kerap kali wajahnya terpampang di akhbar mahupun majalah.

Nah... Inilah harga yang harus dibayar akibat berpaksikan kepada prinsip yang salah apabila Eyka akhirnya terpaksa berdepan dengan kekeliruan masyarakat yang kabur dengan dirinya sebagai seorang pelakon tempatan.

Malah dia mengakui bahawa sikap endah tak endahnya sebelum ini sedikit sebanyak meninggalkan cela pada perjalanan kerjaya seninya yang kini telah memasuki tahun kelima.

“Dulu saya fikir tiada kepentingan kalau selalu terima tawaran sesi fotografi. Saya juga beranggapan kalau selalu ‘menyibuk’ di majlis keramaian atau majlis hiburan juga bukan sesuatu yang penting.

“Sekarang baru saya sedar bahawa sebagai seorang pelakon dan selebriti, perkara begini sebenarnya memberi impak yang besar kepada kerjaya seni seseorang.

“Saya tak pernah sedar mengenai hal ini malah tidak pernah diberitahu oleh sesiapa pun kerana saya bergerak sendiri,” katanya.

Masih dalam emosi mengakui khilaf pendiriannya sebelum ini, anak kedua daripada empat beradik ini juga melihat sikapnya itu menyebabkan dia sukar membuatkan penonton dan peminat mengingati namanya sebagai pelakon.

“Kebanyakan orang hanya kenal wajah saya tetapi tidak ingat nama saya. Sukar sekali mereka nak ingat siapa Eyka Farhana walaupun mereka tengok wajah saya tahu saya selalu saja muncul di kaca televisyen.

“Ini masalah yang saya hadapi (sekarang). Ya, saya akui, gagal meraih perhatian orang untuk mengingati saya.

“Saya harap walaupun bukan untuk tujuan mencari populariti tetapi biarlah sekurang-kurangnya selepas ini orang tidak lagi salah memanggil nama saya,” katanya yang mula dikenali menerusi drama Juvana.

Bukan mahu memberi alasan tetapi kata Eyka, ada kemungkinan keadaan seperti itu berlaku kerana sebelum ini dia perlu meletakkan pelajaran di tangga teratas kerana ketika itu dia masih memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar sekolah.

Pernah beberapa kali terpaksa menolak tawaran lakonan dan sesi fotografi, kata Eyka, kadangkala dia tersepit antara fokus kepada pelajaran dengan kerjaya lakonannya yang masing-masing penting pada waktu itu.

“Saya selalu berlakon semasa di sekolah tetapi pada masa yang sama, tidak semua tawaran saya ambil memandangkan mama meminta saya untuk lebih fokus kepada pelajaran.

“Oleh sebab malas nak fikir hal-hal lain termasuk hal berkaitan mencipta populariti, saya buat tak tahu saja apabila orang mahu mempromosikan diri saya dan sebagainya.

“Ini adalah salah satu perkara yang membuatkan saya menyesal sekarang. Cuma saya lekas-lekas pasang keyakinan bahawa masih ada ruang dan peluang untuk saya kembali meraih perhatian masyarakat sebab sekarang sudah tiba masanya untuk saya betul-betul fokus kepada bidang lakonan selepas menamatkan zaman persekolahan sejak dua tahun lalu,” katanya.

Mohon diberi peluang

Mempunyai pakej untuk bergerak sebagai seorang pelakon yang mampu pergi jauh, Eyka bagaimanapun sedar bahawa sejauh mana pun dia berangan-angan mahu mengembangkan sayapnya dalam bidang lakonan, akhirnya terpulang kepada penerbit dan pengarah untuk memberinya tawaran.

Sering sahaja diberikan watak sebagai budak sekolah, kata Eyka, meski menerimanya sebagai peluang dan rezeki namun di sudut hati kecil sering tertanya-tanya sampai bila tawaran sebegitu harus diterimanya?

“Bukan mahu merungut tetapi saya rasa sudah tiba masanya saya diberi peluang untuk meneroka watak yang lebih mencabar. Kalau tidak, asyik-asyik watak budak sekolah sahaja.

“Saya faham dulu saya bersekolah, jadi sesuailah saya diberi watak budak-budak dan saya fikir, mungkin selepas habis belajar, saya akan diberi kepercayaan untuk bawa watak remaja dan sebagainya.

“Tetapi ternyata tanggapan saya itu salah. Saya masih gagal meraih kepercayaan mereka,” katanya.

Melihat diri punya potensi untuk membawa watak lebih mencabar termasuk menjadi pelakon lasak, Eyka percaya, barangkali kerana memiliki figura dan bentuk tubuh genit dan kecil seperti budak sekolah maka dia sering diberi peranan sebegitu.

“Usia saya sekarang sudah 20 tahun. Apabila saya selalu diberi watak budak sekolah sebab itulah orang akan ingat saya ini masih bersekolah lagi.

“Tak cuma itu, watak yang saya selalu bawa pula kebetulan mesti budak baik dan naif. Kalau boleh berilah saya peluang untuk meneroka lebih jauh. Saya mahu berkembang,” katanya.

Pun begitu, pada satu sisi lain dia tentunya berasa bangga dan bertuah kerana memiliki wajah yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenar dan ini dilihat sebagai satu bonus untuk dirinya.

Cuma untuk jangka masa panjang dan dalam keadaan bak kata orang ‘darah masih muda’, Eyka benar-benar teringin untuk membawakan watak lain yang lebih sesuai dengannya seperti kebanyakan pelakon remaja lain yang seusia dengannya.

Melobi? Bukan satu cara yang tergamak untuk difikirkan oleh Eyka kerana baginya, cukuplah pengarah dan penerbit sedar dengan bakatnya tanpa perlu melobi diri.

“Saya tak pandai bab-bab itu. Terus terang saya katakan, itu bukan cara saya dan tidak akan saya lakukan,” tegasnya.

Pengacaraan

Menurut pelakon yang turut dikatakan memiliki wajah persis Fazura ini, dia bersyukur kerana perjalanan kariernya mula bercambah sejak awal tahun lalu apabila kini sudah mula beralih kepada bidang pengacaraan selepas diberi kepercayaan untuk menjadi hos program televisyen 13 episod berjudul Pada Satu Ketika untuk  RTM.

Bercerita tentang tugas baharunya, kata Eyka, pertama kali mengacarakan program bercorak kembara itu, dia tidak menafikan ada sedikit kebimbangan di hatinya lantaran sebelum ini tidak pernah mempunyai pengalaman mengacara.

“Saya pernah memasang angan-angan untuk menjadi seorang pengacara. Apabila diberi peluang, saya memang tak lepaskan. Cuma saya rasa ini bukan satu tanggungjawab yang mudah.

“Kita sendiri sebagai hos kena buat kajian sendiri dan punya pengetahuan untuk sesuatu topik yang diketengahkan.

“Nampak macam senang tapi kalau hos tak ada pengetahuan, silap hari bulan kita memang akan dikritik,” katanya.

Bagaimanapun Eyka memberitahu, biarpun seronok bergelumang dengan dunia baharu itu, lakonan tetap menjadi keutamaan dan dia tidak akan pernah berputus asa mengharapkan yang terbaik untuk kariernya.

“Sebenarnya saya tidak memilih. Setiap peluang yang datang, saya anggap rezeki dan saya terima serta cuba untuk tidak bersikap ego atau cerewet.

“Lagipun sebarang rezeki yang ada di depan mata, saya anggap itu rezeki untuk keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, Eyka yang bakal muncul dengan filem Juvana 2 dan Polis Evo juga nekad untuk mengubah penampilannya agar tidak kelihatan terlalu kebudak-budakan demi meraih kepercayaan pengarah dan penerbit untuk menawarkannya watak yang lebih mencabar.

Mahu memberi gambaran sebagai seorang Eyka Farhana yang baharu dan lebih dewasa, katanya, dia tidak lagi mahu terus berada di zon selesa seperti dahulu sehingga banyak perkara yang berlaku kemudiannya hanya mengundang kerugian buat dirinya sebagai seorang artis,

“Sekarang adalah masa untuk saya. Doakan yang terbaik!” katanya lagi.