Saya perlu kuat

Azeana penyambung semangat Ezad untuk meneruskan kehidupan

SEKARANG Ezad banyak berubah dan bersyukur kerana diberi peluang
SEKARANG Ezad banyak berubah dan bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk membina keluarga bahagia.

TIADA siapa yang dapat menafikan kehebatan wanita ini. Cekal berada di samping suami tercinta, ternyata Nor Azeana Ramli sendiri pada awalnya tidak tahu sejauh mana kekuatannya. Melihat suami yang dikasihi digari ketika dia sedang bertarung nyawa akibat keguguran, balas wanita ini, mungkin itu bahagian yang sudah ditetapkan Allah untuk dirinya. Tidak malu mahupun kesal, Nor Azeana percaya ada hikmah kepada kejadian yang menimpa mereka sekeluarga.

“Saya tidak suka ingat apa yang sudah berlaku, itu antara rawatan buat saya untuk mengelakkan daripada berasa sedih atau apa sahaja.

“Saya percaya dalam hal ini saya perlu lebih kuat daripada suami memandangkan dia memerlukan seorang isteri yang mampu diharap,” katanya.

Sebagai wanita ada sisi lembut yang kekal dibawa, bagaimanapun menurut Azeana melalui dugaan itu sebagai seorang ibu dan isteri ternyata bukan mudah.

Pernah dia berasa terlalu lemah untuk meneruskan langkah, tetapi ternyata doa keluarga menjadi penguat diri.

“Bila dia ditahan pihak berkuasa, pada mulanya memang saya tidak percaya, sehinggalah mengetahui sendiri daripada rakan. Kalau mahu cakap keadaan diri ketika itu, memang susah saya mahu terangkan.

“Mujur keluarga saya dan dia banyak membantu. Selepas penahanannya saya minta dia pulang mengikut keluarganya ke Kedah. Tenangkan diri, antara pesanan saya kepada dia ketika itu, jika benar dia masih mahukan saya dan anak berada di sampingnya, dia perlu berubah,” katanya.

Jujur memberitahu, dia tidak pernah sangka bahawa suaminya mengambil bahan terlarang. Sebagai isteri perbezaan sikap suaminya pada suatu-suatu ketika itu dianggap normal, walaupun pada dasarnya agak menggugat kesabaran.

“Antara perubahan yang saya dapat lihat ketika dia menggunakan bahan terlarang itu adalah cara percakapannya yang agak pelik dan kurang jelas. Malah agak sukar menguruskan jadualnya memandangkan waktu tidurnya juga tidak teratur. Tetapi saya memang tidak sangka perubahan yang berlaku ini akibat daripada kesan dadah. Memang ketika itu hubungan kami juga tidak mesra kerana saya sukar berkomunikasi dengan dia.

“Tetapi sekarang semuanya sudah berubah. Selepas berhenti mengambil dadah, saya boleh lihat perubahan. Dia kini lebih fokus dengan semua benda yang dilakukan termasuk tanggungjawab sebagai seorang ayah dan suami,” katanya.

Bekerja dalam bidang perhotelan jelas Nor Azeana pekerjaannya menuntut dia bertemu dengan ramai orang. Adakalanya memang dia perlu berhadapan dengan persoalan orang mengenai suaminya, bagaimanapun ada cara buat wanita ini bagi menolak rasa negatif yang mahu dibina orang sekelilingnya.

“Senang sahaja, kita perlu positif dalam hal ini. Apa yang saya ambil sebagai penguat diri adalah kita manusia diberi dugaan yang berbeza dan saya akan sedia menghadapinya.

“Apa juga orang luar cakap tentang suami saya, itu bukan sesuatu yang memalukan. Saya lebih kenal dia daripada mereka di luar sana. Sebagai seorang isteri saya tahu suami saya tidak akan mensia-siakan peluang kali keduanya ini,” katanya.

Selain bertindak sebagai pengurus, Azeana juga merupakan insan yang bertanggungjawab mengatur kembali karier nyanyian Ezad. Di kala ini wanita ini sanggup membahagikan masanya untuk karier suami dan dirinya sendiri demi masa depan keluarga mereka.

“Saya tahu suami saya tidak mampu menguruskan jadualnya sendiri, jadi saya ambil tugas tersebut demi kariernya. Walaupun kelam-kabut tetapi saya puas bila kesusahan ini kami lalui bersama dan saya percaya Ezad juga lebih menghargai kepayahan saya,” katanya.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati