KUALA LUMPUR, 05 Januari 2017 - Sabhi Saddi ketika ditembual Mingguan
Sabhi Saddi

Bagi lelaki ini, tentu sahaja berita yang bertebaran mengatakan dia berpatah arang tidak benar sama sekali dan hanya mengeruhkan lagi keadaan antara dia dan pihak tersebut.

“Saya mengundurkan diri secara baik. Tiada pergaduhan mahupun perselisihan faham antara kami memandangkan semuanya berjalan secara baik. Tak semestinya melibatkan pergaduhan ketika mengucapkan salam perpisahan.

“Antara saya dan pihak mereka masih menjalinkan hubungan baik. Tiada permusuhan dan masing-masing profesional sahaja menangani ‘perpisahan’ ini,” kata Sabhi.

Mengakui selesa berada bersama pihak pengurusan tersebut yang turut menaungi Dafi, Rozita Che Wan, Zain Saidin dan beberapa nama lain sebelum ini, dia bagaimanapun mahu menguruskan sendiri kerjayanya sendirian selepas ini.

Bersama pihak pengurusan, sudah tentu mempunyai imbangan baik dan buruk. Memikirkan semasak-masaknya perkara berkenaan membuatkan dia memberanikan diri memulakan segala-galanya sendiri.

“Pihak pengurusan menjaga kami dengan baik, cuma saya juga mahukan keselesaan dalam membuat keputusan. Setidaknya saya boleh mengatur sendiri jadual dan mencari pengalaman baharu menguruskan kerjaya.

“Bersama pengurusan ada juga kelebihan cuma sampai bila nak selesa diuruskan orang lain. Tak mengapalah, saya ambil risiko ini,” katanya.

Mengakui isterinya, Rosi Aswani Abdul Razak, banyak membatu dia menguruskan jadual ketika ini, tentunya wanita berkenaan banyak menyusun jadual dan memberikan ingatan kepadanya saban hari.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Sesungguhnya ini, ada kala dia terlupa beberapa perkara namun isterinya banyak memberikan ingatan terutama melibatkan jadual penggambaran.

“Ada beberapa kali juga saya ‘terbabas’ dengan jadual bila tiada pengurusan, tapi mujur isteri memberikan ingatan. Dahulu ada orang menguruskan jadual, tak payah nak fikir banyak.

“Sekarang, isteri akan membantu membuat jadual saya. Setiap hari dia akan memberikan ingatan apa yang perlu dilakukan,” tambahnya lagi.

SEMAKIN selesa menguruskan jadual sendirian, anak kelahiran Sabah ini bercita-cita untuk membentuk syarikat pengurusan sendiri sedikit masa lagi.

Tambahnya, dia sudah memikirkan perkara tersebut masak-masak dan sedang merangka untuk melakukan perkara berkenaan bagi merancakkan lagi dunia seni tanah air.

“Saya sudah fikirkan perkara ini sejak sekian lama. Bila berada di bawah pengurusan orang, saya belajar sedikit demi sedikit selok belok untuk menguruskan jadual artis.

“Rasanya saya sudah bersedia ke arah itu. Tentu sekali saya akan gunakan pengalaman yang ada untuk memastikan syarikat pengurusan tersebut mampu bertahan lama,” katanya.

Menyasarkan untuk menjaga artis baharu yang menumpukan bidang lakonan, tentu sahaja perkara berkenaan sudah diperhalusi sejak beberapa tahun yang lalu.

Tegasnya, dia lebih berkeyakinan untuk menguruskan pelakon berbanding penyanyi memandangkan kepakarannya terbatas bila melibatkan bidang seni suara tersebut.

“Isteri memberikan sokongan penuh sekiranya saya memulakan bisnes ini sedikit masa lagi. Kalau dahulu orang mungkin kurang kenal dengan nama Sabhi Saddi tetapi kini saya yakin ramai yang mengetahui siapa saya.

“Dengan pengalaman dan keyakinan itu membuatkan saya bersemangat. Cuma buat masa ini saya tak mahu terburu-buru mencari artis naungan. Bila dah bersedia nanti saya akan umumkan kepada semua,” ungkap lelaki yang berusia 33 tahun ini lagi.

Mengulas mengenai perjalanan seni pula, bapa kepada dua cahaya mata ini baru sahaja merakamkan lagu baharu yang berjudul Setia Menunggumu.

Lagu yang merupakan hasil tulisan Datuk A. Aida serta menggunakan khidmat Sharon Paul sebagai penggubah tentu sahaja akan menjadi buah tangan terbaharu lelaki ini tidak lama lagi.

Walaupun belum lagi diedarkan di kebanyakan stesen radio, Setia Menunggumu akan menjadi runut bunyi untuk beberapa produksi drama bersiri di tiga saluran stesen yang berbeza.