KUALA LUMPUR 16 Jun 2017 FOTOGRAFI bersama Aiman Tino serta keluarganya
 Aiman Tino 

Bila cakap pasal popular, dah tentulah ramai yang cuba berdampingan dan ‘menempel’ dengannya. Mana tidaknya, orang tampan dan manis macam dia, siapa yang tak mudah cair bukan? Dia lalu depan mata saja, pasti ramai yang menjerit-jerit bagai histeria.

Sekitar minggu lalu, timbul isu kononnya Aiman sedang bercinta dengan pelakon Sweet Qismina dan hal itu telah dijawab oleh empunya diri yang mengaku tidak pernah memiliki nombor telefon Aiman dalam simpanan peribadinya.

Bagaimanapun, peminat tetap tidak berpuas hati. Malah ada yang beranggapan kedua-duanya cuba menyembunyikan kisah cinta mereka atas alasan bimbang hilang peminat.

Tambahan pula peminat Aiman sangat ramai dalam kalangan wanita dan masing-masing tidak mahu kalah berdebat mengenai isu ini.

Tak kurang juga ada yang mendoakan kedua-duanya benar-benar bercinta sambil menyifatkan masing-masing kelihatan sangat manis andai bersama.

Pancaindera mendapatkan pemyanyi lagu berhantu Ku Rela Dibenci dan Ku Hanya Sayang Padamu ini untuk menjawab spekulasi yang timbul.

 

Aiman tahu atau tidak mengenai gosip awak dikaitkan dengan pelakon Sweet Qismina baru-baru ini? Boleh cerita bagaimana Aiman mengenali Sweet?

Ya memang saya tahu mengenai gosip yang keluar baru-baru ini. Kononnya saya dengan Sweet sedang bercinta. Apa yang saya boleh beritahu, ya saya memang mengenali dia. Dah lama. Itu pun sebab dia ialah seorang pelakon. Kali pertama berjumpa dengan dia adalah ketika kami terbabit dalam sebuah program Astro di Johor Bharu sebelum ini dan saya akui, ada bergambar dengan dia. Keesokkan harinya, saya bertindak memuat naik gambar tersebut di media sosial, Instagram. Jujurnya saya tak sangka pula ramai pula yang katakan kami ni ada hubungan hanya kerana gambar tersebut saya muat naik. Bagi saya, ia cuma sekeping gambar biasa dan normal lah kalau bergambar dengan artis.

Biasa? Tapi ramai yang menuduh awak memang bercinta dengan Sweet. Apa komen Aiman? Kalau betul, tak salah mengaku bukan?
Aiman dengan Sweet memang tiada apa-apa. Tiada sebarang hubungan istimewa pun. Tetapi saya akui, memang meminati dia. Saya minat dengan cara dia berlakon sejak dari kecil. Tetapi cuma itu sahaja. dan tak lebih pun dari tu.

Okay, Sweet dah bagi komen yang dia tak bercinta dengan awak tapi peminat konon lebih tahu sampai ada yang mengiyakan bahawa awak bercinta dengan dia. Apa kata Aiman?

Bagi saya, mungkin peminat saja nak bergurau di ruangan komen di media sosial. Saya tahu, peminat meletakkan kepercayaan pada saya. Buat masa sekarang cukup lah saya ada keluarga, kawan-kawan dan peminat yang saya tahu, sentiasa memberikan sokongan.

Adakah Aiman mengiakan bahawa ramai yang cuba nak menghimpit dan menempel kerana awak artis popular. Adakah Aiman selektif untuk berkawan apatah lagi memilih teman istimewa?

Saya tak pernah menolak untuk berkawan dengan sesiapa termasuklah siapa yang nak berkawan dengan saya. Tak pernah terlintas di fikiran yang orang nak mendekati saya hanya kerana populariti yang saya raih sekarang. Entahlah, lebih baik sentiasa berfikiran positif. Cuma, sebagai seorang individu, saya akui setiap langkah dan setiap apa yang saya nak buat kena fikir dulu. Itu sahaja.

Sweet mungkin dikecam ramai peminat wanita awak, barangkali Aiman boleh berikan nasihat pada mereka agar jangan terlalu obses percaya mengenai isu itu?

Tak perlulah kecam dia, Lagipun cerita yang jadi tular tu pun bukan cerita yang betul. Lebih baik siasat dulu.

Kalau ditanya mengenai ciri teman istimewa, wanita macam mana agaknya Aiman suka?

Saya seorang yang sederhana sahaja dan sukakan wanita begitu. Tak kisah orang tu macam mana tetapi yang penting dia pandai jaga hati saya, hormati orang tua itu sudah cukup.