Saya masih ada

Tidak pernah hilang, Elyana memberitahu dia hanya fokus kepada keluarga selepas berkahwin

ELYANA bersedia untuk publisiti sekarang kerana ada bahan untuk
ELYANA bersedia untuk publisiti sekarang kerana ada bahan untuk dicerita kepada orang ramai.

BUKAN menghilang dari dunia hiburan, kelibatnya tetap ada tetapi bukan menerusi stesen televisyen popular.

“Nak kata saya menghilang. Ada sahaja drama saya ditayangkan di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM). Dari segi nyanyian juga begitu. Saya ada mendapat tawaran nyanyian di majlis korporat.

“Saya tidak pernah hilang dari dunia seni yang sudah saya ceburi sejak 15 tahun lalu,” tegas Elyana ketika disoal tentang ‘kehilangannya’ dari industri.

Bertemu dengan penyanyi yang popular dengan lagu Tak Tercapai Akal Mu dan Diriku Tapak Sulaiman ketika majlis pelancaran drama 60 episod berjudul Keluarga Karaoke baru-baru ini, dia menegaskan ‘kehilangannya’ adalah disebabkan fokus kepada keluarga.

Kata Elyana, selepas berkahwin pada 2010 bersama Khairul Anuar Hussin, fokusnya lebih terarah kepada hubungan itu sehinggalah mendapat cahaya mata anak perempuan yang diberi nama Summaiyah, 4 tahun.

“Saya memilih untuk berehat sekejap daripada lakonan dan nyanyian kerana mahu fokus pada anak dan suami. Bagi saya album senang kita nak buat tapi anak susah nak dapat.

“Jadi, apabila sudah mendapat anak, saya pastikan menjaganya sebaik mungkin. Sekarang anak saya sudah semakin membesar dan akan bersekolah. Saya merancang, bila dia sudah besar, sudah boleh berjalan serta masuk sekolah, saya akan kembali bekerja,” ujarnya yang tidak pernah rasa ralat ketika berehat.

Merasakan sekarang masa sesuai untuk dia muncul kembali dan berkongsi cerita, Elyana mahu peminat menganggap hilangnya dia kerana tidak muncul dalam drama atau publisiti.

“Tiada cerita baharu untuk dikongsi bersama-sama khalayak sebab itu saya tidak muncul dalam ruangan publisiti. Untuk dikenali, kita mesti ada sesuatu untuk diberikan terutama kepada peminat.

“Sekarang, saya sudah rasa cantik dan kurus. Itu lagi membuatkan saya berani dan bersemangat berjumpa orang,” katanya memberitahu yang berat badannya sudah turun daripada 65 kilogram (kg) kepada 50 kg.

Bercerita mengenai suaminya, Elyana memberitahu, dia tidak pernah dihalang oleh suami untuk meneruskan karier, malah sentiasa menyokong dirinya.

“Dia (suami) tidak pernah meletakkan syarat untuk saya kembali aktif dan suka tengok saya keluar bekerja.

“Sebabnya, jika saya duduk rumah, dia rasa saya tidak gembira dan bersemangat padahal saya okay saja,” katanya.

Pengubat rindu

Kemunculannya dalam drama Keluarga Karaoke dianggap sebagai buah tangan baharu yang mampu membuatkannya dikenali sekali lagi.

“Saya kini kembali aktif. Saya memang teruja dan berharap agar drama terbaru ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan peminat yang seringkali bertanya tentang perkembangannya.

“Saya sudah lama tidak muncul dengan drama seperti Renjis dan Dunia Baru. Jadi, apabila ditawarkan berlakon drama baharu kali ini saya seronok dan tidak fikir panjang untuk bersetuju. Saya seronok dapat berjumpa dan berlakon bersama kawan lama seperti Sherry dan Beego,” katanya.

Dalam pada itu, kata Elyana, selepas drama Keluarga Karaoke, dia akan muncul kembali sebagai Opie, wataknya dalam drama bersiri popular, Dunia Baru tidak lama lagi.

Sementara itu, Elyana turut merancang untuk muncul dengan album baharu selepas hampir tujuh tahun.

“Nyanyian adalah kerjaya yang saya sayangi. Sebab itu, saya tidak pernah mahu meninggalkannya. Untuk album baharu nanti, saya masih mengekalkan kerjasama dengan komposer dan penulis lirik, Aidit Alfian, orang yang bertanggungjawab menghasilkan banyak lagu terbaik untuk diri saya.

“Album baharu itu nanti akan mengekalkan genre pop rock namun ada sesuatu yang istimewa di dalamnya. Buat masa ini saya tak boleh bercerita lebih lanjut,” katanya lagi yang kini masih bernaung di bawah syarikat rakaman FMC Entertainment.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati