Tidak cepat melenting walaupun namanya sentiasa menjadi bahan cerita panas, Aedy tenang menjawab persoalan yang diajukan kepada dirinya. Dia tidak sedikit pun menunjukkan reaksi kurang selesa sewaktu diajukan pertanyaan tentang kontroversi suka berpeleseran dan bersosial yang menghimpit dirinya sebelum ini.

“Saya seorang manusia biasa. Dan saya membesar di Kuala Lumpur. Orang kena faham itu,” itu penjelasan pertamanya.

Seperti remaja lain yang mempunyai ramai rakan, dia juga mempunyai keinginan untuk menjalani fasa remaja mengikut rentak peribadi. Bagi Aedy, dia perlu menjadi diri sendiri, itu lebih baik berbanding terlalu hipokrit.

“Sebab itu, saya tak boleh salahkan orang lain kalau nak labelkan diri ini sebagai pelakon yang suka bersosial. Takkanlah, saya seorang artis, jadi saya dilarang untuk pergi ke tempat tertentu semata-mata untuk menjaga nama baik? Bagaimanapun saya percaya, asalkan kita tidak membuat perkara yang menyalahi undang-undang dan memalukan nama baik keluarga, itu sudah mencukupi.

“Selagi tiada perkara buruk yang melibatkan diri ini, saya rasa tiada masalah. Alhamdulillah, ia tidak sedikit pun mengganggu kerjaya. Berlakon dan hal peribadi adalah satu benda yang berbeza yang tidak boleh dicampur-adukkan,” jelasnya.

Jika dilihat menerusi paparan laman sosial, Aedy dikatakan sering mengunjungi kelab malam dan berparti bersama rakan-rakannya. Malah, ada peminat yang memberi komen yang sama terhadap pelakon ini.

Aedy bagaimanapun menganggap itu sebagai asam garam anak seni dan dia tidak boleh terlalu melatah dengan tuduhan tersebut asalkan tidak melampaui batas.

“Selagi ia tidak melibatkan perkara buruk, apa salahnya kita berhibur? Ini untuk melepaskan tekanan dan bergembira dengan kawan-kawan sahaja. Itu pun salah ke,” kembali dia bertanya.

Kurangkan watak klise

Mula berlakon sedari usia lapan tahun, Aedy yang kini sudah menginjak dewasa seakan tidak dapat lari dari stigma sebagai pelakon yang hanya sesuai melakonkan watak pelajar sekolah.

Dek kerana berwajah keanak-anakannya itu jugalah, Aedy menyimpan misai bagi menampakkan sisi matang dalam dirinya agar tidak sering di label sebagai pelakon remaja lagi.

Justeru, pelakon berusia 23 tahun ini meletakkan sasaran untuk mengurangkan menerima tawaran yang sama pada tahun ini demi memastikan graf lakonannya sentiasa meningkat.

“Saya akui hingga kini masih lagi ada dapat tawaran melakonkan watak budak-budak, pelajar kolej dan pelajar sekolah. Tapi untuk pembukaan 2016 ini, saya nak cuba ada pembaharuan dalam kerjaya untuk kurangkan terima watak sama sebab itu saya cuba simpan misai.

“Tidak bermaksud menolak, cuma bergantung pada situasi bila mana kalau ada dua tawaran berbeza yang memerlukan berlakon watak dewasa, sudah tentu saya akan terima yang itu dahulu. Tak beranilah pula nak tolak rezeki yang datang kan.

“Jujurnya, saya tak kisah pun andai masih lagi diberikan peranan sebagai pelajar sekolah. Bersyukur sebab masih ada ruang dan peluang untuk membawa watak budak-budak ketika usia begini. Saya tidak boleh terlalu ada sikap memilih watak,” bicara Aedy ketika bertandang ke Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tahun ini juga menjadi penanda aras buat Aedy yang sudah berada dalam gelanggang seni selama 15 tahun. Bermula dengan drama berjudul Doa Imran, kanvas seni Aedy semakin berkembang dan bersinar ketika memegang watak utama menerusi filem Tentang Bulan yang ketika itu dia baru berusia 13 tahun.

“Pengalaman yang ada ini tak boleh di beli di mana-mana tempat. Saya dah berlakon dari kecil lagi, insyallah dengan ilmu yang ada itulah dapat jadikan satu bekalan dalam karier seni.

“Harapan besar nak dapatkan watak lelaki dewasa memang sudah lama saya impikan, cuma ia bergantung kepada tawaran dari pihak produksi. Saya rasa setiap pelakon akan rasa bosan kalau diberikan watak sama berulang kali. Tapi kita bekerja mengikut kehendak orang dan bukanlah kita sendiri yang boleh buat keputusan untuk nak dapatkan karakter yang disukai. Kita mengharapkan tawaran.

“Cara saya bagi nak dapatkan karakter-karakter yang berlainan, kenalah yakin pada produser dan tonjolkan hasil kerja dengan maksimum. Setiap kerja yang dapat, saya akan pastikan untuk berikan yang terbaik demi kelangsungan hidup dan menaruh kepercayaan pihak produser,” katanya.

Idamkan 
watak pembunuh bersiri yang berselindung dengan kebaikannya. Sesekali hendak juga berlakon dua watak dalam satu cerita, barulah 
mencabar.

Aedy atau nama sebenarnya Mohammed Addy Ashraf Rosmadi yang kini bernaung di bawah label pengurusan artis A Klasse Management mengakui sebelum ini kurang bergaul dengan orang di sekelilingnya lantaran kurangnya pendedahan dunia luar.

Jejaka tinggi lampai ini suatu ketika dulu merupakan seorang lelaki yang perwatakan pendiam dan tidak terlalu menonjolkan dirinya di hadapan pihak media selain jarang muncul di sebarang acara hiburan.

“Ya, itulah saya masa mula-mula sertai dunia lakonan. Memang tak pandai nak bergaul dengan orang luar. Saya tak banyak jalani sesi fotografi bersama pihak media sebab saya tak tahu macam nak mulakan perbualan dengan mereka.

“Saya ada satu perangai yang tak reti nak bercampur dengan orang yang tak kenal. Itu dulu. Apabila mengikat kontrak dengan pihak A Klasse Management, ia sangat bagus sebab sedikit sebanyak membantu menaikkan nama saya dan dapat keluar dari kepompong sendiri.

“Mereka jugalah yang mengatur jadual seni untuk menjayakan mana-mana sesi fotografi. Saya hanya pernah menghadiri satu sahaja acara rasmi hiburan iaitu Festival Filem Malaysia Ke 17 dan lepas dari itu, memang tak pernah hadiri majlis lain,” ulasnya yang kini semakin yakin untuk bergaul dengan orang ramai.

Sementara itu, Aedy yang mempunyai perwatakan ceria ini turut berkongsi kehadirannya dalam industri seni kreatif bukanlah sekadar tin kosong semata-mata. Dia berpendapat, setiap pelakon perlu meletakkan sasaran apa yang diinginkan dalam karier agar ia dapat dijadikan pembakar semangat.

“Dari kecil lagi saya dah dididik untuk gapai apa sahaja impian yang ingin saya lakukan. Alhamdulillah, cita-cita nak jadi pelakon tercapai walaupun hanya sekadar mengikuti ibu saya ke set penggambaran pada waktu kanak-kanak dulu.

“Saya mesti letakkan matlamat dalam moto hidup supaya tahu apa yang ingin dikejarkan. Anugerah juga penting bagi seorang yang bergelar pelakon, dari situ kita boleh tahu orang menghargai bakat kita selama ini. Ia secara tak langsung boleh juga dijadikan pembakar semangat untuk setiap hari cuba gilap bakat kita di peringkat terbaik. Kalau saya tak letak sasaran ini nanti profil saya akan mendatar sahaja,” tuturnya.

Lima tahun 
nanti mungkin sudah bergelar pengarah atau produser. Nak juga duduk di kerusi empuk 
pengarah.

Pelakon baru yang dah diangkat jadi watak utama kenalah hargai tawaran keemasan sebab bukan mudah hendak pegang mandat besar begitu.

Gilakan karakter Bront Palare. “Bagi saya dia memang pelakon berkaliber. Kerja dan bakat yang ada memang seiring,” pujinya.

Tak ramai 
yang tahu dia ialah anak kepada pelakon era 80-an iaitu Liza Zain. Ibunya masih lagi aktif berlakon.

Ada juga minat 
dengan seni mempertahankan diri. Tak lama lagi akan masuk set penggambaran untuk filem berjudul Mat Kilau. Kalau nak tengok kehandalan Aedy bersilat, kenalah tunggu.